|
MEMBANGUN MENURUT ISLAM |
Terengganu tunggu reaksi Pusat
‘Ein Azmi
6:15pm, RABU: Kerajaan PAS Terengganu akan menilai reaksi selanjutnya
daripada kerajaan pusat sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung
penilaian semula royalti minyak sebanyak lima peratus.
"Kita akan melihat perkembangan di pihak sana (kerajaan pusat)" kata Exco
Ekonomi, Pembangunan, Petroleum, Industri dan Sumber Manusia, Mustaffa
Ali kepada malaysiakini pagi, berhubung penilaian semula kadar royalti
Petronas kepada negeri itu.
Beliau bagaimanapun menegaskan kenyataannya semalam bahawa perjanjian
mengenai kadar royalti minyak telah dibuat secara bertulis.
Semalam Mustaffa mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Mahathir Mohamad, yang berhasrat mengkaji semula pemberian royalti dan
menyifatkan langkah itu bermotif politik. Kata pemimpin PAS itu, perjanjian
bertulis antara kerajaan negeri dengan Petronas telah termaktub sejak
1970-an lagi.
Dalam perjanjian tersebut syarikat petroleum nasional itu bersetuju
memberikan kadar royalti sebanyak lima peratus sebagai pampasan, katanya.
Sementara itu, penasihat undang-undang PAS, Wan Mutalib Embong
menyelar cadangan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, mahu
mengambil tindakan mahkamah terhadap Petronas sekiranya meneruskan
pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu.
"(Shahidan) perlu mempunyai asas yang kukuh, kata-kata sahaja tidak
berguna," katanya berhubung cadangan menteri besar itu seperti dilaporkan
dalam akhbar hari ini.
"Jangan campur-adukkan politik dalam sistem pentadbiran undang-undang,"
kata Wan Mutalib lagi.
Akhbar Utusan Malaysia melaporkan Shahidan berkata Petronas sepatutnya
menyerahkan semua royalti minyak kepada kerajaan pusat untuk
diagih-agihkan kepada semua negeri.
Exco kerajaan tempatan Terengganu itu turut mempertikaikan kenyataan
bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang
mendakwa negeri itu tidak mempunyai sebarang perjanjian mengenai royalti
minyak.
Wan Mokhtar dilaporkan berkata, pemberian royalti dimeterai melalui satu
perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh beliau sebagai mewakili
kerajaan negeri dan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Petronas
ketika itu.
"Sejak 1978 kerajaan Terenganu menerima royalti minyak daripada Petronas,
tidak munasabah hanya sekadar perjanjian persefahaman, mesti ada
perjanjian bertulis," kara Wan Mutalib.
Ahli Jawatankuasa PAS, Dr. Mohamad Hatta Ramli berkata kerajaan pusat
tidak harus sangsi terhadap pentadbiran kerajaan Terengganu. .
"Sekiranya benar berlaku penyelewengan, sila buat laporan dan jalankan
siasatan," cabar Dr. Hatta lagi.
Negeri itu akan menerima royalti sebanyak RM810 juta ekoran kenaikan harga
peroleum di pasaran antarabangsa.