JANGAN HARAMKAN HARAKAH, KATA ZAM
 
 KUALA LUMPUR, 27 Dis -- Kerajaan Barisan Nasional
 (BN) yang sentiasa mengamalkan sikap demokratik dalam
 pemerintahan tidak seharusnya mengharamkan akhbar "Harakah",
 lidah rasmi PAS.

 Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Senator Datuk
 Zainuddin Maidin berkata: "Beberapa pihak (Senator) meminta
 Harakah diharamkan. Tak usah diharamkan, saya tidak bersetuju
 dengan sentimen ini."

 Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan
 (1999) (No.2) 1999 pada persidangan pertama Dewan Negara hari
 ini, beliau berkata orang terpelajar tidak akan takut untuk
 membaca Harakah yang cenderung untuk menyiarkan berita
 berunsur gosip dan pembohongan.

 "Ia (Harakah) adalah akhbar gosip. Orang Melayu memang sukakan
 berita gosip, sebab itulah Harakah laku.

 "Contohnya, majalah Mastika keluaran Utusan mendapat sambutan
 sehingga 250,000 naskhah setiap keluaran, kerana ia menyiarkan
 cerita gosip," katanya.

 Menurutnya, kecenderungan Harakah untuk menyiarkan berita
 gosip terbukti apabila tersiar berita tidak benar bahawa Menara
 Kuala Lumpur telah mengalami keretakan dan wujud kejadian
 seorang anggota PAS dibunuh oleh anggota Umno.

 Beliau berkata Harakah dinasihatkan agar mengutamakan fakta
 yang betul dalam laporan beritanya, selaras dengan nilai-nilai
 profesionalisme kewartawan yang sebenar.

 "Saya tidak mengatakan akhbar Utusan Malaysia, New Straits
 Times dan Star tidak berpihak. Semua akhbar arus perdana ini
 adalah berpihak.

 "Cuma yang membezakan akhbar-akhbar ini daripada Harakah ialah
 mereka mengutamakan fakta yang betul dalam laporan mereka
 bagi memastikan mereka tidak disaman di mahkamah," katanya.

 Zainuddin berkata beliau bagaimanapun bersetuju dengan
 cadangan beberapa senator supaya kerajaan mengehadkan edaran
 akhbar Harakah bagi memastikan ia diedarkan kepada anggota PAS
 sahaja.

 Ketua Dewan Muslimat PAS, Senator Jamilah Ibrahim yang bangun
 meminta penjelasan berkata pimpinan atasan PAS sebenarnya
 tidak merestui tindakan beberapa pihak untuk menjual Harakah
 kepada bukan anggota parti itu.

 "Tetapi kebiasaannya sifat semula jadi manusia, benda dilarang
 itulah dia nak buat. Itu bukan salah kami yang mengeluarkan
 Harakah. Yang bersalah ialah warung-warung dan kedai-kedai kecil
 yang mengambil kesempatan dan tidak patuh kepada etika jualan,"
 katanya.

 Jamilah menyarankan agar kerajaan bertindak terhadap pengusaha
 warung dan kedai kecil yang menjual Harakah kepada bukan
 anggota PAS, dan bukannya bertindak terhadap penerbit Harakah
 yang tidak bersalah.

 Zainuddin berkata beliau gembira dengan kenyataan Jamilah itu
 kerana ia bermakna pihak pimpinan atasan PAS merestui langkah
 kerajaan baru-baru ini untuk merampas akhbar Harakah yang
 didapati dijual kepada bukan anggota parti itu.

 "Saya berterima kasih, kerana seorang wakil PAS di dalam Dewan
 ini telah meminta kerajaan supaya bertindak kepada orang yang
 bersalah (pengusaha warung dan kedai).

 "Sekarang telah ada green light (lampu hijau), bukan daripada
 sesiapa, tetapi daripada wakil PAS sendiri, seperti yang tercatat
 dalam Hansard Dewan Negara hari ini," katanya.