Make your own free website on Tripod.com
ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU
 

"Dewan milik Kerajaan Pusat ada gambar MB Terengganu" - Idris Jusoh
Oleh Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 30 Okt - Disebabkan terpengaruh dengan ucapan berunsur hasutan Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Idris Jusoh, beberapa ahli JKKK telah bertindak membaling gambar MB Terengganu yang tergantung dengan kerusi.

Akibatnya, gambar MB yang digantung dalam dewan Intitut Perindustrian Gong Badak, tempat mereka bersidang itu jatuh dan pecah.

Peristiwa itu berlaku apabila Idris mempertikaikan kenapa gambar MB Terengganu itu berada di situ sedangkan dewan itu di bawah pentadbiran kerajaan Pusat.

Sehubungan itu, orang ramai melahirkan rasa kesal serta terkilan terhadap dengan sikap beremosi tersebut.

Perjumpaan tersebut, diadakan di dewan Institut Perindustrian Gong Badak yang dihadiri oleh Badan Perhubungan Umno negeri dan JKKK Kuala Nerus.

Dalam kejadian tersebut, beberapa orang di kalangan JKKK bertindak membaling gambar Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan kerusi serta memecahkannya.

Ini berikutan, ucapan Datuk Idris yang mendakwa dewan tersebut hak milik kerajaan pusat tetapi terdapat gambar Tuan Guru Menteri Besar.

Menurut sumber yang dipercayai, gambar MB tersebut tergantung tinggi di dewan dan tidak dapat dicapai dengan tangan.

Katanya, mereka (JKKK) bertindak membaling gambar tersebut dengan kerusi di dewan bagi membolehkan gambar tersebut dijatuhkan.

"Saya sendiri terkejut melihat kejadian yang beremosi dengan memecahkan gambar Menteri Besar Terengganu," ujarnya kepada Harakah.

Seorang pelajar di Institut Perindustrian yang enggan disebut namanya tetapi mengesahkan kejadian itu berpendapat, tindakan tersebut dianggap tidak rasional.

Katanya, tindakan beremosi JKKK tersebut boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati pihak tertentu.

"Saya (pelajar) tidak bersetuju serta kesal dengan tindakan memecahkan gambar MB Terengganu," ujarnya.

Rakannya, yang enggan disiarkan nama berkata tindakan memecahkan gambar Tuan Guru MB bukti dendam Umno terhadap PAS.

"Mereka (JKKK) terpengaruh dengan rentak pemimpin Umno yang mengamalkan budaya samseng," ujarnya.

Harakah difahamkan, terdapat juga segelintir dari kalangan JKKK tersebut yang tidak bersetuju dengan tindakan rakan-rakan mereka yang beremosi itu.

Dipetik dari : harakahdaily