PEMUDA KELANTAN BUKAN PONDAM

 Umno Kelantan disifatkan sebagai hipokrit dalam isu penarikan pingat oleh istana Kelantan kepada dua orang Exco kerajaan negeri.

Ini kerana, tindakan Pemuda PAS Kelantan tidaklah sekasar tindakan Umno Kelantan sehingga sanggup menabalkan raja baru di Kelantan dalam krisis antara Umno dengan istana Kelantan sebelum ini.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak ketika menyokong langkah Pemuda PAS Kelantan memberikan kata dua kepada istana Kelantan agar memberikan penjelasan mengapa pingat dua Exco kerajaan negeri ditarik balik.

Ustaz Azizan mengulas sidang akhbar yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Zulkefli Yaakub yang antara lain menuntut istana Kelantan memberikan sebab kenapa pingat yang dianugerahkan kepada ketuanya, Takiyudin Hasan ditarik balik.

Kata Ustaz Azizan, bagi orang luar Kelantan, berlaku perkara yang mengelirukan di Kelantan kali ini. "Orang yang cuba menabalkan raja baru, tidak ditarik pingatnya, sedangkan orang yang bertindak berdasarkan peraturan yang betul, ditarik pingatnya pula," katanya.

Menurut Ustaz Azizan, Pemuda Kelantan telah menjalankan tugasnya dengan wajar apabila ketua mereka diperlakukan sedemikian rupa oleh pihak istana Kelantan.

"kalau Pemuda lembik,(macam Auwwww tu ) tidak bolehlah dinamakan pemuda. Pemuda mestilah bersifat muda," kata beliau memberikan ucapan syabas kepada Zulkefli.

Baru-baru ini, istana Kelantan telah menghantar surat kepada Takiyudin Hassan dan Ustaz Muhamad Daud yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan meminta kedua-duanya menyerahkan balik pingat yang dianugerahkan kepada mereka oleh Sultan Kelantan.

Menurut sebuah akhbar, antara puncanya adalah tindakan kedua-duanya menghalang permohonan istana Kelantan untuk mendapatkan tanah di negeri itu. Bagi Ustaz Azizan, dari segi sejarahnya, PAS sangat berlembut dengan raja-raja Melayu khasnya istana Kelantan.

"Ketika Sultan larikan kereta, PAS bela. Ketika sultan mahu dibuang kuasanya oleh Umno, PAS bersama sultan. Kini, Exco kerajaan negeri dari PAS pula yang ditarik balik pingatnya," jelas beliau.