Pemilihan itu dibuat pada mesyuarat pakatan pembangkang yang
dikenali sebagai barisan alternatif di sebuah hotel di sini dengan
dipengerusikan Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Datin
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketika bercakap bagi pihak barisan alternatif selepas mesyuarat
tiga jam itu, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Syed Husin
Ali berkata keputusan itu diambil memandangkan PAS mempunyai
kerusi terbanyak di pihak pembangkang.
Di kalangan anggota barisan alternatif PAS memenangi 27 kerusi
Parlimen, DAP (10), Keadilan (lima) manakala PRM tidak memenangi
sebarang kerusi pada pilihan raya umum 29 Nov lepas. Jumlah
keseluruhan kerusi Parlimen ialah 193.
Lim tewas bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera yang ditandinginya
pada pilihan raya itu.
"Atas cadangan DAP yang disokong oleh Keadilan, kita bersetuju
memilih Fadzil Noor sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen," kata
Syed Husin.
Mesyuarat hari ini dihadiri oleh pengerusi atau presiden serta
setiausaha agung keempat-empat parti dalam barisan alternatif
yang merangkumi Keadilan, PAS, DAP dan PRM.
Selain Wan Azizah, yang turut hadir ialah Fadzil, Pengerusi DAP
Lim
Kit Siang dan penasihat seumur hidup DAP Dr Chen Man Hin.
Syed Husin berkata mereka juga memperakui pandangan Lim yang
dinyatakan semalam bahawa Ketua Pembangkang di Parlimen harus
diberikan status menteri.
Lim antara lain berkata dengan status baru itu, ia akan
meningkatkan demokrasi di Malaysia.
Menurut Lim, elaun Ketua Pembangkang juga harus sama dengan
elaun yang diberikan kepada seorang menteri kabinet. Ketua
pembangkang juga perlu diberikan kemudahan dan keistimewaan
lain seperti yang dinikmati oleh menteri kabinet.
Mengenai isu kharaj, Syed Husin berkata Fadzil telah menerangkan
dalam mesyuarat itu bahawa perkara berkenaan sebenarnya
sedang dikaji oleh kerajaan PAS Terengganu daripada segi
kesesuaian serta implikasinya.
"Sebenarnya, soal ini timbul bila seorang pemberita bertanya
(Menteri Besar Terengganu) apakah maksud kharaj itu dan dia
terangkan, dan mulai daripada itulah, timbul perkara ini. Perkara
ini
belum dicadang untuk dilaksanakan, tetapi baru dikaji. Ia
diperbesar-besarkan oleh media sahaja," katanya.
Syed Husin berkata tidak ada jangka masa tertentu yang
ditetapkan bila kajian itu akan siap.
"Akan ada perundingan di antara parti-parti tentang pelaksanaan
perkara seperti ini (kharaj)," katanya.
Mengenai masa depan barisan alternatif yang telah gagal
menafikan majoriti dua pertiga BN dalam pilihan raya umum lepas,
Syed Husin berkata pakatan itu akan diteruskan.
"BA akan berterusan dan masih kukuh dan akan diperkukuhkan,"
katanya.
Beliau berkata mesyuarat hari ini berlangsung dalam suasana
terbuka dan membincangkan pelbagai perkara termasuk mengenai
masa depan pakatan itu.
"Masa depan kita baik, kalau ada pilihan raya kecil pun kita
bersedia,"katanya.