TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

Saranan Kepada Kerajaan Terengganu.
(Urusetia Penerangan?)

BERNAMA 5 Jul 2000, mlaporkan bahwa Dato’ Khalid Yunus, Timbalan Menteri Penerangan menyeru Kumpulan Pembaca Penonton dan Pendengar ( K3P ) menerang dan menjelaskan dasar-dasar Kerajaan kepada rakyat Negeri ini. Menurut beliau, tindakan ini adalah perlu kerana pihak-pihak tertentu sering menghasut rakyat agar membenci Kerajaan dengan maklumat dan fakta yang diselewengkan pihak tersebut. Walaupun Dato’ Khalid tidak mengarah Kerajaan Terengganu berbuat demikian, arahannya diberi kepada Pengerusi K3P Dato’ Idris Jusoh yang juga Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu, saya rasa perlu Kerajaan Negeri laksanakan arahan tersebut. Ini memandangkan bahwa rakyat kini diasak dengan maklumat yang diselewengkan pihak tertentu justru perlu pendedahan fakta sebenar dengan ikhlas dan telus. Sebahagian daripada Dasar-Dasar yang perlu dijelaskan ialah seperti berikut:

Dasar Kehakiman Negara.  Apa yang berlaku hari ini amatlah bercelaru. Kenapakah Sukma dan Anees Munawar yang kononya mengaku diliwat telah dihukum walhal Azizan yang juga mengaku diliwat orang yang sama masih bebas? Kenapakah laporan-laporan rasuah Rafidah, Daim, Eric Chia………tidak dibicarakan walhal telah lama dibuat. Bekas Ketua Polis yang didapati ( mengaku ) bersalah memukul Anwar hingga nak mati masih bebas. Terkini laporan juga dibuat terhadap Perdana Menteri serta Ketua Hakim Negara kerana rasuah, apakah kedudukan kes-kes ini. Mungkinkah laporan-laporan ini akan dilenyapkan seperti kes-kes sebelumnya. Rakyat perlu yakin dengan sistem kehakiman kita yang pada hakikatnya amat bercelaru.

Dasar Ekonomi Negara.  Negeri Terengganu, walaupun telah menerima royalti minyak selama lebih 20 tahun, masih berada di tangga ketiga termiskin di dalam negara. Baru-baru ini pula kita dikejutkan dengan ugutan Dr. Mahathir menarik balik royalti. Saya percaya Kerajaan tidak berhasrat melihat rakyat Terengganu terus berlenggu dengan kemiskinan. Oleh itu Kerajaan perlu menerangkan keadaan sebenar dalam hal ini. Dasar Penswastaan dan perbelanjaan hasil yang diperolehi Petronas yang kini dikatakan telah diguna untuk menyelamat syarikat-syarikat sanak-saudara dan suku-sakat pihak tertentu perlu diperjelaskan dengan terperinci.

Dasar Penerangan Negara.  Rakyat negeri ini tertanya-tanya kenapa ada kempen boikot Utusan Malaysia, Straits Times dan TV3. Mereka juga ingin pasti akan sebab-sebabnya Harakah hanya boleh dikeluarkan 2 kali sebulan daripada kekerapan 2 pengeluaran seminggu. Pengharaman Detik dan lain-lain media cetak juga menimbulkan keraguan rakyat akan dasar penerangan Kerajaan.

Dasar Pentadbiran Negara.  Semua rakyat Terengganu mengtahui bahwa JKKK dihidupkan semula selepas berkubur pada Bulan Disember lalu. Kini JKKK telah diberi nyawa baru. Apakah keperluan JKKK di dalam pentadbiran Kerajaan, walhal JSR telah mula beroperasi? Kerajaan juga menyatakan bahwa ia sedang mengkaji pemberian royalti minyak melalui Badan Pentadbiran Pusat di Negeri Terengganu dan tidak terus ke Kerajaan Negeri. Keadaan ini amat pelik dan justru itu ia perlu penjelasan yang meyakinkan.

Di atas tadi hanyalah sebahagian kecil daripada Dasar-Dasar yang mengelirukan dan perlu kepada penjelasan yang ikhlas dan meyakinkan. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Terengganu untuk berbuat demikian. Urusetia Penerangan Negeri, khususnya disaran untuk mengambil tindakan segera. Sepertimana yang dikatakan Dato’ Khalid , “ rakyat perlu didedahkan fakta sebenar supaya pihak-pihak tertentu tidak dapat menghasut rakyat membenci Kerajaan.”

Sekian, terima kasih.
 

Watchdog.