Memecahkan Gambar Menteri Besar
Tindakan Idris Jusoh memecahkan gambar YAB Tuan Guru Menteri Besar Terengganu mencerminkan sikap tidak rasional pemimpin UMNO negeri Terengganu dalam menghadapi kekalahan pilihan raya ke-10. Tindakan beliau amat memalukan UMNO sendiri dan menjadikannya sebagai parti yang sudah mengetepikan demokrasi.
YAB Menteri Besar Terengganu sekarang dipilih oleh rakyat dan telah diberikan mandat untuk membentuk kerajaan oleh majoriti rakyat Terengganu. Prinsip demokrasi mengiktiraf kemenangan mana-mana pihak sebagai mana rakyat Terengganu yang mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya sebelum ini diiktiraf oleh semua rakyat termasuk yang tidak mengundi calon Barisan Nasional. Ratusan ribu rakyat yang tidak mengundi Barisan Nasional reda dengan keputusan itu dan tidak menganggu kerajaan Barisan Nasional yang telah mentadbir UMNO dahulu.
Malangya, mengapakah UMNO tidak boleh meredai akan kekalahan sendiri dan memberikan laluan penuh kepada kerajaan PAS Terengganu untuk menjalankan pentadbiran negeri? Mengapakah dengan penuh emosi memecahkan gambar Tuan Guru Menteri Besar? Bukankah beliau dipilih oleh majoriti rakyat Terengganu sekalipun ahli UMNO dan Barisan Nasional tidak mengundi beliau? Dewan yang dibina itu , sekali pun dengan menggunakan duit kerajaan pusat, tidak bermakna duit itu datang dari poket pemimpin-pemimpin pusat sendiri yang sememangnya ahli BN.
Bahkan telah menjadi tanggungjawab mereka atau sesiapa juga yang memerintah, membangunkan prasarana yang perlu untuk mengimarahkan negeri dan negara. Justeru itu, kerajaan yang berikutnya dipilih oleh rakyat untuk menjalankan pentadbiran negeri berhak menggunakan mana-mana premis kerajaan untuk tujuan pentadbiran.
Bangunan kerajaan adalah bangunan rakyat. Selagi bangunan kerajaan tidak digunakan untuk kegunaan mana-mana parti termasuk PAS sendiri untuk apa-apa tujuan pun, penggunaannya adalah sah di sisi undang-undang. Sekiranya terbukti YAB Tuan Guru Menteri Besar Terengganu atau kerajaan negeri sekarang menggunakan bangunan kerajaan untuk kepentingan PAS, maka jelas tindakan itu salah. Hatta UMNO sekalipun atau mana-mana kroni Barisan Nasional tidak berhak menggunakan bangunan kerajaan untuk tujuan parti.
Datuk Idris Jusoh janganlah melatah. Bangunan kerajaan bukannya hak UMNO atau Barisan Nasional. Oleh itu istilah kerajaan dengan parti UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh disinonimkan. Dalam konteks demokrasi kerajaan adalah rakyat dan rakyat adalah kerajaan dan bukan parti yang memerintah. Parti yang memerintah hanya diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah.
Kita kini tidak lagi berada dalam zaman tradisional di mana kerajaan adalah raja dan raja adalah kerajaan yang berkuasa mutlak.Tolonglah rasional sikit. Oleh itu, saya mencadangkan agar pemimpin UMNO Terengganu itu memohon maaf kepada YAB Menteri Besar dan bertaubat segera.
Sekian, terima kasih.
Wassalam.
msj