Penerima bantuan harus `kaya jiwa'
Penerima bantuan am
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diingatkan supaya berusaha untuk mengatasi
masalah yang dihadapi dan tidak hanya bergantung kepada bantuan itu semata-mata.
Sehubungan itu, Penyelaras
Unit Pembangunan Insan (UPI) DUN Air Puteh, Ustaz Mohd Zaid Tawang meminta
mereka tidak menjadikan kemiskinan harta itu untuk terus berkeadaan demikian.
Ini, katanya, kerana miskin
tidak hanya dari sudut ketiadaan harta sahaja tetapi ia merangkumi banyak
aspek termasuk miskin jiwa, miskin budi bahasa, miskin mental, miskin perangai
dan sebagainya.
"Oleh itu, kita hendaklah
berusaha dan jangan mengekalkan kita terus berada dalam keadaan miskin
sepanjang masa," ujarnya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan
am kepada penduduk miskin di Kampung Air Puteh, semalam.
Katanya, walaupun kemiskinan
wujud sepanjang masa tetapi manusia perlulah berikhtiar agar tidak terbelenggu
dalam keadaan itu dengan mengharapkan pemberian daripada pihak lain.
"Kita perlu meminta pertolongan
daripada Allah dan berusaha supaya tidak berada dalam keadaan miskin selama-lamanya,"
ujarnya.
Justeru itu, tambahnya,
para penerima bantuan juga tidak menjadikan miskin harta itu menyebabkan
jiwa mereka juga miskin.
"Walaupun kita miskin harta
tetapi jangan miskin jiwa dan kita perlu mencari ilmu supaya jiwa kita
tidak miskin," katanya lagi.
Menurutnya, mereka yang
miskin harta tetapi kaya jiwa akan sentiasa berusaha bagi mengubah nasib
mereka dengan memohon pertolongan daripada Allah dan tidak mengharapkan
pemberian manusia semata-mata.
Tambahnya, walaupun kerajaan
negeri mengalami kekurangan sumber pendapatan berikutan rampasan royalti
minyak oleh kerajaan Pusat namun nasib golongan miskin terus dibela.
Sumber : Harakadaily