Satu Pandangan Untuk Renungan.

Ketika mengulas penamatan kontrak anggota Unit Penerangan UMNO (UPU) Terengganu, YAB Tuan Guru MB Terengganu yang baru membayangkan bahwa satu Badan yang diberi nama Unit Pembinaan Insan (UPI) akan dibentuk untuk menggantikannya. Menurut beliau, butir-butir terperinci unit tersebut sedang di dalam kajian dan akan dilaksanakan sebaik sahaja kajian selesai. Dengan hal yang demikian, sebahagian besar masyarakat, termasuk saya, tidak mempunyai maklumat penuh untuk menyatakan pandangan atau pendapat yang lebih bermakna dan membina. Walau bagaimanapun, Bersandar kepada perkataan Pembinaan Insan itu sendiri dan interpretasi seorang pengunjung Laman Web ini, bolehlah kita buat kesimpulan bahwa UPI berfungsi untuk mempertingkatkan ketahanan / kekuatan rohani dan jasmani rakyat—ke arah melahirkan rakyat yang bertaqwa. Berasas kepada kesimpulan inilah saya ingin memberi satu pandangan untuk renungan mereka yang berwajib.

Hasrat Kerajaan PAS untuk melahirkan rakyat yang bertaqwa sepertimana digaris dalam Manifestonya menjelang Pilihan Raya ke 10 amatlah dibangga dan dialu-alukan oleh masyarakat terbanyak. Ada beberapa cara pendekatan untuk mencapai matlamat ini hendaklah dikaji dengan teliti agar ianya yang terbaik dari aspek-aspek seperti:
? Keberkesanan perlaksanaanya – praktikal dan tidak merumitkan
? Kos yang sepatutnya – tiada pembaziran
? Mudah dikawal-selia dan mendapat feed-back yang cepat dan benar
Fakta-fakta di atas merupakan sebahagian kecil sahaja, hanya itu yang terfikir saya buat ketika ini.

Penubuhan UPI merupakan satu unit tambahan kepada struktur Organisasi Kerajaan. Ia memerlukan kakitangan tambahan yang banyak, terdiri daripada ketua, tenaga penggerak, penyelaras, pentadbir dan sebagainya. Ia juga perlu di dedah untuk menyesuaikan aturcara perhubungan/pentadbiran ( etika kerja yang mantap) sebelum ianya dapat bergerak melaksanakan fungsinya dengan berkesan. Selain itu, sudah tentu ianya memerlukan pejabat, alat-alat pejabat dan sebagainya lagi. Penubuhan unit ini tentunya menelan belanja yang besar dan akan memakan masa yang lebih lama untuk bergerak dengan berkesan. Lagi pula, jika tersilap langkah ianya akan menjadi Unit Bodek Imam sama seperti UPU. Dengan itu saya berpendapat bahwa UPI tidak perlu ditubuhkan dan syorkan agar jabatan Kerajaan Negeri yang sedia ada diubah-suai atau restructue untuk meliputi fungsi pembinaan insan.

Pejabat Agama Islam adalah satu jabatan yang boleh diubah-suai untuk memenuhi keperluan ini. Ianya, sesuai bagi mempertingkatkan keperluan rohani rakyat  keseluruhannya. Dengan rangkaian perhubungan/penyelarasan yang sedia ada di setiap daerah, ianya dengan mudah boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab ke kampung-kampung melalui Jawatankuasa Masjid dan/atau JSR. Tambahan yang perlu ialah tenaga penggerak/pengajar dan mungkin sedikit pembesaran ruang pejabat sekarang. Cara ini, ianya akan memberi kesan yang positif ke arah mencapai matlamat memupuk/mempertingkatkan kekuatan rohani masyarakat dengan kos yang lebih kecil jika dibandingkan dengan penubuhan unit baru yang berasingan. Bagaimana pula aspek jasmani hendak dilaksanakan?

Sebagai satu cara mempertingkatkan kekuatan jasmani, ianya memerlukan satu unit pusat yang kecil untuk mengendalikan kursus-kursus berkaitan dengan motivasi, kepimpinan, disiplin dan daya-tahan. Di sini saya syorkan agar, sebagai contoh, Pusat Pupuk Semangat yang sedia ada ditukar menjadi Pusat Bina Insan dan mengendalikan kursus –kursus yang tersebut itu dan berbagai-bagai lagi kursus yang difikir sesuai. Kita mempunyai ramai pakar di dalam bidang-bidang yang saya sebut di atas dan mereka ini boleh diundang, dengan bayaran, setiap kali kita hendak mengadakan kursus. Ataupun pada peringkat pertama tenaga penggerak yang berkemampuan boleh dilatih oleh pakar-pakar ini dan selepas itu mereka dijadikan tenaga penggerak tetap. Cara begini, saya percaya akan memberi manafaat yang diharapkan dan dengan perbelanjaan yang minima –mengguna jabatan yang sedia ada dengan sedikit pengubhsuaian.

Inilah pandangan terhad saya dan untuk mendapat pandangan yang lebih bernas saya harap mereka-mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman memberi pandangan mereka. Adalah lebih baik jika pakar-pakar  berbincang berkaitan dengan perkara ini agar satu rumusan yang jitu dapat dikemukakan kepada Kerajaan untuk dipertimbangkan demi untuk kebaikan kita semua.

Terima kasih.
 

Watchdog.