TERENGGANU DARUL IMAN
MEMBANGUN MENURUT ISLAM

Ucapan Penangguhan YB Abd Rahman b. Yusof
Ahli par rlimen Kemaman pada 13 Julai 2000

Kebebasan Bertindak Badan
Pencegah Rasuah (BPR)

Badan Pencegah Rasuah (BPR) adalah sebuah badan yang
ditubuh untuk mencegah dan membanteras
segala bentuk jenayah rasuah secara tegas dan adil,
tanpa prasangka mengikut undang-undang dan
peraturan semasa.

Perlaksanaannya dibuat melalui beberapa kaedah dan di
antaranya ialah:

.    Menentukan  semua pengaduan berkaitan perlakuan
rasuah yang berasas diterima dan diproses dengan
segera serta identiti pemberi maklumat dirahsiakan;

.    Mempastikan tindakan risikan dan siasatan setiap
kes perlakuan jenayah rasuah dijalankan secara teliti,
menyeluruh dan objektif;

.    Mempastikan usaha-usaha pencegahan rasuah dan
penghayatan nilai-nilai murni dikalangan pemimpin
dan masyarakat umum dilaksanakan secara terancang,
bersepadu dan berkesan;

.    Menentukan pendakwaan setiap kes jenayah, rasuah
dikendalikan secara cekap dan adil;

.     Memastikan maklumat untuk kenyataan media cetak/
elektronik adalah jelas dan tepat tanpa
prasangka serta tidak menjejaskan imej dan kepentingan
BPR, Kerajaan dan Negara.

Melalui kaedah yang tersebut di atas sepertimana yang
terpampang di dalam Piagam Pelanggan BPR ini
bermakna BPR cukup teliti dan bebas bertindak. Walau
bagaimanapun apakah ini yang diamalkan oleh
BPR sekarang? Sudah banyak kes telah dilaporkan oleh
pelbagai pihak tetapi setakat ini rakyat
tertunggu-tunggu apa tindakan yang sudah diambil oleh
pihak BPR. Rakyat sangsi akan kebebasan BPR
bertindak  terhadap kes-kes yang telah dilaporkan itu.
 

Diantara kes yang telah dilaporkan termasuklah:-

1)  Kes pengumpulan harta yang begitu banyak dalam
usia yang muda oleh Encik Ling Hee Loong anak
kepada Menteri Pengangkutan yang dilaporkan oleh Encik
Lim Kit Siang;

2)  Kes pengumpulan harta dan pemberian kontrak yang
begitu banyak kepada tiga orang anak Perdana
Menteri yang menguasai begitu banyak syarikat-syarikat
perniagaan yang dilaporkan oleh pelbagai badan
NGO dan Parti Politik;

3)  Kes penyelewengan dalam pengurusan Perwaja yang
dilaporkan oleh bekas Timbalan Perdana
Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim;

4)  Kes perlantikan 'proxy' dengan izin oleh Menteri
Kewangan untuk menerima pengagihan saham yang
disalurkan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian
Perdagangan Antarabangsa bagi pihak beliau
atau UMNO yang dilaporkan oleh bekas Timbalan Perdana
Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim;
 
 

5)  Kes pengumpulan harta oleh bekas Ketua Menteri
Melaka Dato' Rahim Thamby Chik yang dilaporkan
oleh Encik Lim Guan Eng dan Dato' Seri Anwar Ibrahim ;
 

6)  Kes percutian oleh Ketua Hakim Negara dan Peguam
Negara dengan peguam V.K. Linggam di luar
negara yang didedahkan oleh internet dan akhbar Asian
Wall Street Journal;

dan banyak lagi kes-kes yang oleh kerana masa terhad
tidak dapat disebut semuanya. Kes-kes yang
dilaporkan ini semuanya disertakan dengan
dokumen-dokumen dan bukti-bukti kukuh yang boleh
dipersahkan.

Persoalannya apakah BPR bebas bertindak terhadap
kes-kes ini atau terpaksa menunggu arahan atau
'clearance' dengan izin dari pihak-pihak tertentu
sebelum bertindak. Sekiranya kes ini melibatkan orang
yang memberi arahan atau 'clearance' dengan izin
bagaimana BPR bertindak terhadap orang tersebut?
Bukankah arahan-arahan ini merupakan kesalahan
mengikut Ordinan 22 Akta Darurat 1960 dan Akta
Pencegah Rasuah 1997? Mengapa BPR tidak bertindak atau
memang betul BPR tidak bebas bertindak?

Pada 13hb. Jun 2000 satu laporan polis bernombor
(polis 55 : 656410) telah dibuat di Lokap Mahkamah
Persekutuan, Kuala Lumpur oleh Dato' Seri Anwar
Ibrahim. Diantara kenyataan yang terkandong didalam
laporan polis tersebut ialah:

          "Bahawa Dato' Seri Dr Mahathir Muhammad,
Perdana Menteri telah memanggil Dato' Shafie
Yahya (bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah) ke
pejabat Perdana Menteri pada bulan Jun
1998 dan memarahi beliau kerana mengeladah pejabat
Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan
Perdana Menteri dan memperolehi wang tunai sebanyak
seratus ribu ringgit (RM 100,000). Seterusnya
Dato' Seri Dr. Mahathir telah mengarahkan Dato' Shafie
 supaya menghentikan penyiasatan tersebut
dengan serta-merta."

Laporan polis ini dibuat berdasarkan kepada keterangan
Dato' Sahfie Yahya di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur pada 12hb Jun 2000 yang tidak dicabar oleh
pihak pendakwa.

Persoalannya, mengapa BPR tidak meneruskan penyiasatan
atau pendakwaan terhadap bekas Ketua
Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana
Menteri,   Tan Sri Ali Abu Hassan Sulaiman yang
terbukti melakukan kesalahan rasuah? Bukankah ini
merupakan tanggungjawab dan kewajipan pihak BPR
mendakwa pegawai tersebut melalui proses undang-undang
dan peraturan semasa secara cekap dan adil?
Atau memang benar BPR tidak bebas bertindak? Yang
peliknya beliau dinaikkan pangkat pula sebagai
Governor Bank Negara setelah ditangkap melakukan
rasuah.

Saya ingin penjelasan di mana letaknya kebebasan BPR
bertindak sekiranya kes sebegini rupa boleh
diarahkan ditutup oleh Perdana Menteri. Bukankah
arahan ini merupakan penyalahgunaan kuasa,
melindungi perasuah serta menghalang perjalanan proses
keadilan?  Dan ini adalah kesalahan mengikut
Ordinan 22 Akta Darurat dan Akta Pencegah Rasuah 1997.
Apakah pihak BPR atau polis atau
Pendakwaraya akan mendakwa Perdana Menteri yang
terbukti mengarahkan penyiasatan BPR terhadap
Tan Sri Ali Abu Hassan Sulaiman ditutup setelah begitu
banyak laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak
termasuk Sdr. Ezam Mohd Noor, Ketua Pemuda Parti
Keadilan Nasional dan Y.B.  Wakil dari Pokok
Sena?

Yang lebih menggemparkan lagi ialah kenyataan media
yang dibuat oleh Ketua Pengarah BPR sekarang
Dato' Ahmad Zaki Hussein  di Pulau Langkawi baru-baru
ini bahawa:

" Perdana Menteri tidak pernah menggangu penyiasatan
oleh BPR."

Bukankah ini perbuatan melindungi perasuah dan
membuktikan bahawa BPR bersengkongkol dalam
menghalangi penyiasatan yang mesti dilakukan oleh
pihak BPR terhadap Perdana Menteri apabila
menerima laporan seperti yang dibuat oleh Dato' Seri
Anwar Ibrahim?

Persoalannya bagaimana Ketua Pengarah BPR sekarang
boleh membuat kenyataan sedemikian. Beliau
menjadi Ketua Pengarah BPR baru setahun sedangkan BPR
telah wujud lebih dari 32 tahun dan Dr.
Mahathir sudah menjadi Perdana Menteri lebih daripada
19 tahun? Apa yang diperkatakan oleh Dato'
Shafie Yahya, bekas Ketua Pengarah BPR adalah
kenyataan bersumpah di mahkamah dan tidak dicabar
oleh pihak pendakwa pula. Apakah Ketua Pengarah BPR
sekarang diarahkan membuat kenyataan
sedemikian sebagai usaha terbaru Perdana Menteri
melindungi beliau dari diambil tindakan? Bukankah
kenyataan ini berunsur politik dan bercanggah dengan
Piagam Pelanggan BPR iaitu:

" Memastikan maklumat untuk kenyataan media cetak/
elektronik adalah jelas dan tepat tanpa prasangka
serta tidak menjejaskan imej dan kepentingan BPR,
Kerajaan dan Negara."

Kenyataan ini jelas dan terang menunjukkan bahawa BPR
bukannya lagi sebuah badan bebas tetapi
terikat kepada arahan oleh pihak-pihak tertentu.

Bagaimana pula dengan kenyataan media Dato' Ahmad Zaki
Hussein berhubong dengan Akuan Berkanun
Dato' Murad mengenai akaun RM 3.0 billion kepunyaan
Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan
begitu pantas dimana beliau menyatakan:

"...... hampir setiap ayat dan perenggan didalam
Pengakuan Berkanun Dato' Murad mengandongi 'unsur
rasuah'." dan disiarkan secara besar-besaran melalui
arus media Perdana dalam dan luar negara.

Saya nak tanya kedudukan muktakhir penyiasatan Akuan
Berkanun Dato' Murad yang sudah lebih 8
bulan dibuat atau bertanggongjawab diatas kenyataan
beliau yang berunsur politik dan tidak
bertanggongjawab apatah lagi apabila ia dibuat pada
masa hampir pilihanraya berlangsung baru-baru ini.
Bukankah ini kenyataan yang berunsur politik dan
dibuat atas kehendak atau arahan pihak-pihak tertentu?

Tindakan dan kenyataan-kenyataan BPR ternyata
menunjukkan bahawa BPR tidak bebas bertindak.
Sekiranya benar BPR tidak bebas dalam menjalankan
tanggungjawabnya, keyakinan rakyat terhadap
kewibawaan  badan ini akan hilang dan rakyat tidak
yakin lagi bahawa kerajaan bersungguh dalam usaha
untuk menghapuskan amalan rasuah yang berleluasa
sekarang ini dan dilaknat Allah SWT.

Terima kasih.
 

Abd Rahman b Yusof
Ahli Parlimen Kemaman

__________________________________________________