Menurutnya secara rasmi premis-premis perjudian itu ditutup pada
1 Jan apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak
memperbaharui lesen premis mereka yang tamat dua hari lagi.
Secara rasmi semua premis ditutup pada 1 Jan tetapi kerajaan
negeri memberi masa dua bulan untuk mereka menyelesaikan
pelbagai masalah termasuk berkaitan dengan pekerja, katanya di
sini hari ini.
Mazlan berkata tempoh dua bulan itu diminta oleh
pengusaha-pengusaha premis perjudian itu sendiri.
Isnin lepas, Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan
negeri memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan
untuk menutup premis perjudian di Terengganu.
Terdapat tiga premis perjudian Sports Toto dan dua premis empat
nombor ekor yang beroperasi di sekitar bandar Kuala Terengganu
dan satu premis empat nombor ekor di Dungun dengan keseluruhan
pekerja berjumlah 30 orang.
Lesen kesemua premis perjudian itu akan tamat tempoh pada 31
Dis ini. Mazlan berkata kerajaan negeri hanya akan mengambil
tindakan tegas termasuk meminta bantuan daripada polis dan
menutup premis berkenaan sekiranya terdapat pengusaha premis
yang degil dan masih beroperasi selepas Febuari depan.
Terdahulu, Abdul Hadi yang mempengerusikan mesyuarat Exco di
sini berkata kerajaan negeri akan menghantar para pegawai ke
premis-premis perjudian itu untuk berbincang mengenai pekerja
Islam yang diambil bekerja di situ.