KONTRAK 420 KAKITANGAN UPU TAMAT, BUKAN
 DIPECAT, KATA TUAN GURU MB
 
 KUALA TERENGGANU, 3 Jan  -- Menteri Besar
 Terengganu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan bahawa
 kerajaan negeri tidak memecat 420 pegawai dan kakitangan Unit
 Perpaduan Ummah (UPU) sebaliknya kontrak perkhidmatan mereka
 tamat pada 31 Dis lepas.

 "Persoalan 420 pekerja UPU dipecat tidak timbul kerana kontrak
 mereka telah tamat pada 31 Dis lepas dan kita membubarkan unit
 berkenaan sebaik sahaja kontrak mereka tamat," katanya di sini,
 hari ini.

 Ketika ditanya kemungkinan 420 kakitangan berkenaan akan
 diserapkan semula sebagai pekerja di Unit Bina Insan (UBI) yang
 ditubuhkan kerajaan PAS bagi menggantikan UPU, Tuan Guru
 Haji Abdul Hadi berkata pihaknya akan mengkaji perkara itu
secara terperinci.

 "Kita akan melihat dalam pelbagai aspek kerana sebelum ini
 kebanyakan daripada mereka diberi jawatan dengan gaji yang
 tinggi tetapi tidak mempunyai kerja," katanya.

 Menteri Besar berkata kerajaan negeri kini dalam proses merangka
 fungsi UBI dan memperkenalkan struktur organisasinya.

 Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar harian hari ini
 mengenai tindakan kerajaan PAS Terengganu memecat 420
 kakitangan termasuk Pengarah Unit Perpaduan Ummah (UPU),
 Baharuddin Mohamad, berkuatkuasa kelmarin.

 Akhbar itu melaporkan bahawa unit berkenaan turut dibubarkan
 dan digantikan dengan jentera baru yang dinamakan Unit Bina
 Insan (UBI) bagi mengukuhkan kedudukan parti itu di Terengganu.

 Sebelum ini, kerajaan negeri juga memecat 15 kakitangan Berita
 Darul Iman dan Studio 305 serta mengambil 30 pekerja baru untuk
 menggantikan kekosongan berkenaan, lapor akhbar itu.

 Abdul Hadi juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa
 kerajaan negeri akan memecat imam dan bilal yang dilantik oleh
 kerajaan Barisan Nasional (BN) lepas.

 Terdapat kira-kira 2,000 imam dan bilal di Terengganu.

 "Kerajaan negeri sebenarnya sedang menimbang untuk menambah
 jumlah imam dan bilal di negeri ini bagi memenuhi permintaan di
 seluruh negeri," kata beliau.

 Terdahulu, selepas mengadakan pertemuan dengan 16 anggota
 Perhimpunan Persatuan Tiong Hua Terengganu di Wisma Darul
 Iman di sini hari ini, Tuan Guru Hj.Abdul Hadi berkata kerajaan negeri akan
 melantik seorang atau dua wakil masyarakat Cina di setiap daerah
 menjelang 1 Mac ini.

 "Pelantikan mereka dalam majlis daerah dan Jawatankuasa
 Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu akan membolehkan
 kerajaan mengetahui pandangan dan pendapat dari masyarakat
 Cina di negeri ini," katanya.

 Beliau berkata jumlah wakil itu akan diputuskan melalui beberapa
 faktor termasuk jumlah masyarakat Cina di daerah berkenaan.

 Presiden Perhimpunan Persatuan Tiong Hua cawangan Terengganu
 Tan Choon Huat ketika ditanya mengenai wakil masyarakat Cina
 berkata pihaknya akan mengemukakandua nama untuk daerah
 Kuala Terengganu iaitu satu untuk Majlis Perbandaran Kuala
 Terengganu dan satu lagi untuk mewakili masyarakat Cina dalam
 Majlis Syura.

 Mengenai pertemuan dengan Menteri Besar, Choon Huat berkata ia
 bertujuan membolehkan pihaknya megemukakan pendapat dan
 cadangan mengenai beberapa perkara termasuk menambah
 kawasan perkuburan Cina di Terengganu termasuk di bandr Kuala
 Terengganu, Besut, Paka dan Kemaman.