'
TERENGGANU
DARUL IMAN |
"Saya bukan hamba Anwar'
Timbalan Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr CHANDRA MUZAFFAR,
akhir-akhir ini menjadi sasaran utama kritikan laman-laman web tetapi jarang
sekali beliau berpeluang bersuara menjelaskannya. Malaysiakini menerbitkan
sedutan wawancara panjang bekas editor Detik, AHMAD LUTFI OTHMAN
dengan beliau baru-baru ini.
Lutfi: Sekurang-kurangnya dua insiden tercetus baru-baru ini.
Pertama, mengenai laman web dan kedua, beberapa pemimpin
KeADILan keluar parti menjelang pilihan raya Telok Kemang. Boleh
jelaskan gejala yang melanda KeADILan kini?
Chandra: Kita harus membezakan dua peristiwa ini kerana faktor
yang menyebabkannya berbeza. Pertama mengenai kempen laman
web. Saya berpendapat mereka yang terlibat dalam kempen ini
adalah segelintir anggota dalam parti, yang mungkin bekerjasama
dengan pihak lain.
Kalau kita lihat pemilihan masa, sudah tentu ia tidak menguntungkan
KeADILan. Waktunya hampir dengan pilihan raya. Saya tertanya-tanya
kenapa mereka memilih waktu itu untuk melancarkan kempen. Ia merugikan
parti.
Mungkin mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu, atau ada sebab-sebab
lain. Kita harus mengkaji kenapa mereka memulakan kempen ini terhadap
saya. Bagi saya, mengkritik saya atau mengkritik gaya kepimpinan saya atau
idea-idea saya adalah perkara biasa.
Saya sudah biasa dengan kritikan. Saya lama dalam NGO dan sudah biasa
dengan budaya kritikan.
Cuma, saya tidak terima ialah usaha untuk menjatuhkan pemimpin - sama ada
saya ataupun orang lain - melalui cara yang bertentangan dengan
lunas-lunas demokrasi. Kita dipilih melalui cara demokratik.
Kalau kita hendak digulingkan atau diketepikan, kita harus melalui proses
demokrasi. Ada caranya - bukan melalui laman web.
Caranya melalui parti. Jika kita tidak berpuas hati, kita cuba buat perubahan.
Mungkin di perhimpunan agung parti. Itulah caranya untuk menukar pemimpin.
Kedua, saya tidak setuju apa yang dilakukan pengendali laman web. Saya
pun tidak mengetahui siapa yang terlibat, hinggalah saat ini. Kalau kita
hendak melakukan sesuatu, kita tidak harus berbohong.
Saya tidak pernah berkata bahawa "apa yang Anwar (Ibrahim) tahu kerana
dia di dalam penjara". Orang kenal cara saya bercakap. Cara saya jauh
berbeza. Insiden itu tidak pernah berlaku.
Saya bukanlah seorang manusia yang melakukan sesuatu, kemudian saya
menafikan. Itu bukan cara saya. Kata-kata itu tidak pernah saya lafazkan.
Tapi kalau tentang taksub kepada pemimpin, itu saya akui. Saya secara
terbuka dan mengulanginya prinsip saya. Saya tidak mahu sesiapa pun taksub
kepada pemimpin, tidak kira pemimpin itu siapa. Seperti yang saya selalu
katakan secara direct, saya bukan hamba Anwar, bukan hamba Wan Azizah,
bukan hamba sesiapa, tapi saya adalah hamba Allah.
Kita mendirikan sebuah parti baru dengan matlamat politik baru. Kalau kita
menggalakkan orientasi ini dalam parti - taksub kepada pemimpin tertentu
-
bermakna kita tidak jujur dalam politik baru kita.
Kalau kita jujur, kita tidak harus menggalakkan sikap ini. Kalau kita nampak
benih-benih ini, kita harus memastikan ia tidak tumbuh.
Saya akhiri ulasan tentang perkara ini dengan harapan, tidak kira sama
ada
laman web, saluran internet atau media cetak, prinsip utama bagi saya (dari
segi penyampaian berita atau maklumat), kita mesti berpegang kepada
kebenaran.
Bermakna kita mesti mengkaji fakta-fakta, dan sekiranya kita menyampaikan
pendapat, kita harus berhati-hati.
Kita mengkritik akhbar-akhbar arus perdana kerana mereka membohongi
fakta-fakta tertentu. Mereka cuba menyembunyikan sesuatu dan tidak
menyiarkan maklumat alternatif.
Lutfi: Harus diakui sumbangan laman web, terutamanya pada peringkat awal
penubuhan KeADILan, kerana kita tidak ada media yang boleh menyiarkan
berita-berita mengenai reformasi. Namun, bagaimana KeADILan nampak
begitu dekat dengan laman web yang tidak diketahui siapa pengendalinya,
dan juga sering kali laman itu menyiarkan maklumat yang bercanggah dengan
strategi dan kepentingan parti.
Misalnya isu gereja di Shah Alam dan beberapa isu yang dibesar-besarkan
yang boleh membebankan KeADILan. Tetapi tidak nampak ada suara yang
jelas daripada kepimpinan KeADILan untuk menjarakkan laman ini daripada
parti.
Chandra: Satu soalan yang bagus. Pada hemat saya, anda ada masalah
memahami asal-usul pergerakan reformasi dan Parti Keadilan Nasional. Kita
merupakan suatu pergerakan sosial yang wujud akibat daripada peristiwa
tertentu - ada bermacam-macam dimensi, golongan, kumpulam, kelompok dan
kabilah dalam pergerakan sosial ini.
Ada yang aktif dalam demonstrasi jalanan, dan ada pula yang terlibat dalam
pembentukan ADIL (Pergerakan Keadilan Sosial) sebagai badan bukan
kerajaan dulu.
Dalam parti pula, ada beberapa kumpulan. Ada yang mempunyai latar
belakang gerakan Islam seperti JIM dan ABIM; ada yang bergerak dalam Parti
Melayu Semangat 46, Umno dan juga badan bukan kerajaan (NGO). Ada
pelbagai pergerakan sosial.
Apabila parti ditubuh, ada struktur tertentu. Tetapi kumpulan-kumpulan
lain
terus juga bergerak. Itu hak mereka.
Ada pihak yang mengendalikan laman web, ada yang menggunakan media
bercetak dan sebagainya untuk meneruskan perjuangan. Dan ada juga yang
menyertai parti lain.
Pada dasarnya mereka masih mendukung perjuangan yang sama. Tidak ada
usaha daripada pihak kepimpinan parti untuk mengawal mereka.
Saya sendiri berpendapat (mengawal) itu bukan hak kita. Mereka boleh
bergerak atas daya usaha mereka sendiri. Kalau mereka berpendapat sesuatu
isu itu penting dan mereka berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat
terhadap isu tertentu, itu hak mereka.
Sebagai mana saya katakan tadi, tentang isu maklumat dan berita, kita mesti
berpegang kepada lunas-lunas kebenaran. Begitu juga dalam soal ini. Kalau
kita lihat sesuatu isu, kita harus kaji apakah asal-usul isu itu, dan kenapa
isu
itu penting, sebelum kita menyampaikannya.
Macam isu gereja di Shah Alam - adakah kita benar-benar berpegang pada
fakta, atau kita membesarkan sesuatu? Ini melibatkan soal tanggungjawab
dan etika kewartawanan. |