PAS TERUSKAN PROGRAM KEBUDAYAAN SELAGI
 TIDAK BERCANGGAH DENGAN ISLAM
 
 KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pas Terengganu
 akan terus melaksanakan program kebudayaan dan pelancongan
 yang dirangka kerajaan Barisan Nasional (BN) selagi ia tidak
 bercanggah dengan Islam.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan
 Pelancongan negeri Wan Hassan Mohd Ramli berkata kerajaan Pas
 akan melihat semua program yang dirancangkan oleh BN di negeri
 ini.

 "Secara kasarnya kita tidak akan menolak kebudayaan dan
 pelancongan selagi ia tidak bercanggah dengan Islam," katanya
 kepada pemberita selepas majlis sambutan peserta pacuan empat
 roda Rainforest Challenge '99 di sini hari ini.

 Wan Hassan adalah Exco kerajaan Pas yang pertama menghadiri
 majlis rasmi kerajaan selepas Pas memerintah Terengganu
 berikutan memenangi pilihan raya umum lepas.

 Wan Hassan bagaimanapun berkata kerajaan akan mengkaji semula
 acara-acara permainan yang bercanggah dengan Islam pada Pesta
 Pantai bagi memastikan pesta itu lebih sihat.

 Rainforest Challenge '99 yang dianjurkan bersama kerajaan
 Terengganu dan Motorsports Adventure Sdn Bhd disertai 255
 peserta termasuk media cetak dan elektronik dari 22 buah negara
 iaitu dari benua Eropah, Afrika, Asia Pasifik dan Amerika Utara.

 Negara-negara itu ialah Jepun, Indonesia, Singapura, Taiwan,
 Hong Kong, Korea Selatan, Thailand, Australia, Malaysia, Sweden,
 United Kingdom, Sepanyol, Itali, Switzerland, Belanda, Denmark,
 Jerman, Belgium, Poland, Perancis, Afrika Selatan dan Amerika
 Syarikat.

 Acara Rainforest Challenge bermula esok di Tasik Kenyir, Hulu
 Terengganu dan berakhir di Awana Kijal, Kemaman.

 -- BERNAMA