Amanat Hadi : Satu penilaian dan penjelasan
Amanat itu berbunyi,
“SAUDARA-SAUDARA
SEKALIAN, PERCAYALAH, KITA MENENTANG UMNO
BUKAN KERANA NAMA DIA UMNO. KITA MENENTANG BARISAN NASIONAL, BUKAN
KERANA NAMA DIA BARISAN NASIONAL. KITA MENENTANG DIA KERANA DIA
MENGEKALKAN PERLEMBAGAAN PENJAJAH, MENGEKALKAN PERATURAN KAFIR,
MENGEKALKAN PERATURAN JAHILIYYAH.
OLEH KERANA ITULAH KITA BERJUANG MELAWAN MEREKA. PERCAYALAH SAUDARA,
PERJUANGAN KITA ADALAH JIHAD, UCAPAN KITA ADALAH JIHAD, DERMA KITA ADALAH
JIHAD, DAN KERANA KITA BERJUANG DENGAN PUAK-PUAK INI, KALAU KITA MATI
KERANA BERLAWAN INI, MATI KITA ADALAH MATI SYAHID, MATI KITA ADALAH MATI
ISLAM.
KITA TIDAK PAYAH MASUK YAHUDI, KITA TIDAK PAYAH MASUK KRISTIAN, KITA TIDAK
PAYAH MASUK HINDU, KITA TIDAK PAYAH MASUK BUDHA, TETAPI KITA MENJADI KAFIR
DENGAN MENGATAKAN POLITIK SUKU AGAMA SUKU”.
Inilah dia amanat yang amat kontroversi itu. Kontroversi kerana UMNO berpendapat
ianya bercanggah dengan
Islam, sedangkan PAS berpandangan tiada apa-apa yang menyalahi Islam dalam
amanat itu dengan
menyimpulkan ianya hanyalah sebagai suatu amanat untuk menerangkan batas-batas
antara iman dan kufur.
Namun dakwaan UMNO bahawa amanat itu bercanggah dengan Islam hanyalah dakwaan
yang berbau politik
kepentingan sekular semata-mata, bukan dakwaan yang ikhlas atas dasar untuk
mencegah sesuatu yang
bercanggah dengan Islam (kemungkaran). Ketidak ikhlasan ini dapat dilihat
dengan jelas terhadap sikap UMNO
terhadap kemungkaran dan percanggahan yang lain, di mana tiada usaha untuk
mencegahnya, bahkan
kadang-kadang UMNOlah yang mempertahankannya atas alasan-alasan yang tidak
syar`ie.
Amanat tersebut diucapkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika berceramah
biasa di sebuah kampung
(Banggol Peradong, yang hanya beberapa minit perjalanan dari kampung kelahiran
saya) di daerah Kuala
Terengganu pada 1981, di mana ketika itu amat ramai orang (boleh diagak
daripada puak mana orang itu…)
mempersendakan Islam seperti berkata “…kalau nak ikut semua hukum Islam
kita tak boleh bergerak!”,
“…kalau hudud dijalankan, ramailah orang kudung tangan…”, “…kalau hukum
rejam diamalkan, kita tak boleh
buat jalan raya kerana kehabisan batu…” dan pelbagai ucapan persendaan
yang tidak wajar keluar daripada
mulut orang yang mengaku beriman.
Tiba-tiba ucapan biasa dalam ceramah itu dicetak dan diedarkan ke seluruh
negara oleh pihak yang tidak dapat
dipastikan permulaannya, tetapi bukan dengan arahan pucuk pimpinan atau
Haji Hadi sendiri. Oleh kerana ianya
tidak dianggap bersalahan dengan Islam, maka PAS pun tidak melarang ianya
diedarkan. Sama ada setuju atau
tidak, hakikatnya Haji Hadi adalah antara ulama di Malaysia yang dipakai
cakapnya dalam hukum agama.
Hasilnya, sejak sepuluh tahun yang terakhir ini orang-orang yang dahulunya
amat celupar mempersendakan
hukum-hukum Islam, kini tidak berani lagi.
Berbalik kita kepada sebab yang menjadikan amanat itu sebagai kontroversi,
iaitu persoalan apakah ianya
bercanggah dengan Islam. Sebagai muslim dan mukmin, kita tidak boleh meletakkan
hukum salah atau tidak pada
pandangan Islam berdasarkan cakap si polan bin si polan walau setinggi
mana pun kedudukannya sama ada
dalam PAS atau dalam UMNO. Sebaliknya cakap seseorang itu diterima sebagai
hukum Islam apabila ada
rujukan kepada al-Quran dan hadis sahih. Inilah adalah perkara yang wajib
disepakati oleh orang yang mengaku
sebagai muslim kerana ini arahan Allah s.w.t. (al-Nisa’: 59, 65 dll.)
Atas semangat sebagai seorang Islam, saya menyelidiki amanat itu tanpa
cenderung kepada mana-mana pihak
sama ada PAS atau UMNO (dulu saya menyokong UMNO atas beberapa sebab, sekarang
sokong PAS atas
banyak sebab, tetapi tidak pernah menganggotai mana-mana parti itu). Kecenderungan
saya hanyalah kepada
kehendak al-Quran dan hadis yang sahih berdasarkan bekalan ilmu yang saya
pelajari secara serius bermula di
al-Azhar.
Apa yang saya fahami daripada hujah UMNO yang mengatakan amanat itu bercanggah
dengan Islam ialah
tentang ‘syahid jika mati kerana melawan puak-puak ini’ (UMNO/BN). Itulah
perkara yang paling sensitif di sisi
UMNO, kerana mereka faham hanya kematian yang disebabkan oleh perlawanan
dengan orang kafir sahaja yang
boleh diklasifikasikan sebagai mati syahid. Dengan itu mereka membuat konklusi
bahawa orang PAS telah
mengkafirkan orang UMNO.
Sebelum kita bahaskan tentang sebab-sebab syahadah (mati syahid), apakah
ianya hanya kematian yang
bersebabkan jihad bersenjata melawan kafir harbi (kafir yang harus diperangi)
atau ada sebab-sebab lain yang
boleh membawa syahadah, eloklah kita bahaskan dari perspektif Islam setiap
satu daripada perenggan amanat
itu.
Perenggan yang pertama:
Menerangkan sebab PAS berjuang secara demokrasi (bukan secara kekerasan
atau bersenjata) melawan
UMNO/BN, bukan kerana namanya UMNO atau Barisan Nasional, tetapi kerana
parti perikatan yang sedang
memerintah Malaysia itu mengekalkan (melalui kuasa majoriti lebih dua pertiganya)
perlembagaan warisan
penjajah, peraturan kafir atau jahiliyyah.
Apakah benar UMNO/BN mengekalkan peraturan penjajah, kafir atau jahiliyyah
ke atas
negara majoriti umat Islam Malaysia ini?
Berdasarkan aqidah Islam, iman itu bermakna kepercayaan dengan penuh yakin,
pengucapan dengan lidah dan
pengamalan dengan anggota terhadap segala yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.,
iaitu al-Quran dan hadis yang
sabit daripada baginda (makna sebuah hadis riwayat al-Bukhari). Antara
rukun iman yang wajib dipegang ialah
keyakinan terhadap al-Quran sebagai kitab wahyu yang terpelihara daripada
perubahan (Surah al-Hijr: 9). Ianya
adalah natijah kepada iman kepada Allah s.w.t. (rukun iman yang pertama)
yang menurunkan al-Quran itu.
Ertinya, sesiapa yang mengaku beriman dengan Allah s.w.t., wajiblah beriman
dengan al-Quran secara
keseluruhannya. Jika tidak, ia dikira kafir kerana tidak beriman dengan
apa yang Allah s.w.t. suruh imankan,
antaranya kitab suci al-Quran. Tidak percaya atau ragu-ragu terhadap sebahagian
kecil daripada kandungan
al-Quran pun dikira kafir, kerana Allah menyuruh kita beriman dengan al-Quran
secara total dan keseluruhannya
tanpa sedikit keraguan (Surah al-Baqarah: 2).
Berdasarkan pegangan aqidah di atas, sama ada kita suka atau tidak, kita
wajib percaya dengan yakin dalam hati,
ucapkan keyakinan itu dengan lidah dan amalkan segala yang Allah s.w.t.
titahkan dalam al-Quran itu daripada
perkara aqidahnya, syariatnya dan akhlaknya. Syariat (perundangan Islam)
itu pula amat luas, daripada hal
ibadatnya (fardhu `ain), munakahat (nikah kahwin/kekeluargaan), muamalat
(perekonomian), jinayat
(perundangan jenayah), qadha’ (kehakiman), siasah (politik/pentadbiran),
siyar (hubungan
Islam-kafir/antarabangsa) dan sebagainya lagi, yang semuanya itu dihuraikan
oleh ulama Islam dalam kitab-kitab
Fiqah (yang lengkap) dalam semua mazhab aliran Sunnah atau Syiah.
Peraturan penjajah/kafir/jahiliyyah yang mana UMNO/BN kekalkan?
Untuk menjawab soalan ini, kita perlu jelaskan bahawa sejak Islam bertapak
di Tanah Melayu bermula dengan
tarikh yang tercatat di atas Batu Bersurat Terengganu (702H/1303M) dan
kemunculan Kerajaan Melayu-Islam
Melaka di awal abad ke-15 Masihi, bahawa hukum Islam telah diamalkan oleh
orang Melayu-Islam secara adat
(tidak dikodifikasikan – cuba ingat kisah hukum sebat penzina, walaupun
tidak menepati cara Islam, dalam filem
Semerah Padi lakonan P. Ramlee) dan kadang-kadang secara bertulis di sesetengah
tempat dan zaman (seperti
Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911 yang bergelar Itqan al-Muluk
bi-Ta`dil al-Suluk) –lihat
Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, Gerakan Anti Penjajahan Di Malaysia 1511-1950,
Penerbitan Kintan Sdn
Bhd, 1994.
Sesiapa yang mengkaji sejarah Kesultanan Acheh, Melaka, Riau-Lingga, Patani
dan Terengganu sebelum campur
tangan penjajah akan mendapat bukti bahawa kerajaan-kerajaan tersebut telah
menjadi al-Quran dan Sunnah
sebagai sumber perundangan mereka secara tidak bertulis sebagai akta atau
enakmen. Di zaman itu juga mereka
memberikan wala’ (kesetiaan) mereka kepada kerajaan Islam terbesar ketika
itu iaitu Khilafah `Uthmaniyyah di
Turki, sehinggakan tersebut dalam sejarah Riau bahawa Raja Ali Kelana (atau
Raja Ali bin Raja Muhammad
Yusuf) telah dihantar ke Turkey pada 1899M untuk meminta pertolongan khalifah
memerangi Belanda, yang telah
menjatuhkan takhtanya kerana sikapnya yang anti-Belanda. Malangnya misi
Raja Ali itu gagal (kerana
`Uthmaniyyah Turkey ketika itu telah menghadapi zaman kemerosotannya sehingga
dihancurkan secara rasmi oleh
rejim Kamal Atartuk pada Mac 1924), lalu Raja Ali lari ke Johor dan dilantik
oleh Sultan Johor sebagai Syeikhul
Islam sehingga beliau mati pada 1927. (Lihat Abu Hasan Sham, Karya-karya
Yang Berunsur Agama Dari
Pengarang Melayu-Riau Sehingga Awal Abad Ke-20, Dewan Sastera, Dis. 1983,
m.s: 23 dan Ibrahim Abu
Bakar, Islamic Modernism in Malaya: The Life and thought of Sayid Syekh
Al-Hadi 1867-1934, Univ. of
Malaya Press, K. Lumpur, 1994, m.s: 53.)
Sebaliknya, dengan kedatangan penjajah (terutamanya Inggeris dalam konteks
Tanah Melayu), melalui kuasa
campur tangan Residen British, sultan (ketua umat Islam di setiap negeri)
hanya diberikan hak untuk mentadbir
adat istiadat Melayu dan ‘agama Islam’ sahaja. ‘Agama Islam’ pada pemahaman
orang Inggeris penjajah, sejak
bermula sekularisme di Eropah, ialah seperti agama Kristian yang hanya
berperanan dalam kehidupan peribadi
seseorang dan tidak lebih daripada itu. Jadi yang dimaksudkan dengan ‘agama
Islam’ dalam bidang kuasa yang
diberikan kepada sultan hanyalah perkara yang berkaitan aqidah, ibadah
dan munakahat (fardhu `ain dan
kekeluargaan) sahaja. Maka benarlah apa yang disebutkan bahawa tujuan pertama
dan utama Inggeris
menguasai satu demi satu negeri-negeri Tanah Melayu ialah seperti yang
dinyatakan oleh Eunice Thio dalam
bukunya British Policy in The Malay Peninsula 1880-1910, Univ. of Malaya
Press, Singapore, 1969, m.s: xvii
dan Ibrahim Abu Bakar dalam bukunya Islamic Modernism in Malaya, Penerbitan
Univ. Malaya, K. Lumpur,
1994, m.s: 7:
“The main duties of the Residents, as laid down for them by the Governor
with the approval of the Colonial
Office, were: to maintain law and order, initiate a sound system of taxation,
supervise the collection of
revenue and encourage economic development.”
Dengan tugas Residen Inggeris yang utama itu, maka segala undang-undang
termasuk undang-undang Islam
(selain ibadat dan munakahat) yang telah diamalkan oleh orang Melayu-Islam
telah diselenggara dan diubah oleh
mereka mengikut selera Inggeris.
Dengan terjajahnya negeri Melayu yang terakhir (Terengganu) pada 1919M
dan berlakunya campur tangan
Inggeris dalam segala bidang kehidupan orang Melayu-Islam (selain ibadat
dan munakahat) di seluruh Tanah
Melayu, maka berubahlah bentuk pengamalan Islam daripada praktikal dalam
semua bidang kepada praktikal
dalam dua bidang itu sahaja. Sehingga British memberikan ‘kemerdekaan’
kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos
1957, Islam ibadat dan munakahat itulah sahaja yang difahami oleh kebanyakan
orang Melayu-Islam, termasuk
yang mewarisi pemerintahan negara pasca-kolonialisme hingga hari ini. Ini
bermakna, British hanya membenarkan
orang Melayu-Islam mempraktikkan Islam setakat peribadi (ibadat fardhu
`ain) dan keluarga (munakahat)
sahaja. Mereka tidak membenarkan Islam diamalkan dalam lebih luas daripada
itu seperti dalam politik
pentadbiran dan kenegaraan, perekonomian, kehakiman dan lain-lain bidang
kehidupan.
Malahan perlu disebut bahawa semacam ada komplot antara British-Zionis
dalam dasar penjajahan Inggeris
terhadap tanah jajahannya. Adalah diketahui bahawa antara protokol Zionis
ialah menguasai tanah, pemerintahan,
ekonomi dan pendidikan goyim, iaitu bangsa bukan Yahudi (Lihat Victor E.
Marsden, The Protocols of the
Meetings of the Learned Elders of Zion, 1934, (Protokol-protokol Mesyuarat
Para Pemimpin Ilmuan Zionis),
terj. Ummu Muhammad, Thinkers Library, 1999). Teori komplot ini dibuktikan
lagi oleh penyerahan negara
Palestin (yang asalnya diperintah oleh Arab-Islam sebelum penjajahan) oleh
British kepada Israel-Zionis pada
1948.
Bahkan amat penting untuk disebut –sebagai bukti teori komplot ini- bahawa
Sultan Abu Bakar (memerintah
1885-1895) yang diberi gelaran ‘Bapa Johor Moden’ oleh British itu, disekolahkan
di sekolah missionary
Kristian yang bernama Keasberry School di Bukit Zion, Singapura (kenapa
tempat itu diberi nama Bukit Zion?
Dan Keasberry itu ialah nama gurunya yang merupakan seorang preacher) –
Lihat R. O. Winsted, A History of
Johore 1365-1895, Kuala Lumpur, 1979, m.s: 120 dan Ibrahim Abu Bakar, Islamic
Modernism in Malaya,
m.s: 65.
Kennedy Gordon Tregonning dalam bukunya A History of Modern Malaya , Eastern
Univ. Press, S`pore, 1964,
m.s: 185 dan L. Richmond Wheeler dalam bukunya The Modern Malay , George
Allen & Unwin Ltd., London,
1928, m.s: 39 menyebutkan bahawa pada tahun 1921 bilangan penduduk Yahudi
di Tanah Melayu ialah seramai
703 orang. (Ibrahim Abu Bakar, Islamic Modernism in Malaya, m.s: 19)
Namun di sini kita tidak berniat untuk memaparkan semula sejarah secara
keseluruhannya. Baca dan kajilah
semula fakta sejarah yang tidak boleh didustakan itu, bagi sesiapa yang
ingin mendengar dan melihat kebenaran.
Maka pada tahun 1957 itu British telah meninggalkan undang-undang, peraturan
dan perlembagaan Malaysia
menurut acuan mereka. Antaranya ada yang tidak bercanggah dengan Islam
(terutama undang-undang atau
hukuman terhadap kesalahan yang tidak disebutkan dalam al-Quran dan hadis
sahih, pentadbiran kewangan,
kebebasan asasi, kewarganegaraan), tetapi banyak juga yang bercanggah dengan
Islam. Antara yang bercanggah
dengan Islam ialah:
1. Perlembagaan negara terletak di atas sekali sehingga mana-mana
undang-undang negeri (termasuk dari
al-Quran, seperti Kanun Jenayah Syariah II Kelantan) yang didapati bercanggah
dengannya dikira terbatal
dengan sendiri dan tidak boleh dipakai (Perlembagaan Persekutuan, Perkara
75) dan kuasa pengampunan
terhadap apa-apa hukuman diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk Persekutuan
dan Sultan untuk
negeri (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 42).
2. Akta ISA (akta untuk menahan seseorang tanpa diberi hak
membela diri) sedangkan Islam tidak
membenarkan sesiapa pun ditahan tanpa bicara kerana setiap kesalahan sudah
ada undang-undang dan
hukuman untuknya. Ini adalah satu bentuk kezaliman dan Islam mengharamkan
kezaliman dalam apa bentuk
sekali pun.
3. Akta Keterangan yang mengizinkan sesiapa sahaja menjadi
saksi walaupun seorang yang fasiq atau kafir ke
atas tertuduh yang beragama Islam. Sedangkan ini jelas bertentangan dengan
syarat saksi yang dikehendaki
oleh al-Quran dan hadis.
4. Tiada syarat seorang hakim seperti yang dikehendaki oleh
Islam. Berdasarkan peraturan penjajah ini sesiapa
sahaja boleh menjadi hakim bila ada sijil, kewarganegaraan, pengalaman
10 tahun dan dilantik
(Perlembagaan Persekutuan, Perkara 122B dan 123). Maka ini termasuklah
hakim yang tertohmah dengan
tuduhan rasuah atau hakim yang ada hubungan dengan salah satu pihak yang
dihakimi.
5. Undang-undang dan hukuman jenayah yang telah disebutkan
dalam al-Quran dan hadis (hudud, qisas dan
diat) tidak dipakai, sebaliknya undang-undang warisan penjajah ditegakkan,
seperti dalam jenayah bunuh,
mencedera, curi, rompak dan seumpamanya.
6. Kesalahan-kesalahan yang dikira jenayah oleh al-Quran
atau hadis sahih serta ada hukuman Islamnya
(hudud), tidak dikira jenayah oleh peraturan penjajah seperti jenayah zina,
tuduhan zina tanpa saksi, minum
arak, murtad dan sebagainya. (Enakmen Jenayah Syariah di peringkat negeri
setakat ini tiada satu pun yang
menepati kehendak Islam walaupun diberi nama ‘syariah’, kecuali satu percubaan
oleh kerajaan PAS
Kelantan yang ditolak (dihalang?) oleh Kerajaan Pusat melalui surat rasmi
bertarikh 15hb. Julai 1994)
Sebenarnya jika hendak dikumpulkan banyak lagi bukti pertentangan yang
wujud antara undang-undang penjajah
yang diwarisi oleh kerajaan UMNO/BN dan undang-undang Islam yang bersumberkan
al-Quran dan Sunnah.
Jadi benar atau tidak kerajaan UMNO/BN mempertahan dan mengekalkan peraturan
penjajah/kafir/jahiliyyah
sejak kemerdekaan sehingga sekarang dan tiada tanda-tanda hendak menerima
undang-undang al-Quran dan
Sunnah secara keseluruhannya? Jawabnya benar! Maka benarlah maksud perenggan
pertama daripada Amanat
Haji Hadi itu.
Sebelum kita berpindah kepada perbahasan terhadap perenggan kedua daripada
Amanat Haji Hadi itu, kita ingin
tahu apa hukumnya jika memakai sebahagian hukum Islam (khususnya dalam
ibadat dan munakahat serta
sebahagian muamalat) dan menolak sebahagian besar yang lain (sebahagian
muamalat yang lain, siasah, qadha’,
jinayat, siyar dll) lalu memakai undang-undang penjajah/kafir/jahiliyyah
itu?.
Kita telah jelaskan pegangan aqidah di atas tadi bahawa al-Quran itu wajib
diimani keseluruhannya, mengingkari
sebahagian bererti ingkar kepada seluruh rukun iman, dan balasannya ialah
seperti yang tersebut dalam ayat 85
Surah al-Baqarah:
“Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan kufur dengan sebahagian
yang lain? Maka tiadalah lagi
balasan bagi orang yang melakukan perbuatan demikian di kalangan kamu melainkan
kehinaan di dunia dan pada
hari Kiamat akan dicampakkan ke dalam azab yang paling sengsara…”
Apakah tujuan al-Quran diturunkan oleh Allah? Adakah sekadar untuk dihafaz,
dilagu, dipertanding dan dibuat
hiasan dinding? Jawapannya ialah seperti yang dinyatakan oleh ayat 105
Surah al-Nisa’:
“Sesungguhnya Kami (Allah) turunkan kepadamu (Muhammad) kitab al-Quran
itu dengan kebenaran supaya
kamu berhukum di antara manusia mengikut apa yang Allah tunjukkan kepadamu
dan janganlah engkau jadi
pembela orang-orang yang khianat.”
Allah s.w.t. juga memberi amaran keras kepada Ahlul Kitab (kaum Yahudi
dan Kristian) dengan hukum kafir,
zalim dan fasiq jika mereka tidak berhukum dengan apa yang Allah s.w.t.
turunkan, seperti tersebut dalam ayat
44-47 Surah al-Maidah:
“Sesungguhnya Kami telah turunkan kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk
dan cahaya, dengan kitab
itu para nabi menyerah diri (Islam) lalu berhukum dengannya ke atas orang
Yahudi, demikian juga ulama
dan pendita mereka (berhukum dengan hukum Allah), kerana mereka diamanahkan
memelihara dan
menjalankan hukum daripada kitab Allah, dan mereka juga menjadi saksi atas
amanah itu. Oleh itu
janganlah kamu (zahirnya, ganti nama ini untuk umat Islam yang baca Al-Quran)
takutkan manusia, takuitlah
padaKu dan janganlah kamu perniagakan ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit,
dan sesiapa (umum,
termasuk umat Islam) yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan
maka mereka itulah
orang-orang yang kafir (44) Dan Kami telah telah tetapkan bagi mereka dalam
kitab Taurat itu bahawa
jiwa dibalas dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga
dengan telinga, gigi dengan
gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (dengan seimbang), tetapi sesiapa
yang melepaskan hak
membalasnya, maka itu adalah penebus dosa baginya dan sesiapa (umum, termasuk
umat Islam) yang tidak
berhukum dengan apa yang Allah turunkan maka mereka itulah orang-orang
yang zalim (45) Dan Kami
utuskan Nabi Isa bin Maryam mengikuti jejak langkah mereka (nabi-nabi Bani
Israel) untuk membenarkan
kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya dan Kami telah berikan kepadanya
kitab Injil, yang mengandungi
petunjuk dan cahaya dan mengesahkan kitab yang sebelumnya, iaitu kitab
Taurat, serta menjadi petunjuk
dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa (46) Dan hendaklah
Ahli Kitab Injil berhukum
dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya, dan sesiapa (umum,
termasuk umat Islam) yang
tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan maka mereka itulah orang-orang
yang fasiq (47)”
Ayat 44-47 daripada Surah al-Maidah ini, walaupun asalnya diturunkan untuk
mewajibkan Ahlul Kitab berhukum
dengan hukum Allah, namun ianya tidaklah bermakna umat Islam tidak termasuk
dalam kewajipan itu, kerana
ancaman tidak melaksanakan perintah wajib ini (kafir/zalim/fasiq) adalah
secara umum (wa man…/ dan
sesiapa...). Mendakwa ayat tersebut adalah semata-mata untuk Ahlul Kitab
dan tiada kena mengena dengan
orang Islam adalah satu dakwaan jahat daripada ulama jahat kerana ia membawa
fitnah seolah-olah Allah s.w.t.
tidak adil kerana menyalahkan orang Yahudi dan Kristian yang tidak berhukum
dengan hukumnya, tetapi apabila
kesalahan yang sama dilakukan oleh orang Islam, tiba-tiba Allah s.w.t.
tidak salahkan. Ia juga seolah-olah
menganggap kitab al-Quran itu hanyalah berperanan sebagai buku sejarah
semata-mata atau buku cerita lagenda
atau mitos yang mana pembacanya tidaklah wajib mengamalkannya.
Jadi kesimpulannya, tidak mengamalkan keseluruhan atau sebahagian al-Quran
yang merupakan wahyu Allah
s.w.t. dan menggantikan tempatnya dengan hukum atau undang-undang yang
lain adalah dikira tidak berhukum
dengan hukum Allah s.w.t.
Ketika mentafsirkan ayat 50 Surah al-Maidah (“ Maka sesudah itu, apakah
hukum Jahiliyyah yang mereka
cari…”) dalam kitab Tafsir al-Quran al-`Azim, al-Imam Ibn Kathir menyebutkan
bahawa pentadbiran Jenkhiz
Khan (panglima Moghul yang masuk Islam bersama tenteranya selepas menawan
Baghdad pada 656H/1258M)
telah menggubal undang-undang campuran daripada agama Yahudi, Kristian,
Islam dan lain-lain lalu dinamakan
rang undang-undang itu sebagai al-Yasaq untuk digunakan ke atas umat Islam,
beliau (Ibn Kathir) berkata
bahawa “itu adalah kekufuran yang nyata yang wajib diperangi (dilawan)
oleh umat Islam sehingga
kerajaan itu kembali kepada hukum Allah s.w.t. dan Rasul-Nya dan tidak
mengamalkan selainnya sama ada
banyak atau sedikit.”
Oleh kerana itulah PAS mengatakan mereka melawan UMNO/BN kerana UMNO/BN
mengekalkan serta
mengamalkan peraturan penjajah/kafir/jahiliyyah, bukan kerana namanya
UMNO/BN.
Perenggan yang kedua dalam Amanat Haji Hadi:
Menerangkan bahawa sekiranya ditakdirkan berlaku kematian ketika melawan
UMNO/BN itu, maka mati itu
adalah mati syahid. Inilah titik persoalan yang amat tidak disenangi UMNO.
Dalam masa yang sama mereka
ternampak peluang untuk mereka menuduh PAS ekstrim dan telah mengkafirkan
UMNO, lalu dengan
menggunakan amanat ini mereka bermati-matian mendakwa orang PAS kata orang
UMNO kafir.
Kita ingin bahaskan dari kaca mata Islam (al-Quran atau hadis), apakah
sebab syahadah (mati syahid) itu hanya
tertumpu pada kematian yang disebabkan oleh perlawanan dengan orang kafir
sahaja dan tiada lagi sebab-sebab
lain yang memungkinkan seseorang Islam itu mati syahid?
Kata-kata Dato’ Safei Daud (Setiausaha Biro Hal Ehwal Agama Penerangan
UMNO Terengganu) bahawa
“…Bagi kita orang Islam, apabila ‘mati syahid’ maka lawannya tentulah orang
kafir. Amanat (Haji Hadi) ini
secara terang membawa maksud UMNO kafir kerana tidak boleh mati syahid
seseorang Islam itu jika dia
berlawan sesama Islam. Untuk mati syahid, kita mesti berlawan dengan orang
kafir. Dalam amanat itu,
mahu tidak mahu UMNO mesti dikafirkan baru boleh mati syahid.” (Mingguan
Malaysia, 13/8/2000) adalah
satu kenyataan yang dibuat secara semberono atas dasar politik kepartian
sempit tanpa ilmu dan penyelidikan
tentang sebab-sebab mati syahid dalam Islam. Bagaimana S/U Biro Agama ini
boleh bercakap atas nama Islam
sedangkan tiada satu pun nas al-Quran atau hadis digunakan untuk menyokong
cakapnya. Sekadar hendak
gunakan fikiran dan mulut sendiri, jangan gunakan nama Islam kerana itu
bermakna pendustaan atas nama agama
Allah s.w.t. Islam adalah bersumberkan al-Quran dan/atau hadis sahih, bukan
mulut sendiri. Mulut itu hanya
sekadar alat untuk menyampaikan Islam yang keluar daripada al-Quran dan/atau
hadis sahih.
Mari kita lihat nas-nas sahih tentang sebab-sebab seseorang Islam itu memperoleh mati syahid:
1. Daripada Abu Hurayrah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“ Syuhada’ (orang-orang yang mati
syahid) itu ada lima jenis; mati kerana taun, kerana sakit dalam perut
(seperti barah), kerana lemas,
kerana tersepit/tertindih (termasuk kemalangan jalan raya) dan mati kerana
berjihad di jalan Allah
(melawan orang kafir)” –Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
2. Daripada Abu Hurayrah r.a. juga, Rasululah s.a.w. menyoal
Sahabat, maksudnya: “Siapakah yang kamu
kira syuhada’ di kalangan kamu? Jawab Sahabat: Orang-orang yang mati di
jalan Allah (kerana
memerangi kafir). Kata Nabi s.a.w.: Kalau begitu, syuhada umatku sedikit
sahajalah. Sahabat bertanya:
Jadi siapa itu syuhada’ wahai Rasulullah? Jawab Nabi s.a.w.: Sesiapa (orang
Islam) yang mati di jalan
Allah (kerana berperang) adalah syahid, sesiapa yang mati di jalan Allah
(kerana selain berperang seperti
jatuh kuda) adalah syahid, sesiapa mati kerana penyakit taun adalah syahid,
sesiapa mati kerana sakit
dalam perut adalah syahid dan orang yang mati lemas pun adalah syahid.”
–Riwayat Muslim.
3. Daripada `Abdullah bin `Amr bin al-`As r.a., Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang
terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah mati syahid.” –Riwayat al-Bukhari
dan Muslim.
4. Daripada Sa`id bin Zayd bin `Amr bin Nufayl r.a. (salah
seorang Sahabat yang dijamin syurga), Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya
adalah syahid,
sesiapa yang mati kerana mempertahankan darah/nyawanya adalah syahid, sesiapa
yang mati kerana
mempertahankan agamanya adalah syahid, sesiapa yang mati kerana mempertahankan
keluarga (orang
di bawah jagaannya, atas dasar kebenaran) adalah syahid.” –Riwayat Abu
Dawud dan al-Turmuzi: Hadis
Hasan Sahih.
Berdasarkan hadis-hadis sahih di atas dan lain-lain lagi jika dikumpulkan,
adalah jelas sebab syahadah itu bukan
sahaja terhad kepada kematian yang disebabkan berperang melawan orang kafir,
bahkan banyak lagi
sebab-sebab lain untuk mendapat syahadah seperti mati akibat beberapa jenis
penyakit yang bahaya dan sukar
dipulihkan, mati kemalangan, mati mempertahankan maruah, harta dan nyawa
sendiri dan juga mati ketika bekerja
mempertahankan tuntutan agama Islam seperti berkempen untuk memenangkan
parti Islam dalam pilihan raya.
Jadi jelaslah di sini bahawa mengatakan PAS mengkafirkan UMNO kerana Amanat
Haji Hadi itu berdasarkan
tafsiran yang jahil dan salah terhadap sebab-sebab syahadah adalah satu
konklusi yang tertolak dari segi ‘aqli
(logik) dan naqli (syarak). Setelah jelas kedudukan isu amanat ini, tidak
perlu lagi mana-mana pihak
mempolemikkannya. Sekiranya UMNO masih mendakwa PAS mengkafirkannya, itu
bermakna UMNO telah
kehabisan modal untuk memburukkan PAS, dan bermakna UMNO amat berharap
jika ada orang kata dia kafir.
Jadi jelaslah tiada percanggahan hukum dalam amanat yang mengatakan jika
orang PAS mati ketika melawan
UMNO/BN untuk tegakkan Islam, maka matinya itu adalah syahid, tetapi ia
tidak secara terus membawa maksud
bahawa orang UMNO (secara si anu bin si anu) kafir. Namun timbul persoalan,
jika PAS tidak kata orang
UMNO kafir, kenapa ada sembahyang dua imam dan tidak hadir kenduri
orang UMNO seperti di Besut,
Terengganu? Bukankah itu bermakna orang PAS kata orang UMNO kafir?
Sebenarnya sebab terjadi solat dua imam, tidak bersembahyang di masjid
yang diimami ahli UMNO, tak hadir
kenduri dan sebagainya itu tidak boleh dijadikan bukti PAS telah mengkafirkan
UMNO. Banyak faktor lain yang
menyebabkan masalah-masalah tersebut terjadi terutamanya di Besut seperti
dendam dan ketidakpuasan hati
sejak imam ahli PAS dipecat. Kajian yang melibatkan faktor sosio-budaya
dan cara hidup masyarakat Besut juga
mesti diberi perhatian. Sebagai orang Terengganu dan bergaul dengan ramai
anak-anak Besut semasa bersekolah,
saya kenali mereka sebagai kumpulan masyarakat yang dipengaruhi oleh budaya
‘oghe barat’ (pada mereka,
maknanya orang Siam atau Kelantan) yang terkenal dengan ‘gedebe’ (keras
kepala, suka melawan dan kuat
berpegang kepada sesuatu yang mereka terima), walaupun tidak semua mereka
begitu. Bagi mereka yang telah
menerima bahawa perjuangan PASlah yang benar, maka memang mereka ‘gedebe’
bila ada pihak lain yang
mencabar. Pada saya, faktor ‘gedebe’ itu sahaja yang menyebabkan mereka
terus tidak ingin menjadi makmum
kepada ahli UMNO, tidak hadir kenduri dan sebagainya. Bukannya mereka berkata
si anu bin si anu yang
menjadi ahli UMNO itu kafir, kerana jika betul mereka berpegang begitu,
sudah pasti mereka akan meminta
bekas ahli-ahli UMNO yang masuk PAS itu mengucap dua kalimah syahadah dahulu
sebelum mereka terima
sebagai rakan seperjuangan mereka.
Selain faktor ‘gedebe’, kemungkinan ada faktor tidak selesa berimamkan
orang yang mereka tidak restui. Dan ini
ada sandarannya dalam Islam, iaitu berdasarkan hukum Fiqh Islam, adalah
makruh berimamkan orang yang tidak
disukai. Imam al-Turmuzi meriwayatkan daripada Ibn `Umar bahawa Nabi s.a.w.
bersabda maksudnya:
“Tiga golongan akan berada di atas bukit haruman kasturi pada hari Kiamat;
seorang hamba yang
menunaikan hak Allah dan hak tuannya, seseorang yang mengimami solat dalam
keadaan jemaah redha
akannya dan seseorang yang melaungkan azan untuk solat lima waktu.” (Hadis
Hasan)
Ketika memberi komentar terhadap hadis-hadis dalam bab ‘Keimaman si fasiq’,
Imam al-Syawkani menyatakan
dalam kitabnya Nayl al-Awtor, cetakan Maktabah Dar al-Turath, Kaherah,
t.t., m.s: 164,
“…yang dipersilisihkan (oleh ulama) ialah tentang ke’sah’an berjemaah di
belakang imam yang fasiq, ada pun
tentang makruh hukumnya, maka tiada perselisihan (khilaf) lagi…”
Apakah hukum orang yang bersetuju dengan pengekalan undang-undang penjajah/kafir/jahiliyyah
kalau tidak
paling kurang pun ianya fasiq? Jadi orang PAS menganggap imam ahli UMNO
yang bersetuju dengan dasar
UMNO/BN adalah fasiq, maka mereka tidak restui untuk berimamkannya kerana
hukumnya makruh dan
mengurangkan pahala jemaah mereka.
Cuma cara mereka tidak mahu berimamkan ahli UMNO itu tidak tepat apabila
mereka adakan solat dua imam
serentak. Sepatutnya mereka bersolat pada waktu yang berasingan ataupun
pergi ke masjid yang berlainan.
Tetapi demi untuk menjaga perpaduan, bersolat bersama dengan imam semasa
yang dilantik oleh pihak berkuasa
itu adalah lebih baik kerana kadang-kadang imam yang menyokong UMNO/BN
itu pun masih jahil hukum Islam
(soalnya, apakah orang yang jahil layak menjadi imam?). Lagi pun, melakukan
perkara yang makruh (berimamkan
orang yang tidak disukai) adalah lebih baik daripada melakukan perkara
yang boleh membawa kepada haram
(perpecahan berpanjangan dengan solat dua imam serentak).
Jadi kesimpulannya, solat dua imam itu tidak boleh dijadikan dalil bahawa
orang Pas menghukumkan orang
UMNO sebagai kafir kerana ada faktor-faktor lain yang tidak boleh diabaikan
daripada perkiraan seperti yang
dihuraikan di atas.
Perenggan ketiga Amanat Haji Hadi:
Menerangkan batas-batas antara iman dan kufur iaitu sesiapa daripada orang
Islam yang
mengatakan politik tidak boleh bercampur dengan Islam (politik suku agama
suku), hukumnya
boleh jatuh kafir. Bagaimana?… Telah menjadi aqidah umat Islam bahawa ajaran
Islam itu lengkap dan
merangkumi semua bidang kehidupan manusia, kerana ia adalah ajaran wahyu
Allah s.w.t. yang sempurna dan
terpelihara daripada sebarang perubahan seperti yang ditegaskan Allah s.w.t.
dalam ayat 3 Surah al-Maidah.
Maka sesiapa yang tidak berpegang dengan penegasan Allah s.w.t. ini, dengan
mengecualikan bidang politik
(yang termasuk di dalamnya mengenai kepimpinan, pentadbiran, perundangan
dan sebagainya) daripada kawalan
agama (Islam), bermakna dia telah tidak beriman dengan Allah s.w.t. dan
al-Quran (kafir).
Itu sahaja yang diungkitkan dalam perenggan ketiga amanat itu dan tiada
sebarang percanggahan dengan hukum
Islam, bahkan itulah dia hukum Islam. Membuat takwilan jauh seperti yang
dilakukan oleh Dato’ Safei Daud
dalam Mingguan Malaysia 13/8/2000, dengan mengatakan tidak mengapa kalau
dikatakan politik komunis tidak
boleh dicampur dengan agama, adalah satu tindakan untuk melepaskan diri
daripada maksud yang sebenar.
Maksud yang sebenar ialah untuk memberitahu orang UMNO bahawa tidak boleh
kita berkata “agama tak boleh
campur dengan politik”, atau “ orang agama tak boleh masuk politik, cukuplah
jadi lebai, tukang nikah, baca doa
saja” dan macam-macam dakyah sesat dan menyimpang daripada ruh Islam. Siapa
di negara ini yang bercakap
tentang politik komunis? PAS sedang bercakap tentang politik dan pemerintahan
sekarang ini yang wajib
menerima dasar al-Quran dan Sunnah. Menolak peranan al-Quran dan Sunnah
daripada bidang politik negara
bermakna satu aspek hidup telah dikeluarkan daripada kawalan hukum Islam,
sedangkan Islam itu adalah satu
sistem lengkap.
Kesimpulan terakhir, tiada sebarang percanggahan dalam Amanat Haji Hadi
itu dengan hukum Islam yang
bersumberkan al-Quran dan Sunnah seperti yang dibahaskan di atas. Pihak
UMNO yang mendakwa ianya
bercanggah dengan Islam tidak membawa apa-apa hujah daripada al-Quran dan
Sunnah, melainkan dengan
mengaitkannya dengan Majlis Fatwa Kebangsaan. Hakikatnya, hukum Islam itu
tidak bersumberkan sesiapa atau
mana-mana pihak pun selain al-Quran dan Sunnah (hadis yang sahih).
Akhirnya, saya tidak mencari apa-apa kepentingan selain untuk maslahat
umat Islam keseluruhannya tidak kira
yang berada dalam PAS atau UMNO. “…Saya tidak takut… saya tidak kejar undi,
saya tidak kejar
kekayaan, dan ini mungkin satu kebodohan saya sendiri…” (meminjam kata
Prof. Di Raja Ungku Aziz ketika
mengkritik keras ahli politik Melayu yang tidak pun membela nasib Melayu
– MM, 20/8/2000).
“Aku tidak inginkan apa-apa melainkan islah (pembaikan/reformasi) setakat
kemampuanku, kepada-Nya
aku bertawakkal dan kepada-Nya aku akan kembali”
(Surah Hud: 88)