MTD Capital Bhd akan memulakan
kerja awal pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sepanjang 338
kilometer selepas perayaan
Tahun Baru Cina, kata Pengarah Urusannya, Datuk Azmil Khalid.
MTD terbabit membina lebuh
raya itu bermula dari Karak ke Lancang pada fasa pertama dan dari Lancang
ke Temerloh, Pahang, untuk
fasa kedua.
"Segala jentera sudah ditempatkan
di tapak pembinaan dan kami cuma menunggu arahan rasmi daripada
kerajaan.
"Kontrak rasmi dijangka ditandatangani selepas Tahun Baru Cina," katanya.
Beliau berkata demikian selepas
majlis menandatangani perjanjian pengambilalihan antara MTD Capital
dengan ESPstar INTL Sdn
Bhd di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu Azmil menandatangani
perjanjian bagi pihak MTD Capital manakala ESPstar oleh
pengarahnya, Rahmat Ramli
dan disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Elektrik dan Gas, Datuk
Mohd Annas Mohd Nor.
Menerusi perjanjian itu MTD
Capital mengambil alih 60 peratus kepentingan dalam ESPstar, pada harga
RM6 juta. Syarikat berstatus
MSC itu terbabit dalam penyediaan perisian bagi pengawalan tahap
penggunaan tenaga.
Azmil berkata, persetujuan
yang diberikan oleh kerajaan Terengganu termasuk membenarkan kutipan tol
dijalankan turut membolehkan
kerja pembinaan dimulakan, setelah dikatakan akan dibatalkan selepas
Kerajaan Pas mengambil alih
pentadbiran negeri itu selepas pilihan raya umum lalu.
Pembinaan LPT sepatutnya
dimulakan awal 1998 tetapi ditangguhkan kerana kesulitan ekonomi dan
beberapa masalah dalaman
yang timbul.
Bagaimanapun, kerajaan pada
Disember lalu memutuskan untuk memulakan semula projek berkenaan
walaupun kontrak pembinaan
yang diberikan kepada Malaysian Mining Corporation Bhd sebelum ini
ditamatkan September lalu.
Menteri Kerja Raya Datuk
Seri S Sammy Vellu, sebelum ini berkata projek itu diteruskan berikutan
Kerajaan Pas Terengganu
membenarkan kutipan tol untuk lebuh raya berkenaan.
"Komitmen kami kepada projek berkenaan adalah untuk tiga tahun setengah," kata Azmil.
Cadangan asal lebuh raya
dua lorong dengan anggaran kos RM3 bilion itu akan merentasi Karak, Mentakab,
Temerloh, Maran dan Kuantan
di Pahang.
Ia kemudian merentasi Kuantan ke Cendering, Kuala Terengganu melalui Jabor.