Setiausaha Agung GPMS Syed Anuar Syed Mohamad berkata cara
sambutan alaf baru seumpama itu adalah bertentangan dengan
nilai-nilai agama dan budaya timur serta tidak diredhai Allah.
Katanya, oleh itu GPMS meminta Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Paduka Abdul Hamid Othman mengarahkan semua
masjid mengadakan khutbah khas Jumaat ini bagi mengingatkan
semua golongan terutama remaja mengenai perkara itu.
"GPMS kesal dengan program-program bercorak hiburan yang
dirancang itu terutama di hotel-hotel terkemuka, kelab-kelab
ekslusif dan kelab-kelab malam sehingga menyebabkan ada yang
sanggup beratur seawal jam 3 pagi semata-mata untuk
mendapatkan tiket bagi menyambut alaf baru," katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini.
Syed Anuar berkata GPMS juga meminta semua pihak terutama ibu
bapa supaya menasihati dan memastikan anak-anak mereka tidak
terlibat dengan aktiviti seumpama itu.
"Umat Islam kini berada dalam bulan Ramadan dan diseru
berlumba-lumba mencari Malam Lailatul Qadar di sepuluh hari
terakhir Ramadan, bukannya mencari hiburan," katanya.