MAHATHIR SONGLAP WANG MINYAK

Mula-mula Dr M @ Cek Det hendak sekat atau kurangkan bayaran royalti minyak  
ke Negeri Terengganu. Macam-macam gertakan dan ugutan cuba digunakan  
olehnya. Tetapi tidak boleh jalan, oleh kerana pembayaran royalti 5 peratus  
daripada minyak yang dihasilkan dari  pantai Terengganu itu adalah  
berdasarkan perjanjian. Perjanjian itu dibuat di antara Petronas dengan  
kerajaan Negeri Terengganu. 

Jumlah royalti yang patut dibayar ke Terengganu untuk tahun ini berjumlah  
sebanyak RM841 juta. Cek Det takut jikalau Terengganu  menerima royalti  
lebih kurang sebanyak itu tiap-tiap tahun dari sekarang , tentu banyak  
pembangunan yang boleh dilakukan oleh kerajaan PAS-BA yang memerintah.  
Jikalau wang itu dikendalikan dan digunakan dengan baik untuk pembangunan  
negeri dan rakyat, tentu sekali  nama kerajaan itu akan terus harum. Tidak  
mungkin sama sekali bagi UMNO-BN hendak memerintah semula. 

Oleh kerana gagal untuk menyekat atau mengurangkan bayaran, maka Cek Det  
cuba hendak mengawal cara pembayaran royalti itu pula. Cara membayar  
langsung melalui Petronas akan diberhentikan.  Sekarang bayaran akan dibuat  
secara tidak langsung melalui projek-projek yang diluluskan. Sebuah  
jawatankuasa dipengerusikan Setiausaha Kementerian Kewangan akan mengawal  
pembayaran, di bawah Program Pembiayaan  Wang Ehsan. 

Projek-projek pembangunan boleh dikawal oleh Pusat. Jumlah bayaran boleh  
dikawal oleh Pusat. Yang lebih penting lagi,  setiap projek pembangunan  di  
negeri Terengganu itu akan diisytiharkan sebagai hasil ihsan daripada  
Kerajaan Pusat, yang dikuasai oleh Cek Det. Itulah salah satu yang Cek Det  
hendak. 

Mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan semalam,  
"Program itu akan memastikan rakyat Terengganu mendapat pembelaan terus  
daripada Kerajaan Persekutuan dan mempunyai peluang seluas-luasnya untuk  
membaiki kehidupan masing-masing". Pertama sekali Cili Api ingin tahu  
daripada Cek Det dan Daim, selama 25 tahun UMNO-BN memerintah Terengganu,  
apakah pembangunan yang telah diperolehi rakyat negeri itu? 

Sekiranya dianggarkan sejak perjanjian dibuat lebih 25 tahun dulu, Petronas  
membayar pukul rata RM200 juta kepada Kerajaan UMNO-BN Terengganu, bererti  
jumlahnya ialah RM5 bilion atau RM5,000 juta. Mungkin ini anggaranyang  
rendah. Apa dia pembangunan yang telah dibuat untuk golongan petani,  
nelayan, buruh, kerani dan pegawai rendah serta menengah, peniaga kecil  
serta sederhana, dan sebagainya? Mengapakah sampai sekarang kadar kemiskinan  
masih tinggi? 

Mengapakan hutang kerajaan Terengganu kepada Pusat paling tinggi dibanding  
dengan negeri-negeri lain. Kalau tidak salah Cili Api hutang itu, yang  
sekarang ini dibebankan ke atas Kerajaan PAS-BA Terengganu, ialah sebanyak  
kira-kira RM700 juta. Pada fikiran Cili Api, sepatutnya Kerajaan Pusat  
membentuk satu Jawatankuasa Penyiasat untuk menyiasat bagaimana Kerajaan  
UMNO-BN Terengganu dulu membelanjakan wang minyak yang mereka terima setiap  
tahun. 

Ustaz hadi Awang, selaku MB pernah mengisytiharkan beliau mempunyai bukti  
berlori-lori tentang penyelewengan Kerajaan UMNO-BN Terengganu. Mungkin  
masanya sudah sampai untuk membongkar satu lori saja dulu. Cek Det hendak  
sekat atau kurangkan bayaran royalti ke Terengganu sekarang hanya berasaskan  
prasangkanya ke atas Kerajaan PAS-BA. Mengapa tidak bersihkan nama Kerajaan  
UMNO-BN di Terengganu daripada segala tuduhan penyelewengan yang  
dilakukannya? 

Satu lagi perkara, Kerajaan Pusat mempunyai kuasa ke atas Petronas. Selama  
25 tahun yang lalu Petronas dianggarkan telah mempunyai pendapatan l  
sebanyak antara RM200-300 bilion daripada hasil minyak dan gas. Akan tetapi  
jumlah nilai bersih atau simpanan sebenar Petronas sekarang ini cuma  
kira-kira RM46 bilion saja. Ke manakah pergi bakinya? Berapa banyak yang  
telah digunakan untuk pembangunan rakyat yang miskin, susah dan sederhana?  
Berapa jumlah yang digunakan untuk projek-projek membazir yang Cek Det  
banggakan? Berapa banyak pula untuk menyelamatkan korporat serta  
syarikat-syarikat kroni yang Cek Det sayangi? 

Nampaknya Cek Det cuba main songlap dengan hasil dan royalti minyak petrol  
negeri ini. Cili Api harap Cek Det tidak akan cuba menutup pekong di  
Terengganu dan di Pusat berhubung segala penyelewengan yang telah dilakukan  
oleh Cek Det dan kroni-kroninya. Walaupun pekong itu cuba hendak ditutup  
dengan bendera BN, namun bau busuknya sudah luas terhidu. 

Cili Api