KUALA TERENGGANU April 10
(Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa
Kebajikan, Sosial dan Kesihatan
Negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah,
menafikan laporan akhbar perdana
kononnya kerajaan negeri
menangguhkan janji untuk
membiayai kos rawatan golongan
miskin di hospital kerajaan kerana
sudah ada peruntukan seperti itu
oleh Kerajaan Pusat.
Sebaliknya, beliau berkata, golongan
miskin sudah menikmati kemudahan
itu disebabkan pihak pentadbiran
hospital memang sudah
mengecualikan bayaran perubatan
bagi golongan berkenaan kerana
mereka terdiri daripada golongan
kurang mampu.
"Saya membuat kenyataan akhbar
sebelum ini bahawa peruntukan
perubatan bagi golongan miskin tidak
perlu disediakan kerana sudah ada
kemudahan tersebut di hospital.
"Kita tidak mahu berlaku pertindihan
kerana kemudahan yang
dimaksudkan sudah sedia ada.
Oleh itu tidak timbul masalah PAS
menangguhkan janji dalam pilihan
raya bagi maksud kemudahan
rawatan untuk orang miskin,"
katanya ketika ditemui di Wisma
Darul Iman, baru-baru ini.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan
bahawa kerajaan negeri terpaksa
menangguhkan janji untuk
membiayai sepenuhnya kos rawatan
golongan miskin di semua hospital
kerajaan berikutan terdapatnya
peruntukan seperti itu oleh Kerajaan
Pusat.
Sebaliknya, Ustaz Abu Bakar berkata
kerajaan negeri akan menubuhkan
sebuah dana kebajikan di peringkat
negeri yang dinamakan "Dana Ihsan
Darul Iman" yang mempunyai konsep
lebih luas bagi membantu golongan
miskin dan kurang upaya. Melalui
dana itu, katanya, mereka bukan
saja diberi kewangan untuk
menanggung kos rawatan tetapi juga
bagi tujuan pembelian alat-alat
tiruan dan bantuan perubatan untuk
kegunaan golongan berkenaan.
"Kerajaan juga akan memberikan
bantuan kebajikan kepada fakir
miskin, orang tua dan lain-lain lagi,"
katanya. Katanya, bantuan segera
kepada mangsa bencana alam dan
bantuan untuk pertubuhan kebajikan
akan disalurkan kepada mereka yang
kurang bernasib baik.