Make your own free website on Tripod.com
Penerangan Umno Kelantan di persimpangan

JELI, 26 Sept- Pelantikan bekas-bekas ahli PAS sebagai tenaga penceramah Umno Kelantan sekarang dilihat seolah-olah memberi 'saham percuma' kepada rakyat untuk terus menyokong PAS dan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya umum akan datang.

Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, tenaga penceramah Umno yang dikatakan akan mengempur kubu PAS, sebahagiannya sudah ditolak rakyat Kelantan.

Katanya, pelantikan mereka membolehkan orang ramai dapat melihat gelagat tokoh berkenaan yang merupakan pihak yang pernah mengecam kuat Umno suatu ketika dahulu.

"Merekalah yang mengetuai usaha untuk mengeluarkan fatwa mengkafirkan Umno," katanya pada ceramah bersama Menteri Besar di Chegal Bedil, Dun Pergau di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, bekas calon BN di kawasan parlimen Pengkalan Chepa, Mohd Nor Idris dilantik sebagai Ketua Penerangan baru Umno Kelantan.

Mohd Nor sebelum menyertai Umno pernah terlibat secara langsung dengan PAS. Baru-baru ini dia mengeluarkan kenyataan, pihaknya melantik 25 tenaga penceramah Umno untuk mengempurkan kubu PAS.

Di kalangan tenaga penceramah itu, sebahagiannya tokoh-tokoh yang pernah ditolak PAS sehingga mereka membawa diri menyertai Umno termasuk Omar Khalid.

Ahmad Baihaki berkata, rakyat Kelantan sudah kenal siapa Mohd Nor Idris dan ia secara tidak langsung akan memudahkan pengundi di atas pagar menilai perjuangan Umno sebenarnya.

'Pelantikan itu juga menggambarkan Umno terlalu ketandusan tokoh untuk dilantik sebagai jentera penerangan Umno Kelantan," katanya.

Sebelum Mohd Nor memegang jawatan tersebut, bekas Adun Melor, Dato' Zainal Abdul Kadir mengetuai jentera penerangan Umno Kelantan.

Sebelum itu, Dato' Ibrahim Ali dilantik mengisi jawatan tersebut. Pertukaran tokoh yang memegang jawatan tersebut sudah jelas mencerminkan Umno kekurangan tokoh untuk berdepan dengan jentera penerangan PAS dan Barisan Alternatif.

Perhubungan Umno Kelantan sekarang diketuai oleh Dato' Mustafa Mohamed bekas anggota parlimen Jeli.

Manakala setiausahanya, Dato' Ahmad Rusli Ibrahim bekas pemimpin Semangat 46 yang melompat menyertai Umno bersama Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain di Kota Bharu, pelantikan Ahmad Rusli menjelaskan lagi krisis dalaman Umno Kelantan, di mana Mustafa terpaksa mencari jalan mudah untuk mengenepikan musuh tradisinya, Dato' Ahmad Shahibuddin Mohd Noor yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan sejak sekian lama.

Sumber Umno memberitahu, Mustafa cuba mengenepikan Shahibuddin difahamkan sebagai mengambil kesempatan, terhadap tindak tanduk pemimpin itu yang dikatakan memainkan peranan mengenepikan Mustafa di Bachok, suatu ketika dahulu.

Shahibuddin ketika itu sebagai Ketua Umno Bahagian Bachok mempunyai kuasa mutlak untuk memastikan Mustafa tiada tempat di Bachok.

Ekoran itu, menurut sumber berkenaan, Mustafa yang berasal dari Bachok terpaksa berhijrah ke Jeli sebagai Ketua Umno di bahagian berkenaan sehingga sekarang.

Bagaimanapun tuah Mustafa semakin menyinar apabila dia dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang baru menggantikan Ku Li yang disingkirkan dalam tempoh singkat.

Pemerhati politik berkata, peluang yang dimiliki Mustafa sekarang digunakan sepenuhnya untuk mengisi orang yang boleh bekerjasama dengannya untuk memantapkan kedudukannya di Kelantan.

Peningkatannya secara mendadak dalam politik, sehingga mengenepikan Dato' Annuar Musa yang dilantik sejak sekian lama sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Mustafa merupakan anak didik dan orang kepercayaan Tun Daim Zainuddin pernah dilobikan untuk dilantik sebagai Gabenor Bank Negara, namun spekulasi itu tidak menjadi.

Namun, tuah tetap milik Mustafa apabila Dr Mahathir Mohamed melantiknya sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia menggantikan Dato' Dr Yusof Noor yang sudah tergandai karier politiknya.