Make your own free website on Tripod.com
UPI ganti UPU di Terengganu

 Oleh MOHD ADIB IBRAHIM

 

 Unit Perpaduan Ummah (UPU) telah digantikan dengan Unit Pembinaan Insan (UPI) setelah
 kerajaan Barisan Nasional pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad jatuh ke tangan Parti Islam
 Se-Malaysia (PAS) di dalam pilihan raya ke-10, 29 November yang lalu.

 Apabila sesebuah kerajaan negeri tumbang, dasar dan corak pemerintahan akan turut berubah.
 Menyedari hakikat ini, PAS merasakan pembangunan insan amat penting untuk membina diri insan ke
 arah yang lebih baik lalu UPI diwujudkan bagi memainkan peranan itu.

 Ditinjau dari sudut ini, UPI diketengahkan untuk mengubah world-view dengan mengambil kira
 kepentingan dan kemantapan akidah rakyat supaya berpegang teguh dengan ajaran Islam yang
 sebenarnya.

 Akidah yang mantap amat perlu dicernakan bagi menyelesaikan masalah manusia yang pincang
 dengan pelbagai krisis sosial yang kronik setelah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional terdahulu
 tidak mementingkan pembinaan insan.

 Adalah diharapkan UPI yang diwujudkan mampu melahirkan peribadi yang dapat menghayati konsep
 hidup manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi dengan mengikis sifat-sifat buruk
 selama ini.

 UPI perlu bergerak melahirkan manusia yang berprinsip, berakidah, terbangun peribadi (rohani dan
 jasmani), menghadapi hidup dengan waspada sebagai tempat ujian Allah mengketengahkan
 ketamadunan ilmu di dalam erti kata yang sebenarnya, membangunkan agama, bangsa dan negara di
 atas kefahaman Islam yang sebenarnya.

 Dakwah Rasulullah s.a.w adalah mendidik generasinya dengan tauhid bagi membebaskan manusia
 dari kekangan segala faham kebendaan, mementingkan diri, puak, kroni dan membuang tabiat
 kongkongan nafsu selaras dengan hasrat untuk mendaulatkan Islam.

 Di dalam membawa kesedaran perubahan diri rakyat di Terengganu, UPI perlu merujuk kepada
 kejayaan methodogi Rasulullah s.a.w. di atas proses membersihkan jiwa, ilmu, akhlak yang
 diselubungi pemikiran jahiliah yang sekian lama dikekang oleh pengaruh kebendaan.

 Untuk mengubah peribadi insan ke arah yang lebih baik, UPI perlu merancang program yang mantap
 menuju sasaran yang sebenarnya agar terbangun Islam di dalam suasana yang harmonis.

 UPI perlu membersih jiwa pemimpin dan rakyat dari bersifat takabur, ego, membebaskan diri dari
 ikatan kebendaan dan memperolehi kekuatan dalaman yang tidak merasa takut melainkan hanya
 kepada Allah.

 Kita perlu sedar tentang hakikat ini kerana Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya, Allah boleh
 memberi dan menarik kembali kuasa.

 Oleh itu, peranan UPI untuk mentarbiyah rakyat dan juga pemimpin dipelbagai peringkat adalah
 tanggungjawab besar di dalam usaha mempertahankan kerajaan baru di dalam jangka masa 5 tahun
 dari sekarang.

 Ekoran itulah, peranan membersihkan jiwa dari karat-karat pemikiran kebendaan, pangkat dan kuasa
 bagi melahirkan individu yang mantap dalam aspek rohaniah, aqliah dan jasmaniah kepada pembinaan
 masyarakat dan negeri yang ideal memerlukan golongan yang jujur, ikhlas dan tidak mementingkan
 diri dan kroni di dalam usaha membawa mesej Islam ke dalam jiwa rakyat yang dahagakan
 kebenaran.

 Sekiranya tiada kesediaan di kalangan rakyat untuk menerima perubahan dengan Islam, pelaksanaan
 Islam akan menghadapi jalan buntu, oleh itu konsep pembersihan jiwa dan membangunkan peribadi
 umat Islam perlu diberi perhatian yang serius bagi membuka minda rakyat agar memahami Islam
 secara menyeluruh.

 Pembersihan jiwa meletakkan manusia dalam perimbangan antara hidup yang bersifat kebendaan
 dengan kerohanian. Di dalam satu keadaan, manusia diwajibkan bekerja untuk memberi nafkah
 kepada keluarga dan mencari kekayaan supaya dengan harta dapat membantu menyebarkan Islam.
 Tetapi manusia diingatkan bahawa kekayaan bukan sebagai matlamat hidup.

 Penyakit al-wahnu yang menular dalam masyarakat menyebabkan manusia cintakan harta,
 kebendaan dan pangkat yang teramat sangat dan takut untuk menemui maut, menjadikan mereka
 ibaratkan buih yang kelihatan banyak, tetapi tidak mempunyai kekuatan dengan bergerak mengikut
 arus yang melanda. Sehingga akhirnya menyebabkan musuh boleh melakukan sewenang-wenangnya
 ke atas mereka telah hilangnya daya juang tersebut.

 Dalam keadaan yang lain pula, manusia juga mesti mempunyai kekuatan rohaniah. Ianya melepaskan
 manusia dari belenggu kebendaan dan meletakkan ukuran mulia hinanya manusia bukan dalam bentuk
 harta dan kuasa. Sebaliknya yang termulia ialah yang tinggi nilai takwa di sisi Allah SWT.

 Oleh itu, peranan UPI di dalam mengubah perwatakan rakyat (manusia) perlu dipelbagai kaedah dan
 pendekatan yang menarik agar rakyat negeri Terengganu tidak kehilangan arah dan hala tujunya.

 Pembinaan umat Islam bermula dengan kekuatan diri yang nantinya mampu mengubah keluarga,
 masyarakat dan negara. Tanpa kekuatan diri, kegagalan di dalam membina insan.

 Pembinaan diri insan melalui madrasah malam (qiyamullail) seperti mana yang diamalkan oleh para
 sahabat merupakan satu wadah penting yang perlu disedarkan kepada manusia agar mampu
 melahirkan watak-watak Muslim-Mukmin yang unggul dan berwibawa selaras dengan hasrat dan
 matlamat kerajaan negeri.

 Sudah tiba masanya, penggemblengan tenaga dilakukan di dalam memahamkan manusia dalam
 konteks Islam yang sebenarnya.

 Andainya UPU ditubuhkan era BN berkuasa untuk kepentingan politik mereka maka tiba masanya,
 UPI memainkan peranan menyeluruh bukan di atas dasar kepentingan politik sebaliknya perlu
 mencernakan atau menjelaskan Islam yang sebenarnya kepada manusia berasaskan al-Quran dan
 al-Sunnah.

 Sekiranya kegagalan di dalam memainkan peranan menyedarkan manusia di dalam erti kata yang
 sebenarnya, rakyat di negeri ini akan terus bergelut dengan pangkat,kebendaan dan kuasa. Akibat
 daripadanya, rakyat di peringkat bawahan akan terus berada di dalam 'kepanasan' dan gelora yang
 berterusan kerana persoalan tarbiyah masih tidak mencapai matlamat.

 Oleh itu, sesuatu pengisian perlu dilakukan ke dalam minda rakyat agar tercerna sesuatu yang positif
 dari perubahan kuasa yang berlaku baru-baru ini.