Perbahasan Rang Undang-undang Rumah Perjudian Terbuka (pindaan) 2000
Oleh
Y.B. Abd Rahman Bin Yusof
Ahli Parlimen Kemaman
Tuan yang dipertua,
Saya mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada
saya untuk membahas Rang Undang Undang Rumah Perjudian Terbuka ( Pindaan
) 2000.
Tuan yang dipertua,
Judi adalah satu kegiatan yang dilarang dan dikutuk dalam semua ajaran
agama. Agama Islam dengan jelas dan terang mengutuk sekeras-kerasnya kegiatan
judi ini, baik kepada pengusaha, penjudi, atau pembantu-pembantu mereka,
termasuk mereka yang mengeluarkan lesen-lesen ataupun permit judi itu sendiri.
Orang-orang Islam disuruh supaya menentang dan mencegah kegiatan mungkar
ini dengan apa daya sekali pun.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan Negeri Terengganu
dibawah pimpinan Barisan Alternatif kerana dalam masa tak sampai 6 bulan
memerintah, kegiatan judi ini dapat dihapuskan dengan mendapat persetujuan
yang baik dari semua pihak termasuk dari kalangan masyarakat bukan Islam
sendiri.
Pendekatan yang digunakan oleh kerajaan Negeri Terengganu di bawah
pimpinan Barisan Alternatif cukup baik iaitu menggunakan kaedah bermusyuarah
dengan semua pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian ini. Semua pihak
menerima akan pengharaman kegiatan ini dengan baik dan terbuka.
Saya berharap kerajaan BN patut belajar cara-cara atau pendekatan yang
digunakan oleh kerajaan Negeri Terengganu didalam pengharaman kegiatan
ini dengan baik. Saya percaya Tuan Guru Haji Hadi akan terbuka untuk membantu
BN mengharamkan kegiatan perjudian ini.
Kalau tak suka cara pendekatan Negeri Terengganu, Kerajaan BN boleh
belajar juga cara Negeri Kelantan. Kedua-dua negeri ini dapat menghapuskan
kegiatan judi di negeri mereka dengan baik sekali.
Tuan yang dipertua,
Walaupun kegiatan judi ini dilarang oleh semua agama, tetapi perusahaan
ini merupakan satu perusahaan yang memberi keuntungan yang cukup lumayan.
Sebab itulah pengusaha- pengusaha sanggup melakukan apa saja untuk menjalankan
perusahaan ini.
Yang tidak diberi permit atau lesen akan sanggup menjalankan kegiatan
mereka secara haram atau kongsi gelap.
Yang diberi permit atau lesen pula, mereka sanggup memberi bayaran
yang cukup lumyan kepada orang-orang yang berpengaruh samaada secara rasuah
atau memberi jawatan yang tinggi dalam organisasi perniagaan mereka untuk
mendapat perlindungan dari gangguan pihak- pihak penguatkuasa.
Orang-orang seperti bapa mertua kepada dua orang bekas Perdana Menteri, bekas ketua polis negara dan sebagainya dilantik sebagai pengerusi syarikat-syarikat yang menjalankan perusahaan perjudian ini.
Jadi siapa yang berani mengganggu gugat kegiatan atau operasi mereka.
Lihat sahaja apa yang berlaku. Apabila kabinet membuat keputusan untuk
mengharamkan semua arked perjudian, tiba-tiba pengecualian diberikan kepada
syarikat yang beroperasi di Genting Highland. Ini jelas dan terang menunjukkan
bahawa perusahaan judi ini mendapat perlindungan yang baik dari pihak atasan.
Saya meminta kerajaan mengkaji semula kebenaran perlantikan orang-orang
seperti bekas Ketua Polis Negara menjadi pengerusi syarikat perjudian.
Bayangkanlah bagaimana mereka-mereka yang pernah bekerja dibawah Ketua
Polis negara dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan baik apabila melihat
bekas ketua mereka menjadi Ketua Organisasi Judi.
Bolehkah mereka berbangga dengan bekas ketua mereka. Seorang menjadi
Pengerusi Syarikat Judi dan seorang lagi menjadi tukang pukul bekas Timbalan
Perdana Menteri , Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Tuan yang dipertua,
Perusahaan perjudian ini banyak dikaitkan dengan kegiatan rasuah, peyelewengan
dan salahguna kuasa.
Kalau kita perhatikan apabila penguatkuasa menjalankan operasinya,
selalunya pengusaha-pengusaha tempat perjudian ini samada yang ada permit
atau tidak akan mendapat maklumat terlebih dahulu sebelum operasi dijalankan.
Ini adalah kerena pihak penguatkuasa dirasuahkan untuk memberi maklumat akan operasi mereka. Apabila penguatkuasa sudah dirasuahkan bagaimana kerajaan boleh mengharapkan keberkesanan tindakan pembasmian kegiatan judi ini.
Saya harap pihak BPR dapat melakukan sesuatu supaya kegiatan rasuah yang berleluasa dalam operasi penguatkuasaan pembasmian kegiatan judi ini dapat dihapuskan agar tindakan yang berkesan dapat dijalankan untuk menghapuskan kegiatan judi ini.
Tuan yang dipertua,
Malaysia hari ini bukan sahaja terkenal sebagai destinasi perjudian
terbaik di Asia tetapi juga terkenal sebagai pelabur terbesar dalam industri
perjudian di rantau ini.
Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan BN dibawah pimpinan
UMNO kerana berjaya meletakkan Malaysia didalam peta dunia sebagai salah
satu destinasi perjudian terbaik dirantau ini.
Tuan yang dipertua,
Didalam Akhbar The Straits Time Singapura pada 9/10/2000 seorang usahawam
Malaysia, En Chen Lip Keong, Pengerusi Lipkland Group dan "tuanpunya" Syarikat
Ariston Sdn Bhd dilaporkan akan melabur 1 bilion dollar Amerika bersamaan
3.8 bilion ringgit dalam pembinaan salah satu bandar dan kompleks perjudian
terbesar di Asia di Sihanoukville, Kemboja.
Tokoh usahawan ini ialah seorang yang cukup rapat dengan elite kepimpinan
negara, menunjukkan bahawa kegiatan beliau mendapat restu dari kepimpinan
negara kita.
Didalam kenyataan beliau semasa melancarkan projek pembinaan kompleks
perjudian ini ialah, " untuk meraih keuntungan dari 'ketagihan Orang Asia
berjudi' ".
Ini adalah satu kenyataan yang menghina kepada orang Asia.
Sekiranya benar orang-orang Asia ketagih judi, sepatutnya Malaysia
sebagai sebuah negara Islam berusaha melakukan sesuatu untuk mengubati
penyakit ini dari terus merebak, bukannya menggalakkan syarikat dari negaranya
mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari penyakit yang melanda orang
Asia. Ini akan membiakkan lagi penyakit judi dikalangan orang Asia.
Saya nak tahu apa pendirian kerajaan Malaysia didalam pelaburan kompleks
atau operasi perjudian diluar negara oleh syarikat dari negaranya
Apa makna perbahasan kita didewan ini untuk mencegah penyakit yang sedang merebak dalam masyarakat kita akibat dari gejala perjudian tetapi pada masa yang sama kita menggalakkan syarikat - syarikat dari negara kita melabur dalam perindustrian yang berpenyakit ini di negara lain.
Tuan yang dipertua,
Selain dari itu, saya difahamkan juga sebuah stesyen TV berbayar bercadang
untuk menjalankan kegiatan judi "racing game" melalui stesyen TV mereka
untuk "cover" dengan izin kerugian yang mereka alami dari kegawatan ekonomi
sekarang ini.
Sekiranya ia dibenarkan, gejala penyakit perjudian ini akan merebak
lebih luas dan pantas lagi kerana ia mudah di "access" oleh seluruh masyarakat
Satu pernyataan dan tindakan tegas perlu diambil supaya segala ruang
kegiatan perjudian dapat ditutup buat selama-lamanya.
Itulah sahaja perbahasan saya, agar kita sama sama dapat membanteras
satu kegiatan maksiat yang dilaknati oleh Allah s.w.t ini iaitu perjudian
Sekian.