Sinaran Bulan di Negeri Terengganu Darul-Iman Yang Ku Cintai: Satu Catatan Pengalaman Manis.
 
 
29 November sudah berlalu. Poster-poster dan bendera-bendera sudah diturunkan . Terengganu yang ku cinta sudahpun bertukar
wajah. Wajah yang tentunya akan membawa keberkatan di bawah sinaran bulan purnama penuh. Itulah yang kami rakyat
Terengganu tunggu-tunggu. Percaya atau tidak, kami turun mengundi pada hari itu dengan penuh tekad, untuk menukar kerajaan.
Slogan 'ACU UBAH SEKALI'  oleh PAS tersemat di hati-hati kami walaupun saya sendiri bukanlah seorang yang fanatik sangat
dengan PAS.  Perbualan dengan rakan-rakan se pejabat sebelum pilihanraya cukup meyakinkan bahawa tangan-tangan kami yang
mampu mengubah kezaliman kepada keadilan dengan izin ALLAH. Bila saya bercakap dengan seorang kawan yang agak
pro-UMNO mengenai angin perubahan yang sudah dirasai, beliau dengan yakin menjawab bahawa PAS pasti gagal. Kata saya, "tak
nampak ke, kalau kat pejabat kita ni (yang selama ini menjadi kubu kuat kerajaan) lebih daripada 70% sudah bercakap mengenai
keadilan, itu adalah petandanya".Beliau masih berkata bahawa itu bersifat sementara dan luaran. Soal menentukan kerajaan soal
lain.Kata saya, "OK, kita tengok.  Pejabat-pejabat lain dan sekolah-sekolah lagi hebat. Bukan sekadar guru, tetapi murid pun sudah
mahir berbicara soal Islam dan keadilan ".
 
Pada hari mengundi tersebut hujan turun mencurah-curah dari pagi. Ini tidak sedikitpun menghalang cita-cita kami untuk keluar
mengundi. Tidak pernah saya melihat 'bangsal-bangsal panas PAS' begitu mendapat sambutan. Nampak sungguh bangsal BN sepi,
yang ada hanya 2 orang wanita menunggu bangsalnya di DUN N13. Ada juga 2 - 3 orang yang datang sekali sekala ke situ. Bangsal
PAS didatangi pengundi sehingga hampir tamat masa mengundi. Kami sekeluarga sempat berkereta melihat suasana pilihanraya di
seluruh kawasan DUN bagi Parlimen Kuala Terengganu. Hanya di DUN N15 sahaja kami nampak bangsal BN agak mendapat
sambutan, itupun ramai kaum Cina yang kelihatan. Di kawasan-kawasan lain, bangsal PAS lebih ' diminati.'
 
Sembang-sembang rancak sebelum pilihanraya berganti dengan sembang post-pilihanraya yang lebih rancak. Ternyata ramalan
saya tepat dengan izin Allah. Seorang kawan menelefon saya pada pukul 9.15 malam 29 November bahawa BN sudah tumbang,
kalau tak TKO pun akan KO. "Sujud syukurlah", katanya.  Sehingga hari ini di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta masih lagi
berbicara soal kemenangan PAS dan kekalahan BN di Terengganu.
 
Seorang rakan memberitahu saya bahawa malam kemenangan itu disambut dengan laungan Allahu Akbar di merata-rata tempat,
dari rumah kediaman, kedai kopi hingga ke markas-markas PAS. Beliau sendiri keluar melihat bagaimana seronoknya mereka yang
diberi kemenangan oleh ALLAH pada malam itu.
 
 
1 Disember 1999
 
Jam 4.00 petang, saya mendapat tahu bahawa bayaran tol di Jambatan Sultan Mahmud sudahpun dihapuskan. Saya dan keluarga
yang kebetulan nak ke Kuala Terengganu sengaja berhenti sebentar di tepi jalan di atas jambatan melihat reaksi rakyat Terengganu
yang selama  ini akan menghulurkan syiling 50 sen setiap kali melalui jambatan. Pergi- balik dah RM 1.00.  Pelbagai gaya yang
saya nampak. Ada yang tersengih, ada yang mengangkat ibu jari tanda setuju (mungkin tanda kemengangan) dan saya juga dengar
ada yang bertakbir.
 
JUMAAT, 3 Disember 1999
 
Saya ke Masjid Rusila, nak dengar YAB MB Terengganu yang baru memberi kuliah agamanya. Saya tak sempat dengar semua
kuliahnya.  Perjalanan pergi, lebihkurang 1 1/2 km sebelum sampai ke masjid kenderaan dah bergerak sangat perlahan. Di kiri
kanan jalan dah ada orang berhenti untuk parking. Saya dapat lihat kereta diletak di tepi pantai memenuhi setiap ruang yang
ada. Dianggarkan lebihkurang 15,000 orang yang datang untuk mendengar kuliah dan amanat pertama MB baru kami. Ada juga
kereta dari  negeri lain seperti  Johor, Kedah dan Kelantan. Gambar calon pilihanraya mereka tertampal megah pada kereta-kereta
mereka. Syabas dan terima kasih atas semangat yang ada pada mereka. Terharu sungguh apabila mendengar Tuan Guru Haji
Abdul Hadi mentafsirkan surah Al-Fat-h menceritakan bagaimana kemenangan umat Islam membuka Kota Mekah.
Mempertahankan kemenangan adalah lebih sukar berbanding mencapai kemenangan. Menitis juga airmata saya apabila beliau
mengatakan bahawa biarlah ucapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq semasa diberi amanah untuk menjadi khalifah pertama memimpin
umat Islam selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. menjadi landasan kepada ucapannya pada hari itu sebagai seorang MB yang baru
diberi amanah.
 
Sampailah masanya  Terengganu mengulangi imej negeri Darul Iman,  yang satu ketika dahulu pernah didatangi oleh orang luar
untuk belajar ilmu agama kerana kemasyhuran ulama-ulamanya seperti Syeikh Abdul Malik Abdullah (1650an), Syeikh Kadir Bukit
Bayas, Tok Syeikh Duyung hinggalah kepada keturunan Sayyid spt. Tok Ku Paloh dan seumpamanya .Berulangkah sejarah
kegemilangan Islam di Terengganu di mana  Umara' dan ulama' nya satu ketika dulu pernah mewarnai citra keislaman di Terengganu
(pinjam istilah YB Dr. Shafe'i Abu Bakar. Tahniah atas kemenangan Dr. Shafe'i di Kajang sebagai wakil Rakyat PAS ) . Baginda
Omar (Sultan Terengganu ke 9) bukan sahaja berguru dengan ulama tetapi menjadikan ulama sebagai menteri dan penasihat
baginda. Begitu juga dengan Sultan Zainal Abidin 111.
 
 
Kemenangan PAS hingga ke saat ini amat dirasai. Banyak Lembu tumbang sebagai tanda kesyukuran kepada Allah dan
terimakasih kepada semua yang telah bekerja keras . Tuan-tuan punya lembu tersenyum lebar. Majlis-majlis kesyukuran diadakan
di sana sini. Esok sahaja diberitakan di Masjid Setiu akan disembelih 3 - 5 ekor lembu. Selamat menjamu.
 
Belum terlewat rasanya ucapan terimakasih kepada penyokong BN yang mengundi BA . Semuga mereka akan menjadi penyokong
tetap kami. Hanya Allah yang dapat mengubah hati-hati kita.
 
Kepada semua rakyat Terengganu 'JANGAN UBAH LAGI'.
Semoga Bertemu Lagi. Jemputlah ke Negeri Terengganu Darul Iman