Kenyataan Akhbar Pemuda BA

Pemuda Barisan Alternatif (BA) membantah sekeras-kerasnya langkah Timbalan
Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi mengarahkan pihak penjara supaya
membawa kembali Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada Hospital Kuala Lumpur ke
penjara Sungai Buloh.  Kami lihat langkah ini sebagai perlanggaran terhadap hak
asasi manusia dan sungguh tidak berperikemanusiaan.

Kami berpendirian bahawa Dato' Seri Abdullah Badawi telah menyalahgunakan
kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk bertindak semata-mata untuk
memuaskan dendam dan kebencian terhadap Dato' Seri Anwar.  Kami memberi amaran
kepada Menteri Dalam Negeri supaya membatalkan arahan tersebut. Kami akan
melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia untuk tindakan
suruhanjaya tersebut.

Dato' Seri Abdullah telah bertindak sewenang-wenang dengan menghantar Setiausaha
Politik beliau, Othman Desa ke penjara Sungai Buloh untuk mempastikan bahawa
pihak penjara mematuhi arahan beliau supaya Dato' Seri Anwar Ibrahim diletakkan
di dalam bilik yang kecil yang selalunya digunakan untuk banduan yang mengalami
sakit jiwa dan mempunyai kecenderungan melakukan keganasan.  Langkah ini
mencerminkan betapa Menteri Dalam Negeri telah menjalankan agenda politik beliau
dan menekan pihak penjara daripada menggunakan budi bicara Jabatan tersebut di
dalam pentadbiran penjara.  Kami juga dimaklumkan bahawa Dato' Seri Abdullah
juga telah mengarahkan pihak polis dan penjara untuk menggeledah bilik Dato'
Seri Anwar di hopsital Kuala Lumpur semasa Dato' Seri Anwar  tidak berada di
dalam bilik tersebut.  Ini merupakan satu tindakan yang tidak menghormati
hak-hak dan juga privacy seorang individu yang dijamin oleh undang-undang serta
perlembagaan.

Kami ingin juga memberi amaran kepada Dato' Seri Abdullah supaya menghentikan
tekanan terhadap pihak pengurusan hospital Kuala Lumpur daripada menjalankan
tanggungjawab profesionalnya terhadap pesakit.  Arahan memindahkan Dato' Seri
Anwar ke penjara Sungai Buloh merupakan campurtangan politik di dalam
pentadbiran hospital tersebut kerana panel doktor yang memeriksa Dato' Seri
Anwar telah sepakat bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu memerlukan
pembedahan.  Adalah tidak munasabah bahawa Dato' Seri Anwar dipindahkan ke
penjara sebelum pembedahan  dilakukan kerana beliau sudah pasti memerlukan
pengawasan yang rapi menjelang pembedahan.  Kami juga kesal bahawa pihak
kerajaan masih lagi belum membuat keputusan samada membenarkan pakar Jerman
memeriksa Dato' Seri Anwar dan menentukan kaedah pembedahan yang paling sesuai
dan mempunyai risiko yang paling minimum.  Kami ingin menegaskan bahawa hak
seorang pesakit untuk mendapatkan khidmat profesional tidak boleh digugat walau
apa pun status pesakit tersebut adalah juga hak seseorang pesakit untuk memilih
pakar dan tempat beliau menjalankan pembedahan atau rawatan.

Kami juga ingin menegaskan bahawa Dato 'Seri Anwar adalah seorang tahanan
politik.  Ini satu hakikat yang sudah diterima oleh masyarakat setempat dan juga
masyarakat antarabangsa.  Pemerintahan Malaysia tidak boleh bersembunyi di
sebalik keputusan mahkamah yang telah dirancang oleh konspirasi Dr. Mahathir.
Justeru itu menggunakan alasan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang
banduan tidak dapat diterima sama sekali oleh masyarakat Malaysia mahu pun
masyarakat antarabangsa.  Kami menasihatkan supaya Menteri Dalam Negeri bangun
dari khayalan yang direka sendiri dan  sedar akan hakikat bahawa sandiwara yang
mereka buat sudah tidak diterima lagi.

Kami sekali lagi mengingatkan Dato' Seri Abdullah Badawi bahawa rakyat kini
telah sedar tentang hak-hak individu dan juga hak-hak asasi seorang rakyat di
manapun beliau berada.  Justeru itu Dato' Seri Abdullah tidak boleh bertindak
sebarangan sebagai Menteri Dalam Negeri kerana ini akan menimbulkan kemarahan
rakyat dan rakyat akan bangun untuk bertindak menentang pelanggaran hak asasi
manusia.
 
 
 
 

YB Haji Mahfuz Hj Omar              Mohamad Ezam Mohd Nor
Ketua                                             Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Pusat          Parti Keadilan Nasional
 

YB Teng Chang Kim                       Faizal Sanusi
Ketua                                                 Ketua
Pemuda Sosialis                     Angkatan Pemuda PRM

6 Febuari, 2001