ROYALTI : KAMI BERSAMA TOK GURU
Yang Berhormat Mahfuz Omar
Beberapa ribu penyokong barisan pembangkang dan 500 anggota polis berada di hadapan Penjara Kajang untuk menyambut "kepulangan" tiga orang ahli PAS, termasuklah Ketua Pergerakan Pemuda dan MP Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar. Berlakulah satu cubaan menunjukkan kuasa di antara pihak pembangkang dengan kerajaan. Pihak penjara melepaskan mereka pada 0200 pagi semalam (9 Disember, 2000), enam jam lebih awal daripada biasa dan telah membawa mereka bersiar-siar tanpa sebab. Dua di antara mereka dibawa ke Lembah Pantai di Kuala Lumpur dan Mahfuz pula dibawa entah ke mana ke arah utara, mungkin mahu dibawa ke Kedah. YB Mahfuz meloncat keluar kereta pacuan empat roda di stesen tol Rawang. Beliau telah menelefon setiausaha politiknya dan mereka pun berpatah semula ke Kajang untuk menemui kumpulan manusia yang sudah menanti mereka. Oleh kerana Mahfuz telah dibebaskan, pegawai penjara dalam van yang membawanya itu tidak mampu melakukan sesuatu. Di waktu yang sama pemimpin parti pembangkang dan ramai lagi telah mencuba menziarahi Mahfuz sebaik sahaja mereka tiba di penjara itu. Mereka diberitahu bahawa Mahfuz sudah dibebaskan dan tidak lagi ada di situ. Mahfuz muncul satu jam kemudiannya disambut dengan penuh emosi dan bingit. Mereka pun beredar untuk melakukan sembahyang kesyukuran di masjid. Malam tadi, dia muncul di khalayak ramai lagi. Dia menceritakan pengalamannya selama satu bulan di penjara kerana enggan membayar denda setelah dihukum kerana berpiket membantah ketibaan pasukan kriket Israel di Kuala Lumpur pada April 1997. Polis mengumumkan bahawa himpunan manusia di Kajang itu adalah salah di segi undang-undang, tetapi mereka tidak bertindak menyekatnya. Kalau bertindak, rakyat pun akan bertindak juga terhadap kerajaan. Terpaksalah diarahkan satu batalion anggota polis dengan nisbah seorang polis bersamaan dengan enam rakyat marhaen dan sebuah helikopter yang berlegar di angkasa dijadikan lambang kuasa polis menghadapi rakyat yang berkumpul secara aman. Mereka berlagak lebih-lebihan, dan gagal segagalnya. Macam mana pun kita nilai perkara ini, kesediaan Mahfuz memilih hukuman penjara bererti rakyat sudah merobah hukum politik negara. Akan lebih ramai lagi rakyat marhaen yang memilih dipenjarakan kerana kesalahan terhadap kepercayaan politik mereka sebagai satu lambang penentangan yang pasif. Inilah yang dilakukan oleh Mahatma Ghandi dalam peristiwa "satyagraha" di mana dia berjaya memalukan kerajaan Empayar British sehingga melutut akhirnya. Kerajaan sudah menjadi kaku dan kematu, ketandusan cara menyelesaikan keadaan itu. Cuma mampu mengerahkan anggota polis mengawal di situ. Inilah tanda kerajaan sudah kehilangan daya pengawalan. Inilah kesan libasan ekoran dariapda pertembungan untuk menguasai pengaruh
orang Melayu, selepas Mahathir memecat timbalan perdana menteri Dato' Seri
Anwar Ibrahim, dulu. Beliau telah ditahan, didera dan dibaham matanya sehingga
hampir hilang upaya oleh seorang ketua polis negara. Kemudian, beliau dipenjara
kerana tuduhan korupsi dan perbuatan sumbang yang sengaja diada-adakan
dengan segala bukti palsu oleh pihak pendakwa. Inilah yang mencetuskan
kemarahan orang Melayu. Sejak itu, setiap kali berlaku konfrontasi antara
kerajaan dengan rakyat marhaen, pihak kerajaan terpaksa terus bertahan.
Kejadian di Penjara Kajang semalam adalah satu peristiwa yang tidak
menghairankan. Kerjaan tidak faham bagaimana menangani hati rakyat. Ketika
pilihanraya kecil Lunas berjalan, kemampuan pihak pembangkang berdepan
dengan kerajaan secara padu dan bersatu adalah amat berbeza dengan cara
yang dipraktikkan oleh Barisan Nasional di situ. Setelah dilakukan bedah-siasat
barulah mereka mengaku tersilap meletakkan calon yang salah. Barulah mereka
mengaku bahawa teknik berkempen penuh dengan keangkuhan, tanpa memahami
perasaan masyarakat tempatan dan apabila berdepan dengan tekanan, mudah
menggelabah sehingga berpecah.
Dua manusia yang tegas sikapnya memegang kunci penting dalam hal ini.
Mereka adalah perdana menteri dan musuh ketatnya. Kegemilangan PAS tidak
berkilau sedemikian yang dilihat dan kemalapan UMNO tidak sebegitu kelam
seperti yang berlaku kalau tidak kerana kemarahan rakyat terhadap cara
Anwar Ibrahim didera sekarang ini. Perasaan ini menular begitu luas sekali
sehinggakan kerajaan sudah semakin nazak. Angkatan Tentera Malaysia sudah
berpecah. Pasukan polis menyerlahkan perpecahan itu dengan cara membuli
rakyat. Kehakiman negara sudah tidak boleh dipercayai lagi, dan ini terserlah
apabila Anwar dipenjarakan hasil dua kes yang dihadapkan di mahkamah.
Kini, Mahfuz Omar memulakan satu barisan serangan baru pula. Ia mengenakan
tekanan kepada kerajaan dengan kuasa penentangan yang pasif. Inilah corak
tentangan yang sepatutnya dipelopori oleh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng,
dulu-dulu lagi. Bukan membuat rayuan tetapi terus menerima hukuman untuk
dipenjarakan. Selama ini mahkamah memandang rendah terhadap rakyat marhaen
dan mengenakan hukuman kejam dengan anggapan ianya satu cara yang selamat,
kerana yang dihukum selalunya membuat rayuan juga.
Mahfuz Omar telah menyanggah anggapan mahkamah itu sehinggakan mahkamah
perlu lebih berhati-hati. Lagipun, seorang hakim yang menjatuhkan hukuman
yang tidak selari dengan nafsu seorang pemimpin negara akan menghadapi
karier yang tidak menyenangkannya. Hakim Arifin Jaka yang telah menjatuhkan
hukuman ke atas Dato' Sri Anwar masih belum lagi menyudahkan kertas pengadilannya
secara bertulis. Tanpa lapuran itu Dato' Seri Anwar tidak boleh mengemukakan
rayuannya. Kalau disudahkan kertas pengadilannya itu dia mungkin terpenjara
kerana menyalahgunakan kuasa. Dengan lain perkataan, Ariffin Jaka sedang
menghadapi satu dilema seperti yang dihadapi oleh cabang kehakiman negara
dan yang akan dihadapi juga oleh Ketua Hakim Negara yang terbaru. Ketua
Hakim Negara itu akan tertekan kalau dia tidak pastikan Saudara Anwar mendapat
pengadilan yang saksama.
Apa yang berlaku di Penjara Kajang bukan saja satu peristiwa seorang
aktivis politik dibebaskan daripada tahanan. Inilah peristiwa yang meningkatkan
lagi martabat pihak pembangkang. Mahfuz merupakan seorang pemidato unggulan.
Dia boleh mengulang-tayang segala pengalamannya di penjara dulu untuk menaikkan
semangat juang orang Melayu.
Tetapi, bukan apa yang dikatakannya dan bukan apa yang dilaluinya yang
akan menjahanamkan kerajaan. Cara kerajaan berlagak angkuh menganggap setiap
himpunan rakyat secara aman itu sebagai kumpulan haram yang akan mendebiknya.
Rakyat tidak dibenarkan berkumpul lebih dari lima orang tanpa permit daripada
polis. Tidak ada satu pun himpunan parti pembangkang yang bertemankan permit
polis kerana kalau diminta, permit itu tidak pernah diluluskan. Permit
itu tidak dipedulikan lagi seperti juga rakyat marhaen yang tidak pedulikan
ugutan para menteri.
Begitulah halnya dengan ugutan agar sesiapa yang dikenakan saman meletak
kereta membayarnya sebelum ditangkap. Ugutan itu sebenarnya boleh disanggah
di mahkamah. Sebagai contohnya, penggunaan tiket bagi membayar menggunakan
tempat letak kereta dikira tidak sah kerana tidak ada hukum undang-undang
mengenainya. Tindakan mengugut itu bukan lambang memperbetulkan keadaan,
ia adalah gambaran kelemahan penguatkuasaan. Inilah halnya di setiap jabatan
dan kementerian kerajaan. Semua ini tidak diminati oleh rakyat marhaen
kerana kurang tarikannya. Kisah seorang ahli parlimen dipenjarakan memang
lebih menarik lagi. Itu sebabnya keadaan sebenar di kalangan rakyat marhaen
adalah lebih tegang daripada yang difikirkan selama ini. Tindakan Mahfuz
bersama sahabatnya memilih dipenjarakan dulu telah membuatkan kerajaan
semakin mencelaru.
-MGG Pillai-
|