Terangganu setuju jual air kepada Kelantan
KUALA TERANGGANU - Kerajaan Terengganu
bersetuju untuk menjual air kepada kerajaan
Kelantan dalam usaha mengatasi masalah
kekurangan air di beberapa kawasan di Pasir
Puteh, Kelantan.
Menteri Besar Tuan Guru Abdul Hadi, menyatakan
rundingan lanjut mengenai penjualan air itu akan
dilakukan secepat mungkin.
Beliau berkata demikian dalam perbincangan
dengan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul
Aziz yang memaklumkan mengenai masalah
kekurangan bekalan air yang dihadapi oleh
Kelantan dewasa ini.
"Kerajaan Terengganu tidak menghadapi masalah
untuk menjual air kepada Kelantan," jelas Menteri
Besar dalam majlis perbincangan di pusat
pentadbiran kerajaan Terengganu, Wisma Darul
Iman, pada 7 Mac lalu.
Kelantan meminta kerjasama Terengganu untuk
membantu mengatasi masalah berkenaan dengan
menjual sebagian lebihan air Terengganu ke negeri
itu, khususnya untuk kegunaan penduduk di
kawasan bersempadan iaitu daerah Pasir Puteh.
Sebelum kedatangan rombongan yang disertai Ahli
Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan dan
ketua-ketua jabatan kerajaan Kelantan itu, Majlis
Perbandaran Kota Bharu (MPKB) membuka jalan
sebagai perintis ke arah mewujudkan hubungan
kerjasama dengan Terengganu.
Rombongan yang diketuai Timbalan Yang Dipertua
MPKB, Haji Kamaruddin Mat Zin, melakukan
lawatan tiga hari ke Terengganu, pada 16 Februari
lalu.
Sewaktu mengadakan lawatan ke Majlis
Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT),
rombongan MPKB telah diberi taklimat mengenai
program dan projek yang akan dilaksanakan oleh
MPKT.
Dalam pertemuan antara kedua-dua majlis
perbandaran itu, Kamaruddin menjelaskan betapa
pihaknya mahu menjalinkan hubungan lebih erat
dengan MPKT, bagi kepentingan rakyat, khususnya
mereka yang tinggal di kawasan pentadbiran
kedua-dua majlis itu.
Menurutnya, sebagai sebuah negeri yang berjiran
dan berada di bawah pemerintahan parti yang
sama, amat wajar kerjasama antara kedua-dua
pihak dipertingkatkan lagi.
Selepas ini dijangka banyak pihak lagi dari
kedua-dua negeri mengadakan lawatan muhibah
dan mewujudkan kerjasama dalam semua bidang
bagi memastikan Kelantan dan Terengganu dapat
dibangunkan secara kolektif di bawah
pemerintahan PAS.