Make your own free website on Tripod.com
 


Perhimpunan 'Tak Melayu Hilang Di Dunia', wajarkah??


Umno melalui 'orang-orang pencennya' dipercayai akan terus menerus mempolitikkan isu perpaduan orang-orang Melayu dengan harapan akan mendapat sokongan dan dokongan semua lapisan dan peringkat orang-orang melayu sekaligus berhasrat meraih gelaran 'HERO' di kalangan orang-orang Melayu. Kalau sebelum ini melalui GPMS yang berketuakan Dato' Suhaimi Ibrahim cuba bertindak sebagai pejuang melayu kununnya bertindakbalas dengan tuntutan Suqiu (sebenarnya rayuan) yang dikemukan oleh orang-orang Cina, kini usaha tersebut cuba diteruskan pula oleh 'politikus pencen atau politikus spesis terakhir Umno' seperti Mazlan Harun dan Pak Brahim Ali yang 'terkemut' keluar dari Barisan Taik dalam Pemilu yang lalu. Sebagaimana yang dilaporkan antara spesis terakhir Umno yang lain yang dijangka hadir ialah Tun Ghafar Baba, bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Ghazali Shafie dan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah.

Persoalannya sekarang, apakah mainan politik murahan orang-orang pencen ini bakal mendapat sokongan dan dokongan orang-orang Melayu seluruhnya? Seperti penulis pernah katakan bahawa hanya segelintir sahaja spesis orang-orang Melayu kini yang masih 'dibuai nostalgia' lama sezaman dengan Hang Tuah itu sedangkan melayu kini adalah umat yang telah sedar serta insaf dari lena yang telah sekian lama hasil warisan pemikiran penjajah dahulu kala. Orang-orang Melayu generasi kini adalah satu umat yang bercita-cita besar, berfikiran jernih dan tajam, berwawasankan Islam sebagai cara hidup, mendokong suatu wadah perjuangan kebenaran dan keadilan yang berprinsipkan ajaran dan tuntutan Islam, berhasrat untuk berpemimpinkan mereka yang faham dan berkomitmen terhadap Islam dan bukan sama sekali mahu kembali ke zaman silam.

Apakah persoalan Melayu dirasakan lebih penting dari masa depan Islam dan perkembangannya? Sering kali terdengar hujjah dari minda yang boleh dipersoalkan lahir dari mulut pimpinan Melayu Umno bahawa orang Melayu itu Islam dan Islam itulah anutan orang-orang melayu, berbahasa-bahasa melayu dan berbudaya budayakan melayu. Tapi mereka lupa atau memang tertutup pintu hati bahawa orang melayu itulah juga yang semakin ingin menguatkan anutan mereka terhadap agamanya, orang melayu itulah juga yang ingin meninggalkan dan menolak budaya-budaya melayunya yang tidak selaras dengan kehendak agamanya, orang-orang melayu itulah juga yang sudah bijak dan faham menilai mana satu milik melayu dan mana satu milik islam hasil dari kefahaman sebenar mereka terhadap agamanya, orang melayu itulah juga yang sudah benci kepada perkara-perkara yang berunsurkan kezaliman dan penyelewengan dan yang lebih jelas orang-orang melayu itulah juga yang mula mahu menolak pemimpin-pemimpin melayu yang rasuah, menyeleweng, terlibat dengan skandal seks, judi dan arak yang jelas tidak mematuhi kehendak agama yang dianutinya.

Maka kalaulah sedemikian rupa kemahuan dan kehendak orang-orang Melayu, bukankah itu suatu pertunjuk bahawa orang-orang Melayu sedang menuju ke arah perpaduan sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam? Justeru kesan perpaduan itulah sebenarnya yang telah mula dikira membawa padah kepada segelintir Melayu alpa yang karam dalam lautan nafsu, kebendaan dan kesyaitanan lalu bingkas bangun mencanangkan teori-teori perpaduan khayalan mereka untuk dilaksanakan?? Sesungguhnya segelintir melayu spesis inilah sebenarnya menjadi 'tukang karut' dan 'tok dalang' kepada perpaduan yang entah ke mana hala tujunya.

Seharusnya, semua pemimpin masa hadapan adalah dikalangan muslim dan mukmin selari dengan kemahuan dan aspirasi orang-orang melayu generasi baru selain membuktikan kebenaran bahawa Melayu itu Islam dan Islam bukan semestinya milik orang-orang Melayu. Penulis masih teringat kata-kata Tok Guru Nik Aziz sekira-kira beliau berkata bahawa adalah tiada bererti sekiranya memelihara kaum, kelompok atau bangsa kerana masing-masing tidak mungkin bertukar antara satu dengan lain. Bangsa Melayu tetap Melayu dan tidak mungkin bertukar bangsa menjadi bangsa Cina, India dan sebagainya dan begitu sebaliknya. Kecuali agama katanya. Agama perlu dipelihara, dijaga kerana ia boleh hilang dan terlepas berbeza dengan bangsa yang kekal sampai bila-bila. Sekiranya yang berkulit sawo matang dan berbahasa Melayu, maka itulah melayu dan bukan Cina ataupun India. Sekiranya agama dipelihara seterusnya disebarkan sudah pasti runtuh sempadan bangsa, kaum bahkan geografinya sekali lenyap. Yang wujud pada ketika itu adalah perpaduan muslim dan mukmin. Bukan sekadar penganut-penganutnya yang berbilang kaum dan bangsa berpadu, lebih besar lagi watan dan tanah airnya sekali. Bukankah ini telah menjadi suatu teori yang telah lama ditinggalkan oleh Baginda dan para sahabat? Lalu kembalilah ke pangkal jalan wahai orang-orang Melayu! Berpijaklah pada kejernihan fikrah dan kefahaman Islam sekiranya kamu mahukan perpaduan!

Orang-orang Melayu generasi baru seharusnya mengalu-alukan keputusan pimpinan pemuda baru Dewan Pemuda PAS Pusat yang menolak untuk menyertai perhimpunan yang dijangkakan berlangsung pada 4 Feb nanti yang lebih berbau perkauman. Dan langkah untuk tidak melibatkan diri dalam perkara-perkara yang berbau perkauman itu sudah semestinya diikuti oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu dan NGO yang lain agar kemelut minda 'orang pencen' tidak menyusup masuk ke dalam pemikiran generasi Melayu baru.

Perhimpunan 4Feb, apakah yang ingin disuarakan dan dilaungkan ke atas hak-hak orang Melayu?? Di mana pula laungan Islam yang dianggap milik melayu itu sementalahan masih banyak lagi hak-hak orang Melayu Islam dinafikan?? Perihal Ulama Melayu Islam yang dinafikan haknya untuk bersuara secara bebas, menegur dan menasihat, mengajar dan mendidik orang-orang Melayu Islam?? Apatahlagi soal hukum dan undang-undang Islam yang menjadi anutan Melayu itu, ke mana harus diketepikan?? Soal pendidikan Islam kepada anak-anak Melayu islam yang masih lagi tidak disempurnakan dari hal tempat, bangunan dan kemudahan masih jauh dari mencukupi. Pondok-pondok dan tempat pengajian anak-anak Melayu islam tidak terbela dan dibiarkan pupus tanpa usaha serius untuk memberi bantuan kewangan dan kemudahan kecuali di negeri-negeri yang diperintah oleh PAS di Kelantan dan Terengganu. Masih banyak lagi milik swasta dan persendirian diabaikan dari sudut kewangan dan kebajikan.

Natijahnya pusat-pusat berkenaan terpaksa mengenakan yuran pembelajaran yang tinggi kerana terpaksa memberi imbuhan gaji yang hampir selaras dengan guru-guru di bawah Kementerian. Soalnya, siapakah yang belajar di pusat-pusat berkenaan??? Bukankah anak-anak Melayu Islam yang dikatakan ingin dibela dan dipelihara haknya?? Itu belum menyentuh kesukaran anak-anak melayu yang sebahagian besarnya belajar ke luar negeri (di Timur Tengah) yang terpaksa ditanggung oleh bapa-bapa melayu yang kununnya juga ingin dibela itu. Itu soal pendidikan.

Bagaimana pula dengan tanah-tanah rizab hak milik orang-orang melayu? Bukankah telah 'mengecut' juga?? Lalu apa yang hendak dibela?? Soal peniaga-peniaga kecil Melayu, usahawan melayu, petani-petani Melayu, pekebun kecil Melayu, nelayan Melayu, pemandu teksi melayu dan sebagainya, apakah sudah cukup sumbangan dan bantuan kamu wahai 'politikus pencen', 'tukang karut' dan 'tok dalang' perpaduan melayu??? Bukankah usaha kalangan kamu yang telah mengakibatkan harga komoditi seperti kelapa, kelapa sawit, getah telah jatuh begitu teruk jauh berbeza pada zaman kegemilangan Tun Abd. Razak dahulu?? Siapakah mereka yang mengusahakan hasil pertanian tersebut, bukankah orang-orang Melayu juga yang hendak kamu bela itu??? Suburnya pemimpin berbudaya rasuah, menyeleweng harta rakyat, mengaut keuntungan peribadi hasil titik peluh rakyat, adakah pemimpin melayu jenis ini yang hendak dibela???

Maka wajarkah menyertai atau diteruskan perhimpunan 'Tak Melayu Hilang Di Dunia' itu? Penulis kira tidak perlu kerana ia tidak dianjur oleh Islam yang bersifat universal . Lagipun bimbang 'Tak Melayu Hilang Di Dunia' akan bertukar 'Tak Perasuah, Penyeleweng, Pengaut Harta Rakyat Hilang Di Dunia' kerana jelas Melayu sudah pasti tidak hilang berbanding perasuah, penyeleweng, pengaut harta dibimbangi hilang merudum jatuh tersungkur menyembah bumi sebelum waktunya.
 

ntzalim
30/1/2001 4.30am