Umno Tidak Relevan Untuk Selamatkan Bangsa, Agama & Tanahair
Muqqadimah: Orang Melayu jelas menolak Umno dalam pilihanraya umum lalu. Mereka tidak yakin lagi pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad. Halatuju Umno kini sudah menyimpang jauh dari matlamat asal penubuhannya. Apa yang jelas Umno sudah dirosakkan dari kerosakan dasar dan prinsipnya. Perjuangan terhadap bangsa, tidak lagi mencipta teras malah agama terus dipermain-mainkan untuk mengabui mata umat Islam. Ikuti pandangan ringkas tokoh PAS yang berjaya menumbangkan Menteri Hal Ehwal Pengguna, Datuk Megat Junid Megat Ayub di Parlimen Parit iaitu YB Ustaz Basir Rahmat yang sempat diinterbiu oleh Editor, Tarmizi Mohd Jam di ruang lobi parlimen baru-baru ini untuk makalah isu MEMO: Umno 2000 Untuk Dijual? Tarmizi Mohd Jam: Apa komen YB Ustaz terhadap Umno setelah parti itu ditolak oleh orang-orang Melayu dalam pilihanraya umum lalu? Ustaz Basir Rahmat: Nampaknya, Umno dibawah teraju Dr. Mahathir sudah kelihatan letih, seolah-olah menunggu masa untuk “rebah” menyembah bumi. Dr. Mahathir telah berjaya membawa Umno jauh menyimpang dari landasan perjuangan asal. Tidak sebagaimana dulu, Umno kini kelihatan muflis dari segi idea perubahan dan pembangunan ummah. Dalam kamus Umno sudah tidak ada rangka kerja yang sesuai untuk dijadikan model pembangunan rakyat. Kamus terkini Umno dipenuhi istilah-istilah kronisme, nepotisme, rasuah, politik wang, penyelewengan, salah laku, keruntuhan akhlak dan moral, gejala sosial. Malah hampir semua istilah pemusnah terkumpul dalam Umno hari ini. Kemenangan besar PAS baru-baru ini, sekaligus telah berjaya menenggelamkan kepercayaan rakyat terhadap “khurafat akhbar” kononnya hanya Umno sahaja yang boleh memerintah negara ini… Memang, Dr. Mahathir seringkali mendabik dada mengatakan kononnya hanya
Umno satu-satunya parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Umno
sahaja yang boleh memerintah negara ini. Dia kata hanya Umno pejuang bangsa
Melayu. Umno juga adalah parti Islam terbesar dalam negara dan ketiga di
dunia. Itu kata dia. Umnolah juga yang bertanggungjawab mempertahankan
kedaulatan negara. Lagu tema Setia yang sering didendangkan melalui media
elektronik milik kerajaan saban hari jelas menyimpulkan bahawa perjuangan
kerajaan Malaysia yang kini diterajui oleh Umno adalah untuk kepentingan
agama, bangsa dan negara.
Benarkah Umno gagal bertindak atau berperanan untuk membela Islam di negara ini? Terdapat banyak petanda untuk membuktikan kegagalan Umno dalam hal ini.
Sikap dan pandangan pemimpin Umno terhadap hukum Islam ada yang terang-terang
menolak pelaksanaan hukum syariah di Kelantan. Malah dalam sistem hidup
keseluruhannya, Umno mencabul kemuliaan hari Jumaat sebagai cuti mingguan
malah tidak pernah meletakkan kerja-kerja memartabatkan agama sebagai agenda
perjuangan. Sikap jengkel Dr. Mahathir terhadap ulama juga tidak boleh
disembunyikan lagi. Bagi Dr. Mahathir, agama bukan hanya milik ulama.
Barangkali dia mahu, dia juga digelar ulama, kerana ulama baginya bukan
seorang yang alim dalam bidang agama, tetapi juga meliputi bidang-bidang
yang lain. Hakikat ini, mendorong Dr. Mahathir mengeluarkan fatwa dan tafsiran
sendiri yang kerap bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan, beliau pergi
lebih jauh dengan menghina beberapa aspek ajaran Islam itu sendiri.
Isu murtad patutnya ditangani secara serius oleh Umno. Tetapi nampaknya, mereka cuba mengelak dan memberikan pelbagai alasan. Mengapa ini terjadi? Sedangkan mereka mendakwa perjuangannya untuk menegakkan agama? Umno sebenarnya tidak sensitif. Tidak ada penghinaan yang lebih dahsyat dan menyayat perasaan umat Islam selain daripada gejala kemurtadan yang berleluasan sekarang. Pernah Setiausaha Pemuda Umno dulu, Saifuddin Nasation dalam akhbar Berita Harian bertarikh 22 Mac 1998 mendedahkan bahawa kegiatan memurtadkan umat Islam terutamanya perempuan dilakukan secara terancang oleh kumpulan tertentu melalui saluran mahkamah dengan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah perkara “kebebasan beragama”. Soal murtad, dibuat macam perkara remeh-temeh. Mereka mempermain-mainkan sahaja… Bukankah PAS pernah menyuarakan hal ini dalam Parlimen … Ya! Memang ada. PAS melalui Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga pernah mengemukakan
usul di Parlimen agar dibahaskan perkara yang berkaitan dengan murtad tetapi
Parlimen ayng dikuasai Umno itu telah menolak mentah-mentah usul berkenaan
atas alasan ianya tidak perlu disegerakan. Cubaan kedua PAS ialah
dengan mengemukakan lima Rang Undang-Undang Murtad untuk diluluskan Parlimen
tetapi ditolak juga. Apa yang nyata, tidak ada seorangpun menteri yang
beragama Islam dalam Umno rela tampil mengemukakan rang undang-undang berkenaan
untuk dibahaskan.
Asas bagi perjuangan Umno adalah untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Bagaimana YB Ustaz melihat Umno hari ini? Apakah perjuangan itu menepati pada realiti sebenar atau hanya menjadi “topeng” untuk mengelirukan orang Melayu bagi mendapatkan kuasa dan seterusnya menguasai “kekayaan”? Pada prinsipnya, Umno adalah parti yang memperjuangkan kebangsaan Melayu.
Betapa taksubnya Umno kepada istilah Melayu, sehingga ia merasakan hanya
Umno sahaja, satu-satunya parti orang Melayu yang benar-benar memperjuangkan
martabat bangsa Melayu di negara ini. Sebab itu, pemimpin-pemimpin Umno
sering mendakwa kononnya jika Umno/BN kalah dalam pilihanraya, kuasa politik
orang Melayu akan terhakis.
Apakah YB Ustaz setuju, bahawa Umno sebenarnya telah banyak menghakis Hak-Hak Istimewa Orang Melayu… Penghakisan Tanah Rizab Melayu yang begitu berleluasa dan tidak diganti
semula, adalah bukti yang tidak mampu disembunyikan oleh Umno. Ini kerana
Umno seolah-olah “merestui” Hak Istimewa Orang Melayu termasuklah Tanah
Rizab Melayu ini dihapuskan. Itulah yang dapat difahami dari mesyuarat
mereka beberapa tahun dulu. Dr. Mahathir pernah menghina kewujudan Tanah
Rizab ini dan Hak Istimewa Orang Melayu, kemudian diberi tepukan gemuruh
oleh para perwakilan Umno. Kata Mahathir, konsep Tanah Rizab ini akan menjadikan
orang Melayu sama taraf dengan Red Indians di Amerika Syarikat yang terpaksa
hidup atas belas ihsan Indians Reserves.
|