Sejak tercetusnya peristiwa rompakan senjata
ATM oleh sekumpulan orang yang disebutkan sebagai kumpulan
al-Ma`unah di Sauk, isu mengenai Amanat Haji
Hadi diungkitkan semula dalam akhbar-akhbar perdana seperti
bertih digoreng bunyinya. Isu tersebut menjadi
relevan semula walaupun telah hampir dua puluh tahun berlalu
kerana kononnya akibat amanat itulah maka
kumpulan al-Ma`unah itu ‘bangkit menentang kerajaan untuk mati
syahid’. Menariknya, isu dan peristiwa itu
muncul berderetan selepas perwakilan UMNO mencadangkan supaya
kerajaan mengharamkan nama Islam dalam PAS,
yang dikatakan menjadi sebab utama undi terhadap
UMNO/BN merosot teruk kerana PAS ‘memperalatkan
Islam’ dalam kempen mereka. (Sepatutnya UMNO
mengambil langkah menggunakan juga nama ‘Islam’
itu, umpamanya memperkenalkan parti itu sebagai ‘Parti
Islam UMNO Baru’ supaya pengundi tertarik
dengannya, bukan melarang orang lain memakainya.)
Sebelum pilihanraya yang ke-10 yang lalu, sebenarnya
telah terpapar wacana panjang (hampir satu muka surat
penuh) seorang pangarang akhbar perdana (Abdullah
Hassan dalam Mingguan Malaysia 13/6/99 – Amanat
Haji Hadi bawa padah) tentang amanat itu,
tetapi ia tidak berlarutan kerana asasnya hanyalah semata-mata
hendak mencari punca tuduhan bahawa PAS telah
mengkafirkan UMNO. Walau bagaimanapun, ia menjadi
hangat semula apabila berlakunya tragedi Sauk
oleh kumpulan militan yang bergelar al-Ma`unah, yang mana
dikatakan sebahagian besar anggotanya adalah
ahli PAS yang hendak berjuang menentang kerajaan secara
bersenjata dan bercita-cita mati syahid.
Nah! Inilah bukti kesan Amanat Haji Hadi terhadap
masyarakat yang sejak sekian lama disogok dengan kempen
membenci kerajaan (sebenarnya pihak kerajaan
pun tidak pernah bercuti atau berehat daripada kempen
‘membenci’ pembangkang melalui media perdana
yang dimonopoli mereka, sepatutnya kerajaan marahkan
pembangkang jika pihak kerajaan telah menjalankan
kempen ‘menyayangi’ pembangkang…) kerana dalam
amanat itu terdapat seruan untuk mati syahid.
Sejak tragedi Sauk, maka bersahut-sahutanlah
pembicara politik semasa mengambil bahagian dalam menghukum
amanat yang kontroversi itu, terutamanya orang
surat khabar, terutamanya lagi dua buah surat khabar itu,
lebih-lebih lagi orang seperti Awang Sulung
dan Astora Jabat. Bagi Astora Jabat, ianya amat menguntungkan
profesionalismenya kerana banyak modal untuk
memenuhi ruang mingguannya yang selalu dihiasi ‘dusta agama’.
Sebelum kita membicarakan lebih lanjut tentang
amanat tersebut, eloklah kita rakamkan di sini kandungannya
yang dikatakan sebagai bukti PAS mengkafirkan
UMNO, terjadinya solat dua imam dan paling kritikal tragedi
Sauk.
Amanat itu berbunyi, “SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN,
PERCAYALAH, KITA MENENTANG UMNO
BUKAN KERANA NAMA DIA UMNO. KITA MENENTANG
BARISAN NASIONAL, BUKAN
KERANA NAMA DIA BARISAN NASIONAL. KITA
MENENTANG DIA KERANA DIA
MENGEKALKAN PERLEMBAGAAN PENJAJAH, MENGEKALKAN
PERATURAN KAFIR,
MENGEKALKAN PERATURAN JAHILIYYAH.
OLEH KERANA ITULAH KITA BERJUANG MELAWAN
MEREKA. PERCAYALAH SAUDARA,
PERJUANGAN KITA ADALAH JIHAD, UCAPAN KITA
ADALAH JIHAD, DERMA KITA ADALAH
JIHAD, DAN KERANA KITA BERJUANG DENGAN
PUAK-PUAK INI, KALAU KITA MATI
KERANA BERLAWAN INI, MATI KITA ADALAH MATI
SYAHID, MATI KITA ADALAH MATI
ISLAM.
KITA TIDAK PAYAH MASUK YAHUDI, KITA TIDAK
PAYAH MASUK KRISTIAN, KITA TIDAK
PAYAH MASUK HINDU, KITA TIDAK PAYAH MASUK
BUDHA, TETAPI KITA MENJADI KAFIR
DENGAN MENGATAKAN POLITIK SUKU AGAMA SUKU”.
Inilah dia amanat yang amat kontroversi itu.
Kontroversi kerana UMNO berpendapat ianya bercanggah dengan
Islam, sedangkan PAS berpandangan tiada apa-apa
yang menyalahi Islam dalam amanat itu dengan
menyimpulkan ianya hanyalah sebagai suatu
amanat untuk menerangkan batas-batas antara iman dan kufur.
Namun dakwaan UMNO bahawa amanat itu bercanggah
dengan Islam hanyalah dakwaan yang berbau politik
kepentingan sekular semata-mata, bukan dakwaan
yang ikhlas atas dasar untuk mencegah sesuatu yang
bercanggah dengan Islam (kemungkaran). Ketidak
ikhlasan ini dapat dilihat dengan jelas terhadap sikap UMNO
terhadap kemungkaran dan percanggahan yang
lain, di mana tiada usaha untuk mencegahnya, bahkan
kadang-kadang UMNOlah yang mempertahankannya
atas alasan-alasan yang tidak syar`ie.
Amanat tersebut diucapkan oleh Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang ketika berceramah biasa di sebuah kampung
(Banggol Peradong, yang hanya beberapa minit
perjalanan dari kampung kelahiran saya) di daerah Kuala
Terengganu pada 1981, di mana ketika itu amat
ramai orang (boleh diagak daripada puak mana orang itu…)
mempersendakan Islam seperti berkata “…kalau
nak ikut semua hukum Islam kita tak boleh bergerak!”,
“…kalau hudud dijalankan, ramailah orang kudung
tangan…”, “…kalau hukum rejam diamalkan, kita tak boleh
buat jalan raya kerana kehabisan batu…” dan
pelbagai ucapan persendaan yang tidak wajar keluar daripada
mulut orang yang mengaku beriman.
Tiba-tiba ucapan biasa dalam ceramah itu dicetak
dan diedarkan ke seluruh negara oleh pihak yang tidak dapat
dipastikan permulaannya, tetapi bukan dengan
arahan pucuk pimpinan atau Haji Hadi sendiri. Oleh kerana ianya
tidak dianggap bersalahan dengan Islam, maka
PAS pun tidak melarang ianya diedarkan. Sama ada setuju atau
tidak, hakikatnya Haji Hadi adalah antara
ulama di Malaysia yang dipakai cakapnya dalam hukum agama.
Hasilnya, sejak sepuluh tahun yang terakhir
ini orang-orang yang dahulunya amat celupar mempersendakan
hukum-hukum Islam, kini tidak berani lagi.
Berbalik kita kepada sebab yang menjadikan
amanat itu sebagai kontroversi, iaitu persoalan apakah ianya
bercanggah dengan Islam. Sebagai muslim dan
mukmin, kita tidak boleh meletakkan hukum salah atau tidak pada
pandangan Islam berdasarkan cakap si polan
bin si polan walau setinggi mana pun kedudukannya sama ada
dalam PAS atau dalam UMNO. Sebaliknya cakap
seseorang itu diterima sebagai hukum Islam apabila ada
rujukan kepada al-Quran dan hadis sahih. Inilah
adalah perkara yang wajib disepakati oleh orang yang mengaku
sebagai muslim kerana ini arahan Allah s.w.t.
(al-Nisa’: 59, 65 dll.)
Atas semangat sebagai seorang Islam, saya menyelidiki
amanat itu tanpa cenderung kepada mana-mana pihak
sama ada PAS atau UMNO (dulu saya menyokong
UMNO atas beberapa sebab, sekarang sokong PAS atas
banyak sebab, tetapi tidak pernah menganggotai
mana-mana parti itu). Kecenderungan saya hanyalah kepada
kehendak al-Quran dan hadis yang sahih berdasarkan
bekalan ilmu yang saya pelajari secara serius bermula di
al-Azhar.
Apa yang saya fahami daripada hujah UMNO yang
mengatakan amanat itu bercanggah dengan Islam ialah
tentang ‘syahid jika mati kerana melawan puak-puak
ini’ (UMNO/BN). Itulah perkara yang paling sensitif di sisi
UMNO, kerana mereka faham hanya kematian yang
disebabkan oleh perlawanan dengan orang kafir sahaja yang
boleh diklasifikasikan sebagai mati syahid.
Dengan itu mereka membuat konklusi bahawa orang PAS telah
mengkafirkan orang UMNO.
Sebelum kita bahaskan tentang sebab-sebab syahadah
(mati syahid), apakah ianya hanya kematian yang
bersebabkan jihad bersenjata melawan kafir
harbi (kafir yang harus diperangi) atau ada sebab-sebab lain yang
boleh membawa syahadah, eloklah kita bahaskan
dari perspektif Islam setiap satu daripada perenggan amanat
itu.
Perenggan yang pertama:
Menerangkan sebab PAS berjuang secara demokrasi
(bukan secara kekerasan atau bersenjata) melawan
UMNO/BN, bukan kerana namanya UMNO atau Barisan
Nasional, tetapi kerana parti perikatan yang sedang
memerintah Malaysia itu mengekalkan (melalui
kuasa majoriti lebih dua pertiganya) perlembagaan warisan
penjajah, peraturan kafir atau jahiliyyah.
Apakah benar UMNO/BN mengekalkan peraturan
penjajah, kafir atau jahiliyyah ke atas
negara majoriti umat Islam Malaysia ini?
Berdasarkan aqidah Islam, iman itu bermakna
kepercayaan dengan penuh yakin, pengucapan dengan lidah dan
pengamalan dengan anggota terhadap segala
yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan hadis yang
sabit daripada baginda (makna sebuah hadis
riwayat al-Bukhari). Antara rukun iman yang wajib dipegang ialah
keyakinan terhadap al-Quran sebagai kitab
wahyu yang terpelihara daripada perubahan (Surah al-Hijr: 9). Ianya
adalah natijah kepada iman kepada Allah s.w.t.
(rukun iman yang pertama) yang menurunkan al-Quran itu.
Ertinya, sesiapa yang mengaku beriman dengan
Allah s.w.t., wajiblah beriman dengan al-Quran secara
keseluruhannya. Jika tidak, ia dikira kafir
kerana tidak beriman dengan apa yang Allah s.w.t. suruh imankan,
antaranya kitab suci al-Quran. Tidak percaya
atau ragu-ragu terhadap sebahagian kecil daripada kandungan
al-Quran pun dikira kafir, kerana Allah menyuruh
kita beriman dengan al-Quran secara total dan keseluruhannya
tanpa sedikit keraguan (Surah al-Baqarah:
2).
Berdasarkan pegangan aqidah di atas, sama ada
kita suka atau tidak, kita wajib percaya dengan yakin dalam hati,
ucapkan keyakinan itu dengan lidah dan amalkan
segala yang Allah s.w.t. titahkan dalam al-Quran itu daripada
perkara aqidahnya, syariatnya dan akhlaknya.
Syariat (perundangan Islam) itu pula amat luas, daripada hal
ibadatnya (fardhu `ain), munakahat (nikah
kahwin/kekeluargaan), muamalat (perekonomian), jinayat
(perundangan jenayah), qadha’ (kehakiman),
siasah (politik/pentadbiran), siyar (hubungan
Islam-kafir/antarabangsa) dan sebagainya lagi,
yang semuanya itu dihuraikan oleh ulama Islam dalam kitab-kitab
Fiqah (yang lengkap) dalam semua mazhab aliran
Sunnah atau Syiah.
Peraturan penjajah/kafir/jahiliyyah yang mana UMNO/BN kekalkan?
Untuk menjawab soalan ini, kita perlu jelaskan
bahawa sejak Islam bertapak di Tanah Melayu bermula dengan
tarikh yang tercatat di atas Batu Bersurat
Terengganu (702H/1303M) dan kemunculan Kerajaan Melayu-Islam
Melaka di awal abad ke-15 Masihi, bahawa hukum
Islam telah diamalkan oleh orang Melayu-Islam secara adat
(tidak dikodifikasikan – cuba ingat kisah
hukum sebat penzina, walaupun tidak menepati cara Islam, dalam filem
Semerah Padi lakonan P. Ramlee) dan kadang-kadang
secara bertulis di sesetengah tempat dan zaman (seperti
Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu
1911 yang bergelar Itqan al-Muluk bi-Ta`dil al-Suluk) –lihat
Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, Gerakan Anti
Penjajahan Di Malaysia 1511-1950, Penerbitan Kintan Sdn
Bhd, 1994.
Sesiapa yang mengkaji sejarah Kesultanan Acheh,
Melaka, Riau-Lingga, Patani dan Terengganu sebelum campur
tangan penjajah akan mendapat bukti bahawa
kerajaan-kerajaan tersebut telah menjadi al-Quran dan Sunnah
sebagai sumber perundangan mereka secara tidak
bertulis sebagai akta atau enakmen. Di zaman itu juga mereka
memberikan wala’ (kesetiaan) mereka kepada
kerajaan Islam terbesar ketika itu iaitu Khilafah `Uthmaniyyah di
Turki, sehinggakan tersebut dalam sejarah
Riau bahawa Raja Ali Kelana (atau Raja Ali bin Raja Muhammad
Yusuf) telah dihantar ke Turkey pada 1899M
untuk meminta pertolongan khalifah memerangi Belanda, yang telah
menjatuhkan takhtanya kerana sikapnya yang
anti-Belanda. Malangnya misi Raja Ali itu gagal (kerana
`Uthmaniyyah Turkey ketika itu telah menghadapi
zaman kemerosotannya sehingga dihancurkan secara rasmi oleh
rejim Kamal Atartuk pada Mac 1924), lalu Raja
Ali lari ke Johor dan dilantik oleh Sultan Johor sebagai Syeikhul
Islam sehingga beliau mati pada 1927. (Lihat
Abu Hasan Sham, Karya-karya Yang Berunsur Agama Dari
Pengarang Melayu-Riau Sehingga Awal Abad Ke-20,
Dewan Sastera, Dis. 1983, m.s: 23 dan Ibrahim Abu
Bakar, Islamic Modernism in Malaya: The Life
and thought of Sayid Syekh Al-Hadi 1867-1934, Univ. of
Malaya Press, K. Lumpur, 1994, m.s: 53.)
Sebaliknya, dengan kedatangan penjajah (terutamanya
Inggeris dalam konteks Tanah Melayu), melalui kuasa
campur tangan Residen British, sultan (ketua
umat Islam di setiap negeri) hanya diberikan hak untuk mentadbir
adat istiadat Melayu dan ‘agama Islam’ sahaja.
‘Agama Islam’ pada pemahaman orang Inggeris penjajah, sejak
bermula sekularisme di Eropah, ialah seperti
agama Kristian yang hanya berperanan dalam kehidupan peribadi
seseorang dan tidak lebih daripada itu. Jadi
yang dimaksudkan dengan ‘agama Islam’ dalam bidang kuasa yang
diberikan kepada sultan hanyalah perkara yang
berkaitan aqidah, ibadah dan munakahat (fardhu `ain dan
kekeluargaan) sahaja. Maka benarlah apa yang
disebutkan bahawa tujuan pertama dan utama Inggeris
menguasai satu demi satu negeri-negeri Tanah
Melayu ialah seperti yang dinyatakan oleh Eunice Thio dalam
bukunya British Policy in The Malay Peninsula
1880-1910, Univ. of Malaya Press, Singapore, 1969, m.s: xvii
dan Ibrahim Abu Bakar dalam bukunya Islamic
Modernism in Malaya, Penerbitan Univ. Malaya, K. Lumpur,
1994, m.s: 7:
“The main duties of the Residents, as laid
down for them by the Governor with the approval of the Colonial
Office, were: to maintain law and order, initiate
a sound system of taxation, supervise the collection of
revenue and encourage economic development.”
Dengan tugas Residen Inggeris yang utama itu,
maka segala undang-undang termasuk undang-undang Islam
(selain ibadat dan munakahat) yang telah diamalkan
oleh orang Melayu-Islam telah diselenggara dan diubah oleh
mereka mengikut selera Inggeris.
Dengan terjajahnya negeri Melayu yang terakhir
(Terengganu) pada 1919M dan berlakunya campur tangan
Inggeris dalam segala bidang kehidupan orang
Melayu-Islam (selain ibadat dan munakahat) di seluruh Tanah
Melayu, maka berubahlah bentuk pengamalan
Islam daripada praktikal dalam semua bidang kepada praktikal
dalam dua bidang itu sahaja. Sehingga British
memberikan ‘kemerdekaan’ kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos
1957, Islam ibadat dan munakahat itulah sahaja
yang difahami oleh kebanyakan orang Melayu-Islam, termasuk
yang mewarisi pemerintahan negara pasca-kolonialisme
hingga hari ini. Ini bermakna, British hanya membenarkan
orang Melayu-Islam mempraktikkan Islam setakat
peribadi (ibadat fardhu `ain) dan keluarga (munakahat)
sahaja. Mereka tidak membenarkan Islam diamalkan
dalam lebih luas daripada itu seperti dalam politik
pentadbiran dan kenegaraan, perekonomian,
kehakiman dan lain-lain bidang kehidupan.
Malahan perlu disebut bahawa semacam ada komplot
antara British-Zionis dalam dasar penjajahan Inggeris
terhadap tanah jajahannya. Adalah diketahui
bahawa antara protokol Zionis ialah menguasai tanah, pemerintahan,
ekonomi dan pendidikan goyim, iaitu bangsa
bukan Yahudi (Lihat Victor E. Marsden, The Protocols of the
Meetings of the Learned Elders of Zion, 1934,
(Protokol-protokol Mesyuarat Para Pemimpin Ilmuan Zionis),
terj. Ummu Muhammad, Thinkers Library, 1999).
Teori komplot ini dibuktikan lagi oleh penyerahan negara
Palestin (yang asalnya diperintah oleh Arab-Islam
sebelum penjajahan) oleh British kepada Israel-Zionis pada
1948.
Bahkan amat penting untuk disebut –sebagai
bukti teori komplot ini- bahawa Sultan Abu Bakar (memerintah
1885-1895) yang diberi gelaran ‘Bapa Johor
Moden’ oleh British itu, disekolahkan di sekolah missionary
Kristian yang bernama Keasberry School di
Bukit Zion, Singapura (kenapa tempat itu diberi nama Bukit Zion?
Dan Keasberry itu ialah nama gurunya yang
merupakan seorang preacher) – Lihat R. O. Winsted, A History of
Johore 1365-1895, Kuala Lumpur, 1979, m.s:
120 dan Ibrahim Abu Bakar, Islamic Modernism in Malaya,
m.s: 65.
Kennedy Gordon Tregonning dalam bukunya A History
of Modern Malaya , Eastern Univ. Press, S`pore, 1964,
m.s: 185 dan L. Richmond Wheeler dalam bukunya
The Modern Malay , George Allen & Unwin Ltd., London,
1928, m.s: 39 menyebutkan bahawa pada tahun
1921 bilangan penduduk Yahudi di Tanah Melayu ialah seramai
703 orang. (Ibrahim Abu Bakar, Islamic Modernism
in Malaya, m.s: 19)
Namun di sini kita tidak berniat untuk memaparkan
semula sejarah secara keseluruhannya. Baca dan kajilah
semula fakta sejarah yang tidak boleh didustakan
itu, bagi sesiapa yang ingin mendengar dan melihat kebenaran.
Maka pada tahun 1957 itu British telah meninggalkan
undang-undang, peraturan dan perlembagaan Malaysia
menurut acuan mereka. Antaranya ada yang tidak
bercanggah dengan Islam (terutama undang-undang atau
hukuman terhadap kesalahan yang tidak disebutkan
dalam al-Quran dan hadis sahih, pentadbiran kewangan,
kebebasan asasi, kewarganegaraan), tetapi
banyak juga yang bercanggah dengan Islam. Antara yang bercanggah
dengan Islam ialah:
1. Perlembagaan negara terletak
di atas sekali sehingga mana-mana undang-undang negeri (termasuk dari
al-Quran, seperti Kanun
Jenayah Syariah II Kelantan) yang didapati bercanggah dengannya dikira
terbatal
dengan sendiri dan tidak
boleh dipakai (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 75) dan kuasa pengampunan
terhadap apa-apa hukuman
diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk Persekutuan dan Sultan untuk
negeri (Perlembagaan Persekutuan,
Perkara 42).
2. Akta ISA (akta untuk menahan
seseorang tanpa diberi hak membela diri) sedangkan Islam tidak
membenarkan sesiapa pun
ditahan tanpa bicara kerana setiap kesalahan sudah ada undang-undang dan
hukuman untuknya. Ini adalah
satu bentuk kezaliman dan Islam mengharamkan kezaliman dalam apa bentuk
sekali pun.
3. Akta Keterangan yang mengizinkan
sesiapa sahaja menjadi saksi walaupun seorang yang fasiq atau kafir ke
atas tertuduh yang beragama
Islam. Sedangkan ini jelas bertentangan dengan syarat saksi yang dikehendaki
oleh al-Quran dan hadis.
4. Tiada syarat seorang hakim seperti
yang dikehendaki oleh Islam. Berdasarkan peraturan penjajah ini sesiapa
sahaja boleh menjadi hakim
bila ada sijil, kewarganegaraan, pengalaman 10 tahun dan dilantik
(Perlembagaan Persekutuan,
Perkara 122B dan 123). Maka ini termasuklah hakim yang tertohmah dengan
tuduhan rasuah atau hakim
yang ada hubungan dengan salah satu pihak yang dihakimi.
5. Undang-undang dan hukuman jenayah
yang telah disebutkan dalam al-Quran dan hadis (hudud, qisas dan
diat) tidak dipakai, sebaliknya
undang-undang warisan penjajah ditegakkan, seperti dalam jenayah bunuh,
mencedera, curi, rompak
dan seumpamanya.
6. Kesalahan-kesalahan yang
dikira jenayah oleh al-Quran atau hadis sahih serta ada hukuman Islamnya
(hudud), tidak dikira jenayah
oleh peraturan penjajah seperti jenayah zina, tuduhan zina tanpa saksi,
minum
arak, murtad dan sebagainya.
(Enakmen Jenayah Syariah di peringkat negeri setakat ini tiada satu pun
yang
menepati kehendak Islam
walaupun diberi nama ‘syariah’, kecuali satu percubaan oleh kerajaan PAS
Kelantan yang ditolak (dihalang?)
oleh Kerajaan Pusat melalui surat rasmi bertarikh 15hb. Julai 1994)
Sebenarnya jika hendak dikumpulkan banyak lagi
bukti pertentangan yang wujud antara undang-undang penjajah
yang diwarisi oleh kerajaan UMNO/BN dan undang-undang
Islam yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah.
Jadi benar atau tidak kerajaan UMNO/BN mempertahan
dan mengekalkan peraturan penjajah/kafir/jahiliyyah
sejak kemerdekaan sehingga sekarang dan tiada
tanda-tanda hendak menerima undang-undang al-Quran dan
Sunnah secara keseluruhannya? Jawabnya benar!
Maka benarlah maksud perenggan pertama daripada Amanat
Haji Hadi itu.
Sebelum kita berpindah kepada perbahasan terhadap
perenggan kedua daripada Amanat Haji Hadi itu, kita ingin
tahu apa hukumnya jika memakai sebahagian
hukum Islam (khususnya dalam ibadat dan munakahat serta
sebahagian muamalat) dan menolak sebahagian
besar yang lain (sebahagian muamalat yang lain, siasah, qadha’,
jinayat, siyar dll) lalu memakai undang-undang
penjajah/kafir/jahiliyyah itu?.
Kita telah jelaskan pegangan aqidah di atas
tadi bahawa al-Quran itu wajib diimani keseluruhannya, mengingkari
sebahagian bererti ingkar kepada seluruh rukun
iman, dan balasannya ialah seperti yang tersebut dalam ayat 85
Surah al-Baqarah:
“Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab
dan kufur dengan sebahagian yang lain? Maka tiadalah lagi
balasan bagi orang yang melakukan perbuatan
demikian di kalangan kamu melainkan kehinaan di dunia dan pada
hari Kiamat akan dicampakkan ke dalam azab
yang paling sengsara…”
Apakah tujuan al-Quran diturunkan oleh Allah?
Adakah sekadar untuk dihafaz, dilagu, dipertanding dan dibuat
hiasan dinding? Jawapannya ialah seperti yang
dinyatakan oleh ayat 105 Surah al-Nisa’:
“Sesungguhnya Kami (Allah) turunkan kepadamu
(Muhammad) kitab al-Quran itu dengan kebenaran supaya
kamu berhukum di antara manusia mengikut apa
yang Allah tunjukkan kepadamu dan janganlah engkau jadi
pembela orang-orang yang khianat.”
Allah s.w.t. juga memberi amaran keras kepada
Ahlul Kitab (kaum Yahudi dan Kristian) dengan hukum kafir,
zalim dan fasiq jika mereka tidak berhukum
dengan apa yang Allah s.w.t. turunkan, seperti tersebut dalam ayat
44-47 Surah al-Maidah:
“Sesungguhnya Kami telah turunkan kitab Taurat,
yang mengandungi petunjuk dan cahaya, dengan kitab
itu para nabi menyerah diri (Islam) lalu berhukum
dengannya ke atas orang Yahudi, demikian juga ulama
dan pendita mereka (berhukum dengan hukum
Allah), kerana mereka diamanahkan memelihara dan
menjalankan hukum daripada kitab Allah, dan
mereka juga menjadi saksi atas amanah itu. Oleh itu
janganlah kamu (zahirnya, ganti nama ini untuk
umat Islam yang baca Al-Quran) takutkan manusia, takuitlah
padaKu dan janganlah kamu perniagakan ayat-ayatKu
dengan harga yang sedikit, dan sesiapa (umum,
termasuk umat Islam) yang tidak berhukum dengan
apa yang Allah turunkan maka mereka itulah
orang-orang yang kafir (44) Dan Kami telah
telah tetapkan bagi mereka dalam kitab Taurat itu bahawa
jiwa dibalas dengan jiwa, mata dengan mata,
hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan
gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (dengan
seimbang), tetapi sesiapa yang melepaskan hak
membalasnya, maka itu adalah penebus dosa
baginya dan sesiapa (umum, termasuk umat Islam) yang tidak
berhukum dengan apa yang Allah turunkan maka
mereka itulah orang-orang yang zalim (45) Dan Kami
utuskan Nabi Isa bin Maryam mengikuti jejak
langkah mereka (nabi-nabi Bani Israel) untuk membenarkan
kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya dan
Kami telah berikan kepadanya kitab Injil, yang mengandungi
petunjuk dan cahaya dan mengesahkan kitab
yang sebelumnya, iaitu kitab Taurat, serta menjadi petunjuk
dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang
bertakwa (46) Dan hendaklah Ahli Kitab Injil berhukum
dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah
di dalamnya, dan sesiapa (umum, termasuk umat Islam) yang
tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan
maka mereka itulah orang-orang yang fasiq (47)”
Ayat 44-47 daripada Surah al-Maidah ini, walaupun
asalnya diturunkan untuk mewajibkan Ahlul Kitab berhukum
dengan hukum Allah, namun ianya tidaklah bermakna
umat Islam tidak termasuk dalam kewajipan itu, kerana
ancaman tidak melaksanakan perintah wajib
ini (kafir/zalim/fasiq) adalah secara umum (wa man…/ dan
sesiapa...). Mendakwa ayat tersebut adalah
semata-mata untuk Ahlul Kitab dan tiada kena mengena dengan
orang Islam adalah satu dakwaan jahat daripada
ulama jahat kerana ia membawa fitnah seolah-olah Allah s.w.t.
tidak adil kerana menyalahkan orang Yahudi
dan Kristian yang tidak berhukum dengan hukumnya, tetapi apabila
kesalahan yang sama dilakukan oleh orang Islam,
tiba-tiba Allah s.w.t. tidak salahkan. Ia juga seolah-olah
menganggap kitab al-Quran itu hanyalah berperanan
sebagai buku sejarah semata-mata atau buku cerita lagenda
atau mitos yang mana pembacanya tidaklah wajib
mengamalkannya.
Jadi kesimpulannya, tidak mengamalkan keseluruhan
atau sebahagian al-Quran yang merupakan wahyu Allah
s.w.t. dan menggantikan tempatnya dengan hukum
atau undang-undang yang lain adalah dikira tidak berhukum
dengan hukum Allah s.w.t.
Ketika mentafsirkan ayat 50 Surah al-Maidah
(“ Maka sesudah itu, apakah hukum Jahiliyyah yang mereka
cari…”) dalam kitab Tafsir al-Quran al-`Azim,
al-Imam Ibn Kathir menyebutkan bahawa pentadbiran Jenkhiz
Khan (panglima Moghul yang masuk Islam bersama
tenteranya selepas menawan Baghdad pada 656H/1258M)
telah menggubal undang-undang campuran daripada
agama Yahudi, Kristian, Islam dan lain-lain lalu dinamakan
rang undang-undang itu sebagai al-Yasaq untuk
digunakan ke atas umat Islam, beliau (Ibn Kathir) berkata
bahawa “itu adalah kekufuran yang nyata yang
wajib diperangi (dilawan) oleh umat Islam sehingga
kerajaan itu kembali kepada hukum Allah s.w.t.
dan Rasul-Nya dan tidak mengamalkan selainnya sama ada
banyak atau sedikit.”
Oleh kerana itulah PAS mengatakan mereka melawan
UMNO/BN kerana UMNO/BN mengekalkan serta
mengamalkan peraturan penjajah/kafir/jahiliyyah,
bukan kerana namanya UMNO/BN.
Perenggan yang kedua dalam Amanat Haji Hadi:
Menerangkan bahawa sekiranya ditakdirkan berlaku
kematian ketika melawan UMNO/BN itu, maka mati itu
adalah mati syahid. Inilah titik persoalan
yang amat tidak disenangi UMNO. Dalam masa yang sama mereka
ternampak peluang untuk mereka menuduh PAS
ekstrim dan telah mengkafirkan UMNO, lalu dengan
menggunakan amanat ini mereka bermati-matian
mendakwa orang PAS kata orang UMNO kafir.
Kita ingin bahaskan dari kaca mata Islam (al-Quran
atau hadis), apakah sebab syahadah (mati syahid) itu hanya
tertumpu pada kematian yang disebabkan oleh
perlawanan dengan orang kafir sahaja dan tiada lagi sebab-sebab
lain yang memungkinkan seseorang Islam itu
mati syahid?
Kata-kata Dato’ Safei Daud (Setiausaha Biro
Hal Ehwal Agama Penerangan UMNO Terengganu) bahawa
“…Bagi kita orang Islam, apabila ‘mati syahid’
maka lawannya tentulah orang kafir. Amanat (Haji Hadi) ini
secara terang membawa maksud UMNO kafir kerana
tidak boleh mati syahid seseorang Islam itu jika dia
berlawan sesama Islam. Untuk mati syahid,
kita mesti berlawan dengan orang kafir. Dalam amanat itu,
mahu tidak mahu UMNO mesti dikafirkan baru
boleh mati syahid.” (Mingguan Malaysia, 13/8/2000) adalah
satu kenyataan yang dibuat secara semberono
atas dasar politik kepartian sempit tanpa ilmu dan penyelidikan
tentang sebab-sebab mati syahid dalam Islam.
Bagaimana S/U Biro Agama ini boleh bercakap atas nama Islam
sedangkan tiada satu pun nas al-Quran atau
hadis digunakan untuk menyokong cakapnya. Sekadar hendak
gunakan fikiran dan mulut sendiri, jangan
gunakan nama Islam kerana itu bermakna pendustaan atas nama agama
Allah s.w.t. Islam adalah bersumberkan al-Quran
dan/atau hadis sahih, bukan mulut sendiri. Mulut itu hanya
sekadar alat untuk menyampaikan Islam yang
keluar daripada al-Quran dan/atau hadis sahih.
Mari kita lihat nas-nas sahih tentang sebab-sebab seseorang Islam itu memperoleh mati syahid:
1. Daripada Abu Hurayrah r.a. Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya: “ Syuhada’ (orang-orang yang mati
syahid) itu ada lima jenis;
mati kerana taun, kerana sakit dalam perut (seperti barah), kerana lemas,
kerana tersepit/tertindih
(termasuk kemalangan jalan raya) dan mati kerana berjihad di jalan Allah
(melawan orang kafir)” –Riwayat
al-Bukhari dan Muslim.
2. Daripada Abu Hurayrah r.a. juga,
Rasululah s.a.w. menyoal Sahabat, maksudnya: “Siapakah yang kamu
kira syuhada’ di kalangan
kamu? Jawab Sahabat: Orang-orang yang mati di jalan Allah (kerana
memerangi kafir). Kata Nabi
s.a.w.: Kalau begitu, syuhada umatku sedikit sahajalah. Sahabat bertanya:
Jadi siapa itu syuhada’
wahai Rasulullah? Jawab Nabi s.a.w.: Sesiapa (orang Islam) yang mati di
jalan
Allah (kerana berperang)
adalah syahid, sesiapa yang mati di jalan Allah (kerana selain berperang
seperti
jatuh kuda) adalah syahid,
sesiapa mati kerana penyakit taun adalah syahid, sesiapa mati kerana sakit
dalam perut adalah syahid
dan orang yang mati lemas pun adalah syahid.” –Riwayat Muslim.
3. Daripada `Abdullah bin `Amr
bin al-`As r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang
terbunuh kerana mempertahankan
hartanya adalah mati syahid.” –Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
4. Daripada Sa`id bin Zayd bin
`Amr bin Nufayl r.a. (salah seorang Sahabat yang dijamin syurga), Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya adalah syahid,
sesiapa yang mati kerana
mempertahankan darah/nyawanya adalah syahid, sesiapa yang mati kerana
mempertahankan agamanya
adalah syahid, sesiapa yang mati kerana mempertahankan keluarga (orang
di bawah jagaannya, atas
dasar kebenaran) adalah syahid.” –Riwayat Abu Dawud dan al-Turmuzi: Hadis
Hasan Sahih.
Berdasarkan hadis-hadis sahih di atas dan lain-lain
lagi jika dikumpulkan, adalah jelas sebab syahadah itu bukan
sahaja terhad kepada kematian yang disebabkan
berperang melawan orang kafir, bahkan banyak lagi
sebab-sebab lain untuk mendapat syahadah seperti
mati akibat beberapa jenis penyakit yang bahaya dan sukar
dipulihkan, mati kemalangan, mati mempertahankan
maruah, harta dan nyawa sendiri dan juga mati ketika bekerja
mempertahankan tuntutan agama Islam seperti
berkempen untuk memenangkan parti Islam dalam pilihan raya.
Jadi jelaslah di sini bahawa mengatakan PAS
mengkafirkan UMNO kerana Amanat Haji Hadi itu berdasarkan
tafsiran yang jahil dan salah terhadap sebab-sebab
syahadah adalah satu konklusi yang tertolak dari segi ‘aqli
(logik) dan naqli (syarak). Setelah jelas
kedudukan isu amanat ini, tidak perlu lagi mana-mana pihak
mempolemikkannya. Sekiranya UMNO masih mendakwa
PAS mengkafirkannya, itu bermakna UMNO telah
kehabisan modal untuk memburukkan PAS, dan
bermakna UMNO amat berharap jika ada orang kata dia kafir.
Jadi jelaslah tiada percanggahan hukum dalam
amanat yang mengatakan jika orang PAS mati ketika melawan
UMNO/BN untuk tegakkan Islam, maka matinya
itu adalah syahid, tetapi ia tidak secara terus membawa maksud
bahawa orang UMNO (secara si anu bin si anu)
kafir. Namun timbul persoalan, jika PAS tidak kata orang
UMNO kafir, kenapa ada sembahyang dua imam
dan tidak hadir kenduri orang UMNO seperti di Besut,
Terengganu? Bukankah itu bermakna orang PAS
kata orang UMNO kafir?
Sebenarnya sebab terjadi solat dua imam, tidak
bersembahyang di masjid yang diimami ahli UMNO, tak hadir
kenduri dan sebagainya itu tidak boleh dijadikan
bukti PAS telah mengkafirkan UMNO. Banyak faktor lain yang
menyebabkan masalah-masalah tersebut terjadi
terutamanya di Besut seperti dendam dan ketidakpuasan hati
sejak imam ahli PAS dipecat. Kajian yang melibatkan
faktor sosio-budaya dan cara hidup masyarakat Besut juga
mesti diberi perhatian. Sebagai orang Terengganu
dan bergaul dengan ramai anak-anak Besut semasa bersekolah,
saya kenali mereka sebagai kumpulan masyarakat
yang dipengaruhi oleh budaya ‘oghe barat’ (pada mereka,
maknanya orang Siam atau Kelantan) yang terkenal
dengan ‘gedebe’ (keras kepala, suka melawan dan kuat
berpegang kepada sesuatu yang mereka terima),
walaupun tidak semua mereka begitu. Bagi mereka yang telah
menerima bahawa perjuangan PASlah yang benar,
maka memang mereka ‘gedebe’ bila ada pihak lain yang
mencabar. Pada saya, faktor ‘gedebe’ itu sahaja
yang menyebabkan mereka terus tidak ingin menjadi makmum
kepada ahli UMNO, tidak hadir kenduri dan
sebagainya. Bukannya mereka berkata si anu bin si anu yang
menjadi ahli UMNO itu kafir, kerana jika betul
mereka berpegang begitu, sudah pasti mereka akan meminta
bekas ahli-ahli UMNO yang masuk PAS itu mengucap
dua kalimah syahadah dahulu sebelum mereka terima
sebagai rakan seperjuangan mereka.
Selain faktor ‘gedebe’, kemungkinan ada faktor
tidak selesa berimamkan orang yang mereka tidak restui. Dan ini
ada sandarannya dalam Islam, iaitu berdasarkan
hukum Fiqh Islam, adalah makruh berimamkan orang yang tidak
disukai. Imam al-Turmuzi meriwayatkan daripada
Ibn `Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
“Tiga golongan akan berada di atas bukit haruman
kasturi pada hari Kiamat; seorang hamba yang
menunaikan hak Allah dan hak tuannya, seseorang
yang mengimami solat dalam keadaan jemaah redha
akannya dan seseorang yang melaungkan azan
untuk solat lima waktu.” (Hadis Hasan)
Ketika memberi komentar terhadap hadis-hadis
dalam bab ‘Keimaman si fasiq’, Imam al-Syawkani menyatakan
dalam kitabnya Nayl al-Awtor, cetakan Maktabah
Dar al-Turath, Kaherah, t.t., m.s: 164,
“…yang dipersilisihkan (oleh ulama) ialah tentang
ke’sah’an berjemaah di belakang imam yang fasiq, ada pun
tentang makruh hukumnya, maka tiada perselisihan
(khilaf) lagi…”
Apakah hukum orang yang bersetuju dengan pengekalan
undang-undang penjajah/kafir/jahiliyyah kalau tidak
paling kurang pun ianya fasiq? Jadi orang
PAS menganggap imam ahli UMNO yang bersetuju dengan dasar
UMNO/BN adalah fasiq, maka mereka tidak restui
untuk berimamkannya kerana hukumnya makruh dan
mengurangkan pahala jemaah mereka.
Cuma cara mereka tidak mahu berimamkan ahli
UMNO itu tidak tepat apabila mereka adakan solat dua imam
serentak. Sepatutnya mereka bersolat pada
waktu yang berasingan ataupun pergi ke masjid yang berlainan.
Tetapi demi untuk menjaga perpaduan, bersolat
bersama dengan imam semasa yang dilantik oleh pihak berkuasa
itu adalah lebih baik kerana kadang-kadang
imam yang menyokong UMNO/BN itu pun masih jahil hukum Islam
(soalnya, apakah orang yang jahil layak menjadi
imam?). Lagi pun, melakukan perkara yang makruh (berimamkan
orang yang tidak disukai) adalah lebih baik
daripada melakukan perkara yang boleh membawa kepada haram
(perpecahan berpanjangan dengan solat dua
imam serentak).
Jadi kesimpulannya, solat dua imam itu tidak
boleh dijadikan dalil bahawa orang Pas menghukumkan orang
UMNO sebagai kafir kerana ada faktor-faktor
lain yang tidak boleh diabaikan daripada perkiraan seperti yang
dihuraikan di atas.
Perenggan ketiga Amanat Haji Hadi:
Menerangkan batas-batas antara iman dan kufur
iaitu sesiapa daripada orang Islam yang
mengatakan politik tidak boleh bercampur dengan
Islam (politik suku agama suku), hukumnya
boleh jatuh kafir. Bagaimana?… Telah menjadi
aqidah umat Islam bahawa ajaran Islam itu lengkap dan
merangkumi semua bidang kehidupan manusia,
kerana ia adalah ajaran wahyu Allah s.w.t. yang sempurna dan
terpelihara daripada sebarang perubahan seperti
yang ditegaskan Allah s.w.t. dalam ayat 3 Surah al-Maidah.
Maka sesiapa yang tidak berpegang dengan penegasan
Allah s.w.t. ini, dengan mengecualikan bidang politik
(yang termasuk di dalamnya mengenai kepimpinan,
pentadbiran, perundangan dan sebagainya) daripada kawalan
agama (Islam), bermakna dia telah tidak beriman
dengan Allah s.w.t. dan al-Quran (kafir).
Itu sahaja yang diungkitkan dalam perenggan
ketiga amanat itu dan tiada sebarang percanggahan dengan hukum
Islam, bahkan itulah dia hukum Islam. Membuat
takwilan jauh seperti yang dilakukan oleh Dato’ Safei Daud
dalam Mingguan Malaysia 13/8/2000, dengan
mengatakan tidak mengapa kalau dikatakan politik komunis tidak
boleh dicampur dengan agama, adalah satu tindakan
untuk melepaskan diri daripada maksud yang sebenar.
Maksud yang sebenar ialah untuk memberitahu
orang UMNO bahawa tidak boleh kita berkata “agama tak boleh
campur dengan politik”, atau “ orang agama
tak boleh masuk politik, cukuplah jadi lebai, tukang nikah, baca doa
saja” dan macam-macam dakyah sesat dan menyimpang
daripada ruh Islam. Siapa di negara ini yang bercakap
tentang politik komunis? PAS sedang bercakap
tentang politik dan pemerintahan sekarang ini yang wajib
menerima dasar al-Quran dan Sunnah. Menolak
peranan al-Quran dan Sunnah daripada bidang politik negara
bermakna satu aspek hidup telah dikeluarkan
daripada kawalan hukum Islam, sedangkan Islam itu adalah satu
sistem lengkap.
Kesimpulan terakhir, tiada sebarang percanggahan
dalam Amanat Haji Hadi itu dengan hukum Islam yang
bersumberkan al-Quran dan Sunnah seperti yang
dibahaskan di atas. Pihak UMNO yang mendakwa ianya
bercanggah dengan Islam tidak membawa apa-apa
hujah daripada al-Quran dan Sunnah, melainkan dengan
mengaitkannya dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Hakikatnya, hukum Islam itu tidak bersumberkan sesiapa atau
mana-mana pihak pun selain al-Quran dan Sunnah
(hadis yang sahih).
Akhirnya, saya tidak mencari apa-apa kepentingan
selain untuk maslahat umat Islam keseluruhannya tidak kira
yang berada dalam PAS atau UMNO. “…Saya tidak
takut… saya tidak kejar undi, saya tidak kejar
kekayaan, dan ini mungkin satu kebodohan saya
sendiri…” (meminjam kata Prof. Di Raja Ungku Aziz ketika
mengkritik keras ahli politik Melayu yang
tidak pun membela nasib Melayu – MM, 20/8/2000).
“Aku tidak inginkan apa-apa melainkan
islah (pembaikan/reformasi) setakat kemampuanku, kepada-Nya
aku bertawakkal dan kepada-Nya aku akan kembali”
(Surah Hud: 88)
alimuda
26/8/2000