FITNAH KETERLALUAN BN PUNCA UNDI PEMBANGKANG
 MENINGKAT

   BERGAYA ... Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang dibantu Exco Kanan
   Kerajaan Negeri Mustafa Ali menyarungkan jubah rasmi Speaker Dewan
 Undangan Negeri Terengganu Husain Awang. Husain, 52, Ketua Penerangan
      Pas Terengganu menggantikan Datuk Abdul Rahman Mohamad.

 KUALA TERENGGANU, 20 Dis -- PAS hari ini menidakkan
 bahawa undi yang diperolehi Umno berkurangan pada pilihan raya
 umum lepas disebabkan fitnah PAS sebaliknya mendakwa ia
 berpunca daripada fitnah Barisan Nasional sendiri yang keterlaluan.
 

 Naib Presiden PAS pusat Mustafa Ali berkata fitnah dan
 pembohongan yang dilakukan oleh BN termasuk menggunakan
 media massa membuatkan pengundi merasa benci dan memberikan
 undi mereka kepada pembangkang.

 "Post mortem yang kita (PAS) buat (menunjukkan) kerana dia (BN)
 buat fitnahlah yang kita dapat undi banyak kerana fitnah itu buat
 orang benci," katanya kepada pemberita selepas persidangan
 Dewan Undangan Negeri Terengganu dan majlis angkat sumpah
 anggota dewan di sini, hari ini.

 Akhbar hari ini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir
 Mohamad berkata fitnah dan pembohongan yang disebarkan PAS
 serta masalah dalaman parti adalah antara faktor menyebabkan
 undi diperolehi Umno pada pilihan raya lepas berkurangan.

 Dr Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi
 (MT) Umno semalam berkata dalam kempen pilihan raya lepas PAS
 antaranya mendakwa kononnya beliau tidak mengiktiraf ulama dan
 Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad
 pula adalah penternak babi.

 Mustafa berkata fitnah BN yang keterlaluan itu menyebabkan undi
 yang diperolehi pembangkang terutama PAS meningkat yang
 membolehkannya menawan Terengganu dan berkuasa kembali di
 Kelantan.

 Beliau juga berkata Perdana Menteri tidak boleh menafikan bahawa
 beliau tidak mengiktiraf ulama kerana Dr Mahathir pernah membuat
 kenyataan itu pada perhimpunan Agung Umno.

 "Dia (Dr Mahathir) tak iktiraf ulama masuk politik (kerana) kalau
 masuk politik agama habis tapi dia iktiraf (Datuk Paduka Dr) Abdul
 Hamid Othman dalam Umno," katanya.

 Ketika ditanya mengenai isu sembahyang dua imam di Terengganu,
 Mustafa berkata daripada maklumat yang diterimanya, kejadian
 seumpama itu tidak lagi berlaku di negeri ini.

 "Kerajaan negeri juga telah suruh semua (rakyat) kembali bersatu
 dan setakat ini kami puas hati dengan perpaduan yang ada,"
 katanya.

 Mustafa juga berkata walaupun Terengganu kini di bawah kerajaan
 PAS, tidak timbul masalah untuk menarik kemasukan pelabur
 seperti yang didakwa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
 Industri Datuk Seri Rafidah Aziz baru-baru ini.

 "Dia (Rafidah) apa tahu? Apa yang nyata ialah pelabur sudah mula
 tunjuk minat di Terengganu," katanya.