Royalti minyak: Terengganu rancang tindakan Disember depan
'Ein Azmi
6.30pm, JUM: Kerajaan negeri Terengganu akan merangka satu tindakan
khas berhubung kehilangan hasil pendapatan negeri itu melalui royalti minyak
dalam mesyuarat belanjawan negeri pertengahan Disember tahun ini.
Menurut Ketua Jawatankuasa Pembangunan Petroleum Terengganu,
Mustafa Ali, kerajaan negeri mengambil langkah sedemikian kerana
pertukaran wang royalti kepada wang ehsan akan menjejaskan
perancangan pembangunan negeri pimpinan kerajaan PAS itu.
"Pembangunan (rakyat) akan terjejas teruk," jelas Mustafa kepada
malaysiakini.
Beliau hanya akan memaklumkan tindakan selanjutnya selepas mesyuarat
belanjawan negeri itu.
Sebelum ini Mustafa pernah mendedahkan langkah kerajaan pusat itu akan
menimbulkan masalah kewangan yang besar kepada negeri kerana kira-kira
75
hingga 80 peratus pendapatannya datang daripada minyak.
Dalam belanjawan tahun ini, Terengganu telah memperuntukkan sejumlah
dana yang besar untuk pembangunan. Kegagalan mendapatkan wang royalti
itu akan mengganggu pentadbiran negeri itu, jelas Mustafa dalam seminar
khas anjuran Barisan Alternatif bertajuk Royalti minyak: Politik khianat
dan
balas dendam BN September lalu.
Peruntukan itu termasuklah, dana-dana untuk rakyat miskin sebanyak RM21
juta, pinjaman perumahan kakitangan kerajaan negeri (RM20 juta),
perumahan rakyat (RM10 juta), pinjaman usahawan kecil (RM10 juta),
imbuhan imam dan bilal (RM7 juta), jawatankuasa syura rakyat (RM6.5 juta)
dan pinjaman pendidikan (RM2.8 juta) (Petronas 'simpati' nasib
Terengganu, 23 Sept).
Bagaimanapun beliau mengulas, kerajaan negeri masih mempunyai cukup
peruntukan dalam belanjawan mengurus soal-soal seperti pembayaran gaji
kakitangan dan pentadbiran.
Tiada mekanisme
Apabila ditanya berhubung saluran wang melalui Jawatankuasa Pembangunan
Pusat (JPP) Kerajaan Pusat, exco kanan negeri itu menjelaskan beliau masih
"tidak mendengar khabar" daripada jawatankuasa tersebut.
"(JPP sendiri) belum ada mekanisme," kata Mustafa.
Ketua Jawatankuasa Hisbah negeri, Tun Mohamad Salleh Abas, dalam satu
wawancara khas malaysiakini turut menegaskan kerajaan negeri tidak
mengetahui apa-apa tentang kaedah pembayaran baru itu melalui JPP kecuali
melalui satu salinan kenyataan Kementerian Kewangan pada 5 September
lalu.
Beliau yang merupakan bekas ketua hakim negara berkata, tindakan
menukarkan nama bayaran kepada wang ehsan tidak akan mengubah
kedudukan bayaran itu pada segi undang-undang kerana ia mesti dibayar oleh
Petronas dan menjadi hak Terengganu.
Salleh dalam kenyataan sebelum ini turut mendakwa bertanggungjawab dalam
merangka Akta Pembangunan Petroleum 1975.
Dalam perjanjian tersebut menjelaskan Petronas telah bersetuju untuk
membayar royalti sebanyak lima peratus hasil daripada sumber minyak negeri
Terengganu.
Dipetik dari : Malaysiakini.com