TERENGGANU DARUL IMAN
 
 Usul Di bawah Fasal 30, Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri 

Perkara-perkara yang Mustahak Bagi Orang Ramai
Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan satu usul di bawah 30 untuk menangguhkan persidangan dewan bagi membincangkan satu perkara yang mustahak bagi orang ramai yang perlu disegerakan. Usul tersebut berbunyi: Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan prinsip demokrasi dan konsep sistem kerajaan berpersekutuan (Federalisme) oleh pimpinan kerajaan pusat terhadap rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu dan menyeru supaya pimpinan Kerajaan Pusat menghentikan tindakan menindas dan menzalimi rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu semata-mata atas perbedaan dasar perjuangan dan pemerintahan serta kembali melaksanakan tanggungjawab mengikut kaedah dan ketetapan yang telah dipersetujui bersama berdasarkan peruntukan undang-undang dan perjanjian khususnya dalam soal royalti Petroleum.

Ketetapan ini perlu berdasarkan faktor-faktor berikut:
a) Demokrasi memberi kebebasan kepada rakyat memilih kerajaan yang mereka kehendaki. Selama berpuluh-puluh tahun rakyat negeri Terengganu memilih parti Barisan Nasional (BN) untuk memerintah mereka dan selama itu tidak ada sebarang diskriminasi dilakukan terhadap Kerajaan Negeri Terengganu oleh Kerajaan Pusat. Tetapi aoabila kerajaan Negeri Terengganu diambilalih oleh parti Barisan Alternatif (BA) yang dipimpin oleh PAS dan telah melaksanakan polisi baru yang memberikan manfaat kepada rakyat di antaranya:
i. Menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmud. 
ii. Menghapuskan cukai pintu rumah kediaman. 
iii. Menaikkan elaun Imam dan Bilal. 
iv. Menaikkan bantuan Kebajikan Masyarakat kepada orang miskin dan kurang upaya. 
v. Memberikan kemudahan pinjaman kenderaan dan rumah kepada kakitangan kerajaan dan agensinya tanpa riba dan tanpa keuntungan.
vi. Memberikan kemudahan cuti bersalin selama tiga bulan kepada kakitangan wanita dengan dibayar gaji penuh. 
vii. Membuka semula permohonan tanah kepada rakyat yang sudah dibekukan berpuluh-puluh tahun, membuka tapak kediaman dan penternakan. 
viii. Menyusun semula aspek-aspek pendidikan agama sama ada di sekolah-sekolah kerajaan atau yang diuruskan oleh rakyat. 
ix. Menekankan konsep pembangunan yang menyeluruh dan bersepadu berteraskan kepada konsep pembangunan insan. 
x. Penubuhan Suruhanjaya Hisbah iaitu satu-satunya yang pernah ditubuhkan di Malaysia. Satu mekanisma bagi menjamin terlaksananya ketelusan, keadilan, akauntabiliti dan good governance yang menyeluruh dan merata bagi kepentingan rakyat tanpa mengira perbedaan kaum, agama dan politik. xi. Semua perubahan ini dilihat oleh pimpinan BN sebagai satu ancaman kepada pengaruh dan kekuatan mereka bukan sahaja di Terengganu tetapi di luar negeri Terengganu. Ketakutan dan kepentingan politik inilah yang mendorang mereka melakukan diskriminasi dan penindasan secara terancang kerajaan negeri Terengganu sekarang.

Oleh itu, atas nama hak dan keadilan, usul ini perlu mendapat sokongan padu termasuk daripada pembangkang. Dr Sulaiman Abdullah Adun Ladang, Terengganu.