SEMASA membahas Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) Pindaan 2000, Ahli Parlimen Kamaman, Abd Rahman Yusof meminta BPR atau Badan Siasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat penglibatan Daim Zainuddin selaku Menteri Kewangan dalam transaksi 'restructuring exercise' terhadap syarikat Malaysian Plantation Berhad yang didakwa melibatkan Daim secara peribadi serta mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Menurut Abd Rahman 'restructuring exercise' ini melibatkan penjualan 100% saham International Bank of Malaysia Berhad kepada Multi Purpose Bank Bhd yang merupakan anak syarikat kepada Malaysian Plantation Berhad yang menguasai 70% dari jumlah sahamnya. Melalui penjualan ini pemegang saham International Bank of Malaysia Berhad iaitu Langkah Bahagia Sdn. Bhd dan Malaysian British Assurance ditawarkan saham baru Malaysian Plantation Berhad.

Dengan ini Langkah Bahagia Sdn Bhd (sebuah syarikat yang dikuasai Lutfiah Ismail, yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan Menteri Kewangan) akan menjadi 'substantial shareholder' Malaysian Plantation Bhd.

"Daim yang menguasai Bolton Finance Bhd melalui Syarikat Maluri Sdn Bhd juga menjual saham Bolton Finance kepada Multi Purpose Bank Berhad dengan kaedah yang sama iaitu pertukaran dengan saham baru Malaysian Plantation Berhad," katanya.

Di antara pemegang saham Maluri Sdn Bhd ialah Daan Sdn Bhd (syarikat keluarga Menteri Kewangan), Asnida Abdul Daim (anak Menteri Kewangan), Aslinda Abdul Daim (anak Menteri Kewangan), Mahani Idris (isteri Menteri Kewangan), Daza holdings Sdn Bhd (syarikat keluarga Menteri Kewangan).

Menurut Rahman, dengan penjualan International Bank Of Malaysia dan Bolton Finance Bhd kepada Multi Purpose Bank Berhad melalui cara pertukaran saham Malaysian Plantation Bhd, Daim akan menguasai Malaysian Plantation Berhad melalui Langkah Bahagia Sdn. Bhd dan Syarikat Maluri Sdn Bhd.

Malaysia Plantations Berhad mengadakan Mesyuarat Agong Luarbiasanya pada 14 Dis 2000 dan meluluskan 'restructuring exercise' ini. Melalui 'restructuring exercise' yang diluluskan Malaysian Plantation Berhad akan menguasai Multi Purpose Bank Bhd, Bolton Finance Bhd, Bumiputra Merchant Bank Bhd, MBf Finance Bhd, Sabah Bank Bhd, Sabah Finance Bhd, Amanah Merchant Bank Bhd dan lain-lain.

Bank yang dilantik sebagai penasihat ialah Commerce International Merchant Bankers Berhad yang dikuasai Kumpulan Renong. Pada asalnya Danamodal (sebuah badan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan) bercadang menjual 60% saham MBf Finance kepada Multi Purpose Bank Berhad dengan harga RM480 juta. Harga ini ialah 50% harga asal yang dibeli Danamodal bernilai RM960 juta yang boleh mengakibatkan kerugian RM480 juta oleh Danamodal jika ia diteruskan.

Bagaimanapun ia tidak diteruskan setelah dibongkar Abd Rahman Yusof di Parlimen sebelum Mesyuarat Agong Luar Biasa pemegang saham Malaysian Plantation Berhad diadakan. Semasa perbahasan Pindaan Perlembagaan - Putrajaya menjadi Wilayah Persekutuan dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Kementerian Kewangan Abd Rahman juga mengungkitkan bahawa Malaysian Plantation Berhad merupakan salah sebuah syarikat di dalam konsortium Putrajaya Perdana yang ditawarkan projek bernilai RM 3.0 billion untuk pembangunan Putrajaya dalam fasa pembangunan tempat kediaman dan perdagangan. Ini tidak termasuk fasa-fasa lain yang mungkin akan ditawarkan juga kepada Malaysian Plantation Berhad.

"Transaksi ini jelas menunjukkan ada unsur penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah" ujar Rahman.

Ini kerana:
(a) Kelulusan penjualan saham-saham bank dan syarikat kewangan secara 'substantial' memerlukan kelulusan dari Menteri Kewangan.
(b) Penglibatan Menteri Kewangan secara peribadi dalam penjualan International Bank of Malaysia Bhd dan Bolton Finance Bhd melalui Langkah Bahagia Sdn Bhd dan Syarikat Maluri Sdn Bhd.
(c) Penjualan saham MBF Finance oleh Danamodal kepada Multi Purpose Bank Bhd dengan kerugian sebanyak RM480 juta oleh Danamodal memerlukan kelulusan Menteri Kewangan.
(d) Pemberian kontrak kepada Putrajaya Perdana yang melibatkan Malaysian Plantation Berhad oleh Putrajaya Holding di bawah pengawasan Menteri Kewangan.

Detik Daily
http://detik.daily.tripod.com
29 Januari 2001