Kebajikan Rakyat Tumpuan Awal
     Wawancara dengan Dr Syed Azman, Bekas Pensyarah Sains Politik di UM
     Memegang kerusi Parlimen Kuala Terengganu

     Sebahagian Petikan:

     Dijangka akan banyak berlaku perubahan selepas PAS mengambilalih Terengganu?

     Kita akan mengambil pendekatan yang berhemah. Untuk jangka masa terdekat ini tumpuan kita ialah kepada
     kebajikan dan kepentingan rakyat, yang kita lihat sudah begitu lama ketinggalan dan tidak dapat menikmati apa yang
     sepatutnya mereka nikmati. Misalnya yang paling awal kita buat ialah menghapuskan tol di Jambatan Sultan
     Mahmud dan cukai pintu. Apa yang kita janjikan dalam manifesto akan kita kotakan.

     Tentang penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan dulu?

     Penyelewengan di Terengganu terlalu banyak. Sebab itu kita wujudkan satu portfolio Exco Hisbah, yang
     dipengerusikan oleh Tun Salleh Abas. Kita sedang kumpulkan seberapa banyak dokumen yang berkenaan, dan kita
     akan bawa ke tengah. Maknanya kita tidak akan let it go like that. Sebab, penyelewengan-penyelewengan yang
     berlaku itu begitu besar.

     Terengganu ini negeri yang terlalu kaya. Basically we are sitting on a gold mine. Tetapi rakyat Terengganu
     menderita, akibat daripada penyelewengan yang terlalu lama.

     Penduduk Terengganu sekarang lebih kurang satu juta orang. Hasil pendapatannya hampir RM1 bilion setahun.
     Royalti lima peratus daripada Petronas sahaja pun hampir RM600 juta. Bayangkanlah, sudah berapa tahun Umno
     dan BN mengumpul hasil itu, ke mana perginya? Hilang dalam Perwaja sahaja pun tak kurang RM200 juta, dan
     dalam Gunawan Steel lagi RM50 juta.

     Berkenaan petrol dan gas di Terengganu, apa hak Terengganu selain daripada royalti?

     Perkara ini di bawah Exco yang dipengerusikan oleh Mustaffa Ali. Saya difahamkan ada banyak perkara yang kita
     akan runding semula, terutamanya dari segi kepentingan dan kebajikan negeri Terengganu sendiri, yang kita rasa
     Petronas boleh membantu. Misalnya, Petronas boleh memberi sumbangan biasiswa kepada anak-anak Terengganu.
     Bukannya banyak sangat, lebih kurang RM50-RM60 juta sahaja setahun. Satu jumlah yang terlalu kecil untuk
     Petronas, yang hasilnya berbilion ringgit setahun Petronas ada menubuhkan universiti, misalnya. Sepatutnya ia
     dibuat di Terengganu. Tetapi tidak, Universiti Petronas dibuat di negeri lain. Perkara ini semua bersifat politik. Dan
     tokoh-tokoh politik Terengganu tidak dihormati oleh pemimpin-pemimpin pusat. Mereka boleh dipermain-mainkan
     saja. Misalnya, tidak ada seorang pun tokoh politik Terengganu yang dilantik menjadi menteri pusat. Yang ada
     hanya timbalan menteri, yang tidak begitu penting.

     Seperkara lagi yang Petronas boleh lakukan untuk rakyat Terengganu yang menderita akibat kemewahan mereka,
     ialah seperti penduduk dalam kawasan Kerteh, misalnya. Walaupun kawasan itu, maju, ada macam-macam, tetapi
     rakyat di situ menderita. Harga barang mahal dan sebagainya. Harga barang menjadi mahal kerana orang-orang
     Petronas di situ, yang bergaji tinggi, mampu membeli barang berharga mahal. Tetapi rakyat asal Terengganu di situ
     pendapatannya tidak bertambah. Sebaliknya mereka jadi bertambah susah, disebabkan harga barang-barang yang
     mahal. Sepatutnya syarikat besar seperti Petronas itu memberi subsidi kepada orang-orang kampung di situ.