Hantar pegawai audit ke Terengganu: Salleh Abas
Ng Boon Hooi
5:25pm KHA: Kerajaan persekutuan disaran melantik pegawai audit untuk
mengawasi urusan kewangan kerajaan PAS Terengganu dan bukannya
menyekat wang royalti minyak dengan dakwaan ia mungkin disalahgunakan.
"Kerajaan pusat ada kuasa di bawah Perkara 95 Perlembagaan
Persekutuan mentauliahkan pegawainya untuk memeriksa kira-kira
kerajaan," kata Pengerusi Jawatankuasa Hisbah Tun Mohd Salleh
Abas, menolak alasan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri
bulan lalu.
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pernah dilaporkan berkata wang ehsan
disalurkan bagi menggantikan pembayaran royalti untuk mengelak kerajaan
PAS menyalahgunakan wang tersebut.
Mohd Salleh mempertikaikan tuduhan itu dan kesal langkah kerajaan pusat
itu.
"Tetapi kerajaan pusat tidak berbuat demikian (menghantar pegawai audit).
Ia terus menuduh kerajaan negeri menyalahgunakan wang tersebut. Dari itu
amat jelas bahawa tuduhan itu tidak berasas sama sekali," katanya.
Bekas Ketua Hakim Negara itu sebaliknya mendakwa kerajaan negeri Barisan
Nasional sebelum ini gagal mengurus wang dengan baik.
"Wang itu dibelanjakan dengan seboros-borosnya, seolah-olah petroleum
akan berkekalan," katanya, sambil mempertikaikan jumlah RM700 hutang
negeri itu kepada kerajaan pusat walau menerima wang royalti sebanyak RM7
bilion sejak 1978.
Exco yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal hisbah itu seterusnya
mendakwa, sebahagian besar wang itu dibelanjakan oleh kerajaan BN sebelum
ini untuk membina bangunan kerajaan yang besar-besar dan tidak diperlukan,
serta pelaburan dalam syarikat yang bermasalah dan tidak menguntungkan.
Antaranya, Mohd Salleh menyebutkan sejumlah RM670 juta disalurkan untuk
menampung syarikat besi keluli Perwaja yang mengalami kerugian RM3.5
bilion.
Selain itu, kerajaan Terengganu juga menanggung kerugian lebih kurang
RM453.6 juta dalam pelaburan dan bantuan kepada sebuah lagi syarikat
keluli, Gunawan Iron dan Steel, yang kini sudah tidak beroperasi.
"Program semacam inikah yang menjadikan rakyat Terengganu terbela dan
terhenti daripada kemiskinan," kata Mohd Salleh lagi, dalam satu sesi-soal
jawab dengan malaysiakini.
'Saya tidak faham!'
Menurut kajian pakar ekonomi, Terengganu adalah negeri kedua tertinggi
pendapatan per kapita, RM 19,880 selepas Wilayah Persekutuan (RM 25,100).
Tetapi negeri juga menduduki tempat kedua tertinggi dari segi kadar
kemiskinan (17.3 peratus). Tahap kemiskinan ialah penduduk yang mempunyai
pendapatan kurang daripada RM400 sebulan bagi setiap keluarga.
Wakil rakyat Jertih itu juga mempertikaikan kebijaksanaan kerajaan BN ketika
mengendalikan bekalan air di destinasi pelancongan Pulau Redang yang
menaikkan lagi harga kontrak sebanyak RM20 juta kepada RM46 juta.
Jumlah penambahan itu akibat bayaran sagu hati (ex-gratia) sebanyak RM9
juta yang tidak diperlukan dan bayaran akibat perintah mengubah (VO)
sebanyak RM11 juta.
Beliau turut mempertikaikan langkah kerajaan negeri sebelum ini yang
menubuhkan Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAW) pada 1990
yang menerima 15 peratus atau maksimun RM30 juta daripada royalti
petroleum.
"Bagaimana tabung ini dibenarkan oleh undang-undang untuk diniagakan dan
melabur dalam perniagaan yang penuh risiko? Saya tidak faham!" katanya
lagi.
Menurutnya lagi, pada tahun 1997, negeri itu mewujudkan Tabung Pendidikan
yang menggunakan 10 peratus daripada TAW dan wang terkumpul sebanyak
RM10 juta.
Mohd salleh mempertikaikan bagaimana tabung itu digunakan untuk membeli
pesawat terpakai jenis ‘Piper Chyne' dengan harga RM6.9 juta, sedangkan
ia
boleh dibeli dengan harga lebih kurang RM800,000
"Apakah justifikasi membeli pesawat buruk itu?" tanyanya lagi.
Dipetik dari : Malaysiakini.com