Umno cuba juarai isu tarik balik pingat 

Saya amat menyokong pandangan YB Ustaz Azizan Pesuruhjaya PAS Kedah dalam isu penarikan dua pingat exco PAS Kelantan. Memang rakyat masih ingat lagi peristiwa membuli sultan Kelantan oleh Umno sedikit masa lalu. Apa yang tidak dilakukan oleh para pemimpin Umno peringkat Pusat dan Kelantan? Di mana maruah dan tata susila mereka ketika menghina begitu rupa Sultan Kelantan yang seakan terpinggir ketika itu. 

Akhbar media utama menelanjangi baginda sehingga kita sendiri begitu malu dan sedih membacanya. Siapa yang berdiri menyatakan sokongan terhadap baginda, kalau tidak pemuda PAS atau penyokong Angkatan Perpaduan Ummah (APU) ketika itu. Kini bila masa telah berubah, kerabat utama istana sudah berada di pihak sana maka kita lihat berbagai himpitan dipaksakan ke atas Kerajaan Kelantan. 

Ini seolah seperti melepaskan sesuatu yang kemudianya memudaratkan kita kembali. Saya rasa negeri Kelantan adalah negeri yang masih belum mengubah perlembagaannya dalam menghadkan imuniti raja. 

Sepatutnya ini perlu dipandang secara wajar dan dihormati ketika lain-lain negeri penguasaan Umno sudah lama menguatkuasakannya. Ada baik dan buruk jika ia dilaksanakan, jika perkara yang baru berlaku sudah keterlaluan- saya kira tidak patut benar jika kita terus berputih mata sehingga si kaduk naik junjung. 

Ayuh, buat sesuatu kerana Islam mengajar kita untuk bertindak wajar bila diperlakukan begitu. Biarkan Umno seolah-olah ingin jadi juara dalam hal ini. Itu memang perangai mereka, dulu mereka yang telanjangkan orang dan sekarang ingin menghulurkan pakaian kepada mangsanya yang pernah dihina.

Baru-baru lalu, mereka juga tampil membela balu-balu para suhada' Memali setelah suami-suami mereka dikeronyok dalam peristiwa Memali. Inilah Umno, dahulu, kini dan selamanya. Hubayalah sandiwara meloya ini. 

Abu Yo