Bilik kurungan Anwar didakwa ditukar
wad sakit
‘Ein Azmi
Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur didakwa akan dipindahkan ke sel penjara setelah tempat itu diubah suai kepada wad sakit.
Bekas setiausaha akhbarnya
Khalid Jaafar berkata, beliau dimaklumkan bahawa bilik kurungan Anwar di
Penjara Sungai Buloh itu akan diubah suai setelah lawatan Othman Desa,
setiausaha politik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi.
“(Jika maklumat ini tidak
benar) terpulang kepada pihak mereka (untuk menafikannya),” kata Khalid
kepada malaysiakini, sambil menambah beliau mendapat maklumat ini daripada
“sumber-sumber yang boleh dipercayai.”
Khalid turut mempersoalkan
cadangan perpindahan kembali Anwar ke penjara tersebut kerana tujuh orang
pakar HKL telah mengesahkan keadaannya adalah serius dan memerlukan rawatan
khas.
Sementara itu Khalid, yang
juga seorang pemimpin utama Parti Keadilan Nasional Melaka, berkata beliau
difahamkan bahawa isu rawatan Anwar itu akan turut dibincangkan dalam mesyuarat
kabinet “akan datang.” Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan tarikh mesyuarat
tersebut.
“Saya berharap perkara ini
tidak dipolitikkan. Jangan berikan tekanan kepada hospital atau sesiapapun
kerana Anwar berhak mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
Anwar dimasukkan ke hospital
itu sejak 24 November tahun lalu berikutan kesakitan yang serius di bahagian
belakang.
Malaysiakini minggu lalu
melaporkan peguam Anwar, Sankara Nair telah memohon seorang doktor pakar
dari German, Dr Thomas Hoogland, dibenarkan memeriksa keadaan Anwar bagi
menentukan jenis pembedahan yang paling sesuai. (German surgeon sought
for Anwar, 23 Jan)
Malaysiakini juga difahamkan
bekas pemimpin Umno itu boleh dirawat menggunakan pembedahan-pembedahan
biasa, endoskopik dan mikroskopik.
Sankara ketika dihubungi
hari ini memberitahu, HKL mengarahkan beliau memohon kebenaran daripada
Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“MMC kemudian mengarahkan
Hoogland mendapatkan Sijil Amalan (perubatan) Sementara,” jelas beliau
terhadap prosedur pihak perubatan itu.
“Kami fikir (permohonan
sijil ini) tidak perlu kerana proses itu terlalu birokratik,” tambahnya,
memandangkan tahap kesihatan Anwar semakin serius.
Sumber : Malaysiakini.com