ANALISA BERITA
Guna kereta rasmi pergi beli nasi lemak
Oleh: Fathi Aris Omar
6 Jun: Ketika perwakilan Pemuda PAS
sedang bermuktamar Khamis lalu, di luar
dewan, seorang aktivis akar umbi parti itu
merungut tentang 'gelagat baru'
pemimpin parti itu mentadbir Terengganu.
Aktivis pertengahan 30-an itu
berkata semua pemimpin parti Islam itu menjadi
sasaran kritikan tidak puas
hati ahli-ahli PAS sendiri.
"Semuanya (anggota exco dikritik) kecuali
Menteri Besar," jelasnya, apabila
ditanya tentang berapa ramai lagi pemimpin
kanan kerajaan negeri itu
dikritik setelah mendengar begitu banyak
rungutan terhadap Exco Pembangunan
Islam dan Pelaksanaan Syariah, Harun Taib.
"Tetapi lama-kelamaan, orang ramai akan pertikaikan
MB pula," katanya.
"Kalau dah tahu banyak complaint, kenapa
(MB) tak buat apa-apa?" hujahnya
dalam pelat Terengganu.
Beliau bercerita tentang banyak rungutan -
bermula pemberian kawasan balak
kepada salah seorang ahli Umno tetapi tidak
melalui tender terbuka hinggalah
soal penyalahgunaan kenderaan rasmi untuk
tujuan peribadi.
Menurutnya, maklumat tentang isu balak itu
beredar melalui mesej emel tetapi
tidak dapat mengesahkan sejauh mana soal
itu dapat disokong dengan bukti
atau dokumen rasmi. Bagaimanapun, isu kereta
rasmi itu didakwa disaksikannya
sendiri.
"Ana nampak dengan mata ana sendiri," ungkapnya,
yang mulai berjinak dengan
parti Islam itu sejak di sekolah menengah
lagi, dengan tata bahasa gerakan
Islam. Ana, yang bermaksud saya, merupakan
istilah Arab yang popular
digunakan dalam pertuturan aktivis pertubuhan-pertubuhan
Islam.
Aktivis ini tinggal tidak jauh dari rumah
exco kanan berkenaan yang
selalunya dianggap pakar rujuk dalam hal
ehwal perundangan PAS. "Isteri dia
bawak (pandu) pergi beli nasi lemak," tambahnya.
"Sekarang isu ini (kereta rasmi) sudah jadi
buah mulut. Yang hairan, ada
sebilangan exco sudah mempunyai beberapa
buah kereta (peribadi)," rungutnya
lagi.
Tetapi, katanya lagi, yang lebih mengecewakan,
jawapan yang diterimanya
daripada bekas Ketua Pemuda PAS negeri itu
tentang rungutan salah guna
kemudahan awam tersebut.
"Isu (kereta) ini, ana malas nak jawab!" kata
Ahli Dewan Undangan Negeri
bekas aktivis ABIM itu dalam satu mesyuarat
agung PAS peringkat kawasan.
"Kita selalu kritik Umno kerana menyalahgunakan
kemudahan awam untuk tujuan
peribadi, tetapi bagaimana sekarang?" beliau
terus mempertikaikan.
Beliau bimbang kerajaan PAS Terengganu - yang
baru berusia enam bulan -
mengulangi KKN (kornisme, korupsi dan nepotisme)
yang menjadi kemarahan
rakyat terhadap Umno.
"Soalnya bukan amalan, soalnya prinsip. Lagipun,
perbuatan itu (kereta
rasmi) terlalu menjolok mata," beliau mempertahankan
rungutannya apabila
dihujahkah bahawa amalan KKN dalam Umno jauh
lebih serius berbanding isu
kereta rasmi yang diungkitnya itu.
Sementara seorang kontraktor kecil merungut
tentang apa yang didakwa 'amalan
tidak telus' kerajaan negeri itu. "Nampaknya
hanya mereka (kontraktor yang
dilihat pro-Umno) yang pernah mendapat tender
(ketika Umno mentadbir) dulu
mendapat kontrak," katanya.
Sementara seorang lagi kontraktor pula merungut
kerana terpaksa mengambil
kerja-kerja sub-kontrak daripada seorang
kontraktor Umno yang mendapat
projek.
Pelbagai rungutan didengar daripada pelbagai
peringkat - daripada pegawai
kerajaan negeri dan aktivis parti hingga
rakyat biasa - dan semuanya itu
bertujuan melihat PAS berada atas landasan
yang betul seperti yang sering
diceramahkan oleh parti Islam itu.
"Janganlah bekerja keras untuk PAS dan mengharapkan
(sesuatu yang unggul).
Nanti kita kecewa," pesan rakannya pula.
Apakah amalan 'tiga abdul' seperti tulis Sayuti
Omar sedang berkembang di
sebalik bulan purnama di Terengganu?
|