Tutup aurat: Kerajan PAS bersikap adil
KUALA TERENGGANU, 4 Apr. - Menteri
Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
menegaskan kerajaan negeri tidak bercadang
menggunakan tindakan undang-undang bagi
melaksanakan peraturan penutup aurat di kalangan
pekerja wanita.
Katanya, dalam soal ini, hukum syarak sudah
menetapkan setiap wanita perlu menutup aurat
bagi menjaga kehormatan mereka dan
mengelakkan kejadian buruk yang bakal menimpa
jika mereka memakai pakaian mendedahkan aurat.
Sebaliknya, menurut beliau kerajaan negeri akan
menggunakan kaedah yang lebih adil kepada
semua pihak iaitu menerusi penerangan bagi
menimbulkan kesedaran dan tanggungjawab sosial
di kalangan majikan bagi melindungi pekerja
terlibat.
"Kita tidak akan menggunakan tindakan
undang-undang (untuk menguatkuasakan
peraturan ini. Tindakan undang-undang adalah
jalan penyelesaian yang terakhir," katanya ketika
mengulas mengenai isu mengenai tutup aurat di
kalangan pekerja wanita di negeri itu.
Beliau menambah, bagi memastikan keadilan yang
menjadi teras pemerintahan PAS di negeri ini
kerajaan turut memberi peluang kepada majikan
menyuarakan pandangan mereka mengenai isu
tersebut.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan
memberi perhatian sewajarnya terhadap
pandangan mereka, asalkan ia logik dan dan bukan
sengaja diada-adakan untuk mendapat pelepasan
daripada peraturan yang bakal dilaksanakan itu.
Dalam konteks yang sama, Tuan Guru Abdul Hadi
turut mengingatkan pihak tertentu supaya tidak
menjadikan arahan menutup aurat sebagai isu
politik kerana ia boleh merosakkan akidah mereka.
"Masalah aurat kita kena faham. Masalah ini
bertujuan menjaga orang itu sendiri. Ini hukum
Islam, dan kita jangan main-main dengan hukum
Tuhan. Hukum Tuhan kita tidak boleh jadikan isu,
boleh rosak akidah," ujarnya.
Beliau menegaskan pelaksanaan peraturan
menutup aurat di negeri ini akan dilakukan
bergantung kepada kefahaman dan kesedaran di
kalangan pemilik pasar raya dan premis perniagaan
serta pekerja itu sendiri.
Saranan kerajaan Terengganu agar pekerja wanita
Islam, termasuk mereka yang bekerja di premis
milik bukan Islam supaya menutup aurat selaras
dengan kehendak hukum syarak
digembar-gemburkan oleh pihak tertentu bertujuan
memburukkan kerajaan PAS.
Bagi memastikan tidak timbul salah salah faham
kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa
Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum,
Ustaz Awang Dagang Jusoh ditugaskan mengatur
pertemuan dengan semua pemilik pasar raya dan
premis perniagaan bagi memberi penerangan
mengenai perkara tersebut.
Langkah itu bertujuan memberi penerangan kepada
majikan, terutama bukan Islam mengenai
kewajipan menutup aurat bagi wanita Islam.
Peraturan itu selaras dengan hasrat kerajaan
negeri melaksanakan pentadbiran mengikut ajaran
Islam meliputi semua aspek.
Pertemuan antara beliau dengan pemilik pasar raya
dan premis perniagaan di Kemaman dilakukan pada
penghujung bulan lalu dan jawatankuasa
berkenaan sedang mengatur pertemuan yang sama
dengan tauke-tauke perniagaan di daerah lain bagi
memberi penerangan mengenai perkara itu.
Golongan yang tidak senang dengan usaha murni
ini menyebarkan khabar angin secara meluas,
termasuk dalam kempen pilihan raya kecil di
Sanggang baru-baru ini, bahawa kerajaan PAS
Terengganu akan menutup pasar raya dan kedai
yang tidak memaksa pekerja wanita mereka
memakai tudung.
Mengulas lebih lanjut, Ustaz Awang berkata, dalam
pertemuan antara beliau dengan majikan pasar
raya dan premis perniagaan, pihaknya menjelaskan
hasrat kerajaan untuk meminta mereka
memastikan pekerja wanita Islam menutup aurat.
"Pada masa yang sama kami turut memberi
peluang kepada mereka untuk menyuarakan
pandangan dan mengemukakan sebarang masalah
berhubung cadangan itu.
"Kita akan mengambil kira pandangan itu dan
sama-sama mencari jalan untuk menyelesaikan
masalah yang dihadapi," katanya.
Dalam pertemuan itu juga, katanya, pihaknya
meminta majikan supaya menyediakan tempat
sembahyang dan memberi peluang pekerja mereka
menghadiri kelas fardu ain dan al-Quran.
"Majikan harus sedar jika pekerja mereka mendapat
ilmu agama yang secukupnya, ia akan menghalang
pekerja berkenaan daripada melakukan pelbagai
perbuatan yang boleh menjejaskan perniagaan
mereka," katanya.
Beliau berkata, selepas mendapat maklumat yang
lebih jelas mengenai cadangan itu, pihak majikan
tidak keberatan untuk meminta pekerja wanita
mereka menutup aurat.
"Siri penerangan ini akan diteruskan sehingga pihak
majikan benar-benar faham mengenai kebaikan
pelaksanaan peraturan ini," katanya.
Pemerhati politik berpendapat isu ini tidak akan
memberi kelebihan kepada BN yang tidak mahu
melihat pelaksanaan peraturan menutup aurat di
Terengganu, sebaliknya ia akan menjadi 'senjata
makan tuan' seperti yang berlaku dalam kempen
pilihan raya lalu.