ROYALTI  :  KAMI BERSAMA TOK GURU

Ada Sesuatu Yang Tak Kena
(Something ain't right)

Oleh: Chong Yen Long

Sebaik sahaja disiarkan berita pelancaran pembelian komputer melalui KWSP, ramai di kalangan masyarakat yang merasa lega dan gembira. Mereka bangga bahawa kerajaan sanggup memberi ruang membantu merancakkan lagi program celik komputer di kalangan rakyat. Inilah yang dikatakan satu sasaran mulia untuk merancakkan suasana saingan global.

Namun, seperti kelazimannya terdapat banyak kelemahan dalam program itu yang mengundang bencana. Satu laporan di Sin Chew Jit Poh pada Oktober 31, telah melaporkan betapa ramainya pencarum KWSP yang telah membeli invois daripada pengedar komputer untuk mengeluarkan wang mereka di dalam akaun KWSP itu. Ini mendesak KWSP membuat satu rencana untuk menyekat kegiatan itu dengan menentukan penjualan komputer dilakukan melalui satu agensi pusat yang bersikap 'one-stop-centre'.

Setelah membiarkan perkara itu berlanjutan dengan tujuan mendapatkan bukti sahih mengenainya, tiba-tiba KWSP (EPF) telah melibatkan Pos Malaysia dalam rencana penjualan komputer pula. Sudah tentu ini akan melonjakkan aktibiti Pos Malaysia secara berlipat ganda daripada aktibiti yang sedia ada dan berupa penjualan stem dan aerogram (surat hantaran udara).

Masalahnya, Pos Malaysia bukannya mengeluarkan komputer. Kerana itu, terpaksalah Pos Malaysia membabitkan sebuah syarikat bernama Oda Saja (M) Sdn. Bhd. Memang canggih sekali nama syarikat ini. Kecanggihan itu boleh membeliakkan mata apabila diketahui bahawa Oda Saja tidak pula membikin komputer.

Di sinilah bermulanya satu perasaan yang menggembirakan ataupun sebaliknya di kalangan masyarakat, seperti yang kerap terjadi sekarang ini. Apakah sebenarnya peranan Oda Saja dalam muslihat penjualan komputer?

Nampaknya Oda Saja tidak perlu berperanan langsung selain daripada menambahkan kos kepada barangan yang diniagakan itu dan ditambah pula dengan beberapa masalah lain seperti kelewatan untuk memberikan khidmat lepas jualan kepada si pembeli.

Oda Saja telah menawarkan pembabitan sepuluh vendor, termasuk mereka yang mengeluarkan jenama yang terkenal seperti Acer dan Hewlett Packard. Dalam hal ini tentu para konsumer tercuit untuk mencetuskan beberapa soalan lagi.

Yang pertama sekali ialah harga jualan komputer itu. Si pembeli tidak berpeluang untuk melakukan tawar menawar kerana harga jualan adalah berupa harga tetap. Di Malaysia, syarikat menjual komputer telah memberikan beberapa pekej jualan yang mampu menandingi pihak saingan mereka. Pekej ini termasuklah harga diskaun dan barang sampingan percuma pada waktu tertentu dan juga kemudahan latihan percuma yang tertentu.

Bagaimana pula dengan barangan yang mudah rosak dan 'kaput' sebaik sahaja ditekan punatnya ataupun tetikusnya. Bagaimana pula dengan khidmat selepas jualan ?

Dalam satu transaksi jual-beli yang normal, seorang pembeli berurusan dengan si penjual untuk merundingkan harga jualan yang paling disenanginya tanpa pembabitan orang tengah. Dalam rancangan KWSP ini, si pembeli terpaksa berulang-alik ke Pos Malaysia seandainya muncul masalah kerosakan ataupun khidmat yang lembab. Terpaksalah Pos Malaysia merujukkan perkara ini kepada Oda Saja. Kesannya membabitkan pula para vendor dan jaringan mereka seperti cawangan sebagainya sehinggakan masalah itu terus berkembang.

Ketua Pengarah Oda Saja Major (Bersara) Ismail Ahmad telah ditanyakan mengenai kelewatan dalam khimdat selepas jualan, ketika dia bersemuka dengan wartawan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Dia menjawab bagaimana Pos Malaysia akan menghantar komputer yang bermasalah itu kepada bahagian ataupun cawangan syarikat yang mengendalikan komputer itu mengikut jenamanya (Sila rujuk EPF Computer Scheme; Pos Malaysia Assures Buyers - November 15).

Memang canggih jawapannya itu. Tetapi siapakah yang akan bertanggungjawab kalau saya beli, katakanlah Komputer Acer. Adakah tanggungjawab itu terletak kepada Pos Malaysia, Oda Saja ataupun Acer?
Di sidang akhbar itu Ketua Eksekutif Pos Malaysia Zainol Mahmud ada menyebut betapa para pembeli harus yakin dengan khidmat lepas jualan yang akan dimantapkan. Tetapi, dia tidak pun menyebut apa ertinya khidmat selepas jualan itu. Dia cuma mengatakan bahawa latihan secukupnya akan diberikan kepada posmen untuk memasang dan menggunakan komputer.

Tetapi, kepada orang kampung yang bersahaja, cara memasang komputer hanya merupakan satu permulaan. Bagaimana pula dengan panduan mudah seperti menghidupkan komputer, menggunakan tetikus dan mencuit pelbagai ikon? Apa pula dengan dunia baru yang disebut internet? Seorang wanita bersifat 'Jinjang lady' mungkin sengaja menggatal dan bertanya "Bolehkah saya lihat orang itu di internet"?
Zainol tidak berupaya menyelesaikan kerunsingan mengenai kelewatan yang mungkin dihadapi oleh para konsumer kerana barangan yang akan dijual itu akan bergerak secara terhenti-henti. Sebaliknya dia telah mengeloh dan berkata; "Kenapakah anda kerap mengungkitkan peristiwa barisan manusia yang panjang di Pejabat Pos, sedangkan fenomena seperti itu kerap berlaku di bank dan tidak pernah pun diungkit?"

Jawapan menyindir ini merupakan satu budaya yang diamalkan oleh ahli politik kerana itulah cara mereka berceloteh panjang untuk memperlekehkan rakyat sehingga mampu menjadi pakar dalam ritual semantik dan retorik.

Kalau jawapan ini datangnya daripada mulut seorang Ketua Eksekutif Pos Malaysia, para pembeli yang cuba mendapatkan komputer melalui rancangan KWSP itu memang berhak merasa musykil dengan rancangan tersebut.

Ada satu barisan ayat yang mengiklankan projek terbaru Pejabat Pos dalam brocur jualannya: 'Ada Pejabat Pos.......Ada Komputer.....ODA SAJA!!!!!!!!!. Ayat itu diulang-ulang sebanyak tiga kali.
 

Sebagai bakal peserta rencana ini saya ada beberapa soalan yang bermain di minda.

Pertama: Apa sebenarnya peranan Oda Saja dalam muslihat rangkaian jualan yang sepatutnya merupakan satu proses jualan yang dibuat secara terus itu?
Apakah kos tambahan yang melibatkan pembabitan pihak ketiga dan keempat dalam sesuatu transaksi.

Kalau tujuan sebenar KWSP memperkenalkan sistem ini untuk menghentikan tabiat mengeluarkan wang untuk komputer tetapi dibelanjakan ke tempat lain, KWSP sepatutnya cuba menonjolkan satu rencana baru yang lebih berkesan lagi. Bukannya dengan cara membabitkan pihak luar dan cuba menyerahkan masalah kerenah pelanggan kepada pihak lain.

Saya yakin, KWSP mampu merancang sesuatu yang lebih baik dan berkesan lagi. Buat masa ini rancangan yang ada amat mengelirukan. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam perancangan itu.
 

-Chong Yen Long-