Kerajaan Pas Terengganu akan memperkenalkan peraturan yang menghendaki
wanita Islam di negeri
ini mengenakan tudung dan pakaian yang menutup aurat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Bukan Islam negeri, Awang Jusoh
berkata buat
permulaan, peraturan itu akan hanya membabitkan kakitangan kerajaan negeri
serta pekerja di premis
perniagaan di negeri ini.
"Kita (Kerajaan) akan mengadakan pertemuan dengan semua pengusaha dan pemilik
premis
perniagaan di semua daerah mulai esok untuk mendapat kerjasama mereka berhubung
peraturan itu,"
katanya semalam.
Sementara itu di peringkat jabatan kerajaan negeri pula, pihaknya akan
memberikan tazkirah (kuliah)
pada setiap minggu kepada mereka bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan
mereka
mengenakan pakaian yang menutup aurat selaras dengan dasar kerajaan Pas
Terengganu.
Beliau berkata pihaknya juga akan meminta pihak berkenaan supaya menyediakan
tempat
sembahyang dan kelas agama kepada kakitangan mereka yang beragama Islam
bagi meningkatkan
kesedaran agama kepada mereka.
Ketika ditanya apakah peraturan itu akan turut membabitkan pelancong wanita
yang datang ke negeri
ini, Awang berkata ia hanya melibatkan rakyat di Terengganu.
Awang berkata kerajaan negeri akan menubuhkan Badan Induk Wanita negeri
bagi menjaga
kebajikan serta hal ehwal wanita di Terengganu.
"Penubuhan badan ini akan dibentangkan pada mesyuarat exco kerajaan negeri
bulan depan untuk
kelulusan," katanya.
Beliau berkata badan itu akan dipengerusikan oleh Senator Sapinah Jusoh,
manakala jawatankuasanya
diwakili oleh ketua-ketua jabatan dari semua agensi kerajaan negeri yang
menjaga kepentingan wanita.
Jawatankuasa itu juga turut disertai oleh wakil Persatuan Isteri Kakitangan
Kerajaan (Puspanita) dan
Persatuan Isteri Wakil Rakyat (Khairunisa) yang menggantikan Serikandi
yang telah dimansuhkan.
Badan itu akan merangka pelbagai aktiviti ke arah menjaga martabat wanita
serta mengatur program
untuk menjaga kebajikan mereka, katanya.