ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU
 

Vincent Tan Dan Pekasamnya Di Sydney
 
 

Sebaik sahaja beliau pulang daripada Persidangan Puncak ASEM di Seoul pada 21 Oktober 00; Perdana Menteri telah melakukan upacara penurapan kerja dan peletakan batu-tanda untuk seorang peniaga yang dikatakan bertaraf antarabangsa dan yang tidak ada tolok bandingannya. Upacara itu dilakukan kepada sebuah bangunan terbaru kepunyaan Vincent Tan yang pada awalnya dinamakan Berjaya Star City. Kini, bangunan itu dinamakan pula Berjaya Times Square dan berkemungkinan menjadi kompleks membeli belah terbesar di Asia Tenggara - lebih besar daripada sebuah komplek yang seakan serupa tetapi masih mempunyai ruang kosong yang banyak. Itulah kompleks beli-belah Mid Valley Mall yang terletak tidak jauh dari situ. Seperti projek Vincent Tan yang lain, bangunan yang terbaru ini adalah lambang sebuah projek yang diusahakan oleh para kroni, kerana ia telah tergendala disebabkan ketiadaan wang. Namun, kelewatan menyiapkannya ditohmahkan kepada krisis ekonomi Asian sedangkan dalil yang sebetulnya ialah beliau memang tidak berduit pun untuk meneruskan projek itu. Kehadiran Perdana Menteri itu adalah bertujuan memberitahu seluruh dunia betapa beliau memang amat mudah mendekatinya dan tentunya untuk mendapatkan projek lain lagi. Vincent Tan memang memerlukan kejayaan Times Square untuk menonjolkan kejayaan kumpulan syarikatnya yang bernama Berjaya Group itu. Di masa yang lalu dia telah banyak menyalahgunakan peluang keemasan disebabkan keangkuhannya dan masa hadapan mungkin menghambatnya dengan keaiban.
 

Berjaya Square bukanlah sesuatu yang mencucuk minda Vincent Tan kebelakangan ini. Ada satu syarikat kepunyaannya di Australia yang bernama Carlovers yang kini sedang menghadapi saman malu di Sydney yang dituntut oleh seorang bekas wartawan Malaysia bernama Ganesh Sahathevan yang sedang menekan perasaanya. Syarikat itu juga sedang menghadapi masalah untuk membayar A$18,000 sebagai royalti kepada satu kumpulan pencinta alam bernama Planet Ark. Tuntutan Mr. Sahathevan itu adalah satu tuntutan balas yang mungkin akan menekan Vincent Tan. Seorang jurucakap Carlovers telah mengulangi pendapat Pengarah Urusan syarikat itu, Mr. Andrew Teh, yang berkata,
 

"Walaupun kami tidak mempunyai wangtunai sekarang ini, tidak bererti kami sudah muflis."
 

Planet Ark yang pernah mendapatkan khidmat Piere (James Bond) Brosnan sebagai salah seorang jurucakapnya, telah mencuba mendapatkan kembali A$18,000 itu daripada Carlovers yang merupkan sebuah syarikat tersenarai di bursa saham Australia, sebagai hutang lapuk dalam satu perjanjian promosi. Planet Ark telah dikehendaki mencanangkan Carlovers sebagai sebuah syarikat yang mesra alam dan dijanjikan sebahagian peratusan daripada kutipan wang yang diterima. Perjanjian bertulis ini telah lama ditandatangani sebelum Vincent Tan mengambil alih dan kerana itulah Mr. Teh cuba mempertikaikannya. Planet Ark telah memberitahu Carlovers, kalau hutang itu tidak dibayar, sebelum berakhirnya waktu perniagaan pada 23 Oktober 00, syarikat itu akan membuat tuntutan bayaran secara terus daripada Vincent Tan dan akan melakukan beberapa usaha untuk memberitahu seluruh dunia akan peranan Berjaya Group dalam mencemar alam sekitar di Malaysia, Amerika Selatan dan di mana juga terdapatnya syarikat kepunyaan beliau itu.
 

Ugutan ini sudah tentu akan mencemarkan nama Vincent Tan. Perdana Menteri sepatutnya telah diberi nasihat agar tidak melakukan apa yang telah dilaksanakannya kelmarin. Masyarakat media Australia masih lagi marah dengan cara Vincent Tan memperlekehkan undang-undang Australia untuk menyekat kebebasan akhbar. Dalam satu kes mahkamah di mana tarikh kes itu belum lagi ditentukan, kisah kroni Perdana Menteri ini sudah tentu akan menggegarkan dan mempalitkan sistem kehakiman di Malaysia sebagai ekorannya. Vincent Tan telah berjaya memperlekehkan sistem kehakiman di Malaysia, dan kini mencuba cara yang sama di Australia. Tetapi, dia merupakan satu mangsa kejayaan putarabelit kehakiman itu.
 
 

Di Australia dia dianggap sebagai seorang kaki gedebe. Perkara semacam ini tidak pula berlaku di Malaysia kerana sifat kita yang mudah berlembut dalam memilih perkataan. Lagipun sesiapa yang berani menyanggah beliau di Malaysia sudah tentu akan mengalami kekalahan kerana adanya kemudahan untuk peguam kroninya menulis keputusan mahkamah bagi pihak hakim yang mengadili kes yang dihadapinya. Itu sebabnya beliau selalu menang dan berjaya menuntut gantirugi berjuta harganya dalam setiap kes yang dibawanya ke mahkamah. Di Australia nanti, banyak pihak akan mahu tahu daripada mulutnya sendiri bagaimanakah agaknya peniaga yang disebut oleh peguam kroninya sebagai bertaraf antarabangsa dan tidak ada tolok bandingnya ini, mencanai jaringan perniagaan di seluruh dunia itu.