JANGAN KAITKAN TUANKUKUALA TERENGGANU, 14 April
Kerajaan negeri kesal dengan dakwaan
sesetengah pihak yang cuba melibatkan
Sultan Terengganu dalam isu teks khutbah
Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan
Pelaksanaan Syariah negeri, Ustaz Harun Taib
turut menafikan penglibatan Tuanku Sultan
menitahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
(JHEAT) supaya mengarahkan imam dan khatib
setiap masjid membaca khutbah menggunakan
teks JHEAT sahaja.
"Semua pihak jangan libatkan Tuanku kerana
Sultan tidak campur tangan dalam hal ini,"
jelasnya merujuk kepada pekeliling JHEAT bertarikh
28 Mac lalu ditandatangani oleh Pesuruhjayanya,
Datuk Wan Isa Long berhubung arahan tersebut
dengan titah Sultan.
Katanya, setiap arahan atau pekeliling mestilah
dirujuk kepada Majlis Agama Islam dan Adat
Melayu Terengganu (MAIDAM) atau Yang
Dipertuanya, Menteri Besar Terengganu, Tuan
Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat
menjelaskan, mengikut Enakmen bilangan 170
12/80 JHEAT berbunyi: "Pesuruhjaya boleh dengan
persetujuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Terengganu (MAIDAM) dari masa ke semasa
mengeluarkan arahan-arahan bahawa, hanya
khutbah yang disediakan atau diluluskan oleh
jabatan JHEAT hendaklah dibaca sebagai khutbah
bagi maksud sembahyang Jumaat atau
sembahyang Hari Raya atau lain-lain sembahyang
yang menggunakan khutbah".
Oleh itu katanya, Pesuruhjaya JHEAT sewajarnya
merujuk kepada MB Terengganu selaku Yang
Dipertua MAIDAM sebelum mengeluarkan sebarang
pekeliling mengenai arahan tersebut.