Bedah AI: Membedah Rahsia Yang Terpendam?
By Man Kubur
12/3/2001 am
Anwar telah terlantar dikatil sejak bulan November lagi. Sudah lebih
3 bulan beliau kesakitan tetapi kerajaan begitu payah untuk membenarkan
pemberian rawatan sedangkan kenyataan ramai pakar menunjukkan sakit tersebut
disebabkan hentakkan. Famili Anwar bersetuju untuk membiayai sendiri kos
rawatan walaupun sakit tersebut adalah berpunca dari kelalaian dan salah-laku
pegawai tinggi keselamatan kerajaan (yakni Rahim Nor dan rakan-rakan).
Sepatutnya kerajaanlah membiayai semua kos kerana gagal menjaga keselamatan
tahanan. Sudah menjadi Piagam Antarabangsa setiap tahanan tidak boleh diapa-apakan.
Tidak kiralah jika dia seorang yang melakukan jenayah luarbiasa seperti
membunuh orang atau bakal dihukum di tali gantung yang mengerikan.
Polis tidak berhak menyiksa tahanan dan kerajaanlah yang harus didenda
atau memberi pampasan sebagai gantirugi kepada kecederaan. Adalah amat
malang negara Malaysia yang dikatakan (claim) sebagai negara Islam oleh
perdana menteri bertindak sebegitu kejam. Malah lebih malang lagi kerana
polis yang sudah berikrar dan bersaksi kepada Tuhan menjadi samseng membantai
orang.
HOSPITAL MALAYSIA KETINGGALAN ZAMAN
Seperti yang diramalkan hanya kaedah bedah endoskopi yang terbaik untuk
menyelamatkan Anwar dari lumpuh sepanjang zaman. Dan Malaysia memang tidak
mempunyai cukup kelengkapan mahupun pakar yang berpengalaman. Menurut doktor
dari Munich itu, pembedahan tulang belakng bukan main-main sebarangan.
Satu hospital KHUSUS diperlukan. Di Munich misalnya ada sebuah bilik khas
dimana hanya pembedahan saraf sebegini sahaja dilakukan. Dengan ini segala
kemungkinan dan komplikasi dapat diselesaikan segera tanpa perlu menunggu
terlalu lama untuk ketibaan peralatan dan ubat-ubatan. (Lagipun kesian
juga kepada pesakit lain yang terpaksa menunggu doktor dan barang ini pulang.
Mereka mungkin lumpuh dulu... terutamanya kes berat seperti kemalangan
dan jatuh bangunan).
MEMBEDAH RAHSIA YANG TERPENDAM?
Saya berpendapat kerajaan Mahathir begitu payah untuk memberikan keizinan
kerana bimbang beberapa rahsia terbongkar. Doktor yang pakar itu akan dapat
mengesahkan bahawa kecederaan Anwar adalah akibat hentakkan dan ini amat
membimbangkan kerajaan - kerana ia terpaksa dan sepatutnya membiayai semua
perbelanjaan dan rahsia akan pecah menjadi telur tembelang.
Jika dilakukan disini maklumat mungkin boleh digam, tetapi di luar negara
wartawan luar mungkin akan mendedahkan betapa polis memang merancang atau
berniat untuk melakukan satu pembunuhan. Inilah antara punca kenapa lapuran
perubatan penting atau 'film scan' dihilangkan. Sebagai seorang pakar Dr
Hoogland akan dapat memberi anggaran bila kecederaan itu dilakukan walaupun
filem tersebut sudah hilang. Inilah yang membuat pihak yang berkonspirasi
tidak dapat duduk diam.
[Sudah menjadi kebiasaan polis membantai orang dengan sesuatu yang tumpul
untuk memberikan kecederaan dalaman supaya sukar dikesan atau dibuktikan.
Sebagai contoh getah paip penghawa dingin dapat melebamkan anggota dalaman
sehingga membawa kematian. Jangan lupa kes Jaafar Puteh yang mati tiba-tiba
serta seorang bapa yang mati sedangkan beliau sihat sebelum ditahan.]
-Man Kubur-