KERAJAAN PAS T'GANU TIDAK TERLIBAT DALAM
 PERNIAGAAN
 
 KUALA TERENGGANU, 30 Jan (Bernama) -- Kerajaan Pas
 Terengganu hari ini memberi jaminan bahawa ia tidak akan terlibat
 dalam sebarang perniagaan sekiranya sesuatu projek itu mampu
 dilaksanakan oleh usahawan tempatan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan
 Perindustrian negeri Mustafa Ali berkata kerajaan sentiasa
 berusaha menarik para pelabur ke negeri ini dengan menyediakan
 pelbagai kemudahan kepada mereka untuk melaksanakan
 perniagaan.

 Katanya kerajaan negeri akan juga menjalankan kajian terperinci
 terhadap anak-anak syarikatnya dalam usaha mengemaskinikan
 pentadbiran dan perjalanan anak syarikat berkenaan.

 Anak syarikat yang didapati tidak membawa keuntungan tetapi
 dianggap berpotensi akan diteruskan operasinya dengan dilakukan
 beberapa pendekatan tertentu, katanya pada forum perindustrian
 Terengganu di alaf baru di sini.

 Namun begitu, katanya, kerajaan negeri tidak menolak
 kemungkinan menutup mana-mana anak syarikat yang dianggap
 tidak strategik serta sering mengalami kerugian.

 Ketika menjawab soalan peserta forum mengenai kemungkinan
 kerajaan negeri mengenakan larangan kepada golongan wanita
 yang bekerja malam terutamanya dalam sektor perkilangan,
 Mustafa berkata ia terpulang kepada syarikat terbabit.

 "Bagaimanapun lebih baik mereka tidak bekerja malam kerana
 majikan perlu memahami tanggungjawab pekerja wanita terhadap
 keluarga yang lebih utama," katanya.