TERENGGANU BELUM PUTUSKAN UNTUK
 HARAMKAN ULIK MAYANG
 
 KUALA TERENGGANU, 30 Dis -- Kerajaan Pas
 Terengganu belum memutuskan sama ada akan mengharamkan
 atau tidak tarian kebudayaan tradisi Terengganu, Ulik Mayang di
 negeri ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan
 Pelancongan negeri Wan Hassan Mohd Ramli berkata kerajaan
 negeri akan mengkaji perkara itu terlebih dahulu dengan
 mendapatkan pandangan daripada para ulama.

 Beliau berkata satu jawatankuasa yang turut dianggotai oleh para
 ulama telah ditubuhkan untuk mengkaji perkara-pekara yang
 berkaitan dengan kebudayaan bagi memastikan ia tidak
 bercanggah dengan syariat dan nilai-nilai Islam.

 "Kita belum haramkan lagi (ulik mayang) tapi kita akan kaji dan
 insya-Allah selepas Hari Raya ini kita (jawatankuasa) akan adakan
 mesyuarat pertama," katanya pada persidangan berita sempena
 kunjungan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk
 Abdul Kadir Sheikh Fadzir di sini, hari ini.

 Akhbar hari ini melaporkan bahawa kerajaan Pas Terengganu
 mengharamkan kegiatan kebudayaan di negeri itu dan antara
 cabang seni yang tidak boleh lagi dipersembahkan ialah tarian ulik
 mayang, wayang kulit, nyanyian dan sebarang bentuk
 persembahan membabitkan percampuran antara lelaki dan
 perempuan.

 Menurut akhbar itu, pengharaman itu dikatakan berkuatkuasa
 sebaik sahaja Pas mengambil alih pemerintahan negeri ini selepas
 pilihan raya umum 29 Nov lepas.

 Wan Hassan berkata sebarang perubahan pendirian atau
 pengharaman sesuatu perkara terutama seni yang membabitkan
 budaya warisan negeri ini tidak akan dibuat sekali gus kerana ia
 akan menimbulkan kejutan budaya.

 "Mana yang tidak bercanggah dengan Islam kita teruskan, mana
 yang boleh ubah kita ubah termasuk penerimaan dan minda
 masyarakat mengenai sesuatu perkara," katanya.

 Abdul Kadir ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata
 ia adalah salah faham kerana beliau sendiri dimaklumkan bahawa
 kerajaan negeri belum membuat keputusan mengharamkan tarian
 Ulik Mayang.

 Wan Hassan juga berkata kerajaan negeri akan meneruskan semua
 program kebudayaan dan pelancongan untuk tahun depan yang
 telah dirancang di negeri ini, tetapi menarik keluar beberapa
 perkara yang nyata bercanggah dengan Islam.

 Beliau berkata program pelancongan `Kenyir Ecofest' yang
 dianjurkan oleh Ketengah ditarik keluar daripada kalendar
 pelancongan negeri untuk tahun depan berikutan pembatalan oleh
 Ketengah.

 Beliau meminta kementerian berkenaan mengkaji semula tindakan
 itu memandangkan Ketengah adalah di bawah bidang kuasa
 kerajaan persekutuan.