MEMBANGUN MENURUT ISLAM |
AHLI SETUJU PEGABUNGAN
Parti KeADILan Nasional hari ini menghabiskan masa sehari
mesyuarat agung keduanya membahaskan usul penggabungan dengan Parti
Rakyat Malaysia dalam keadaan berhati-hati dan kekhuatiran.
Seramai enam perwakilan yang membahaskannya bagaimanapun menyokong
usul penggabungan tersebut.
Usul memberikan mandat kepada pemimpin KeADILan untuk berunding
selanjutnya dengan PRM kemudiannya diluluskan sebulat suara petang ini.
Pagi tadi, usul itu dibentangkan oleh anggota Majlis Pimpinan Tertinggi,
Saifuddin Nasution Ismail.
Selain itu, dalam perbahasan hari kedua ini, mesyuarat juga meluluskan
sebulat suara usul tergempar dari Pergerakan Pemuda yang dibangkitkan
dalam mesyuarat mereka semalam.
Usul itu menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad,
ditangkap dan ditahan atas dakwaan salah guna kuasa dan menghalang
proses penyiasatan rasuah.
Usul ini berasaskan keterangan bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah
Rasuah, Datuk Shafie Yahya, ketika perbicaraan kes kedua bekas Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin lalu.
Anwar telah membuat laporan polis sehari selepas keterangan itu dan juga
mendesak polis serta Peguam Negara bertindak segera terhadap Perdana
Menteri.
Mesyuarat KeADILan itu juga mendesak "tribunal siasatan diraja" ditubuhkan
bagi menyiasat "secara penuh" kes-kes seumpama itu yang didakwa dilakukan
oleh Dr Mahathir.
Perwakilan Perlis berkata, "kita tidak mahu apabila PRM menyertai KeADILan,
kita menghadapi masalah yang lebih besar." Beliau juga bimbang partinya
akan turut dipandang buruk akibat serangan Barisan Nasional terhadap PRM.
Tiga perwakilan yang membahaskannya pada sesi pagi meminta KeADILan
meneliti secara teliti penggabungan ini. Wakil Kelantan mempersoalkan apakah
"perjuangan PRM yang akan dipertahankan."
Wakil Negeri Sembilan pula berhujah dua parti itu harus memikirkan
kecenderungan pengundi, bukannya hanya soal kepimpinan parti dalam
langkah penggabungan.
Sementara wakil wanita dari Selangor mengingatkan bahawa perhubungan
yang baik dengan bahasa penuh kiasan. "Tidur sebantal pun, kemudian mata
lebam," katanya disambut tepukan dan ketawa perwakilan.
Perwakilan wanita ini merujuk perhubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri
Dr Mahathir Mohamad, dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
sebelumnya tetapi berakhir dengan krisis besar Umno dan negara.
Naib Presiden Tian Chua selepas itu menggulung perbahasan dengan
mengingatkan bahawa PRM merupakan sebuah parti yang "sanggup duduk
semeja" jika dibandingkan PAS dan DAP.
Beliau juga berpesan agar ahli parti tidak terlalu bimbang diserang media
BN
dalam isu tersebut.