BN sabotajkan persidangan DUN Melaka

     Kenyataan Akhbar Setiausaha Publisiti DAP Melaka Dan ADUN Kawasan Durian Daun Betty Chew Gek Cheng Di
     Melaka Pada 8.9.2000. 

     Kerajaan BN Sabotajkan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka Semalam Kerana Takut Untuk Menjawab Usul
     DAP Mengapa Gagal Tunaikan Janji Bersedia Membantu Sekolah Menengah Pay Fong, Dan Menghapuskan
     Penyelewengan Kewangan Dalam Projek Kerajaan 

     ========================================================= 

     Kerajaan BN sabotajkan persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka semalam kerana takut untuk menjawab usul DAP
     mengapa gagal tunaikan janji bersedia membantu Sekolah Menengah Pay Fong, dan menghapuskan penyelewengan
     kewangan dalam projek kerajaan. Tindakan ADUN BN mengagalkan persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka
     adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang mensabotajkan perjalanan demokrasi dan membelakangkan
     kepercayaan rakyat dalam pilihanraya. 

     Perbuatan ini juga memalukan kerana bukan sahaja perkara penting rakyat tidak boleh dibincang tetapi juga memecahkan
     satu rekod yang memalukan untuk demokrasi di dunia. Tidak pernah berlaku dan pertama kali di dunia, sebuah kerajaan
     dengan sengajaberulang-ulang kali mengagalkan mesyuarat Dewan yang dipanggil oleh parti pemerintah sendiri. 

     Kerajaan BN bersedia membuat sabotaj begini kerana tidak mahu menghadapi usul-usul penting wakil rakyat DAP untuk
     menegakkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan supaya penyelewengan kewangan yang merugikan rakyat Melaka
     beratus-ratus juta boleh dihapuskan.Selain daripada usul-usul saya tentang pentingnya mengadakan tender terbuka untuk
     projek-projek awam kerajaan, skendal kenaikan projek Empangan Air Jus sebanyak 300% ataupun RM339 juta dalam
     masa setahun, usul yang paling ditakuti oleh kerajaan BN adalah mengenai peruntukan tahunan bagi Sekolah Menengah
     Pay Fong. 

     Saya telah membentangkan usul "Bahawa Dewan ini membuat ketetapan bahawa kerajaan negeri membuat peruntukan
     tahunan sebanyak RM1 juta diberikan kepada Sekolah Menengah Pay Fong untuk membantunya mengatasi masalah
     kewangan dan memenuhi sumbangannya kepada pembangunan pendidikan negara." 

     Mencabar ADUN-ADUN MCA Menyokong Peruntukan Tahunan RM1 Juta Untuk Sekolah Menengah Pay Fong 

     ========================================================= 

     Kerajaan negeri Melaka harus mencontohi kerajaan PAS Terengganu dengan memberikan peruntukan tahunan RM1
     jutakepada Sekolah Menengah Pay Fong yang merupakan hanya 0.5% Belanjawan Negeri Melaka 2000. Kerajaan PAS
     Terengganu telah meluluskan RM1 juta untuk 10 buah SRJK© kerana tidak ada sekolah Cina menengah swasta di
     Terengganu. Kalau ada sekolah Cina menengah swasta di Terengganu, sudah pastinya kerajaan PAS Terengganu akan
     memberikan RM1 juta kepadanya. 

     Adalah patut peruntukan tahunan RM1 juta ini diluluskan kepada Pay Fong kerana sumbangan pentingnya kepada
     pembangunan pendidikan dan ekonomi negara. Pay Fong telah mendidik banyak pelajar-pelajar berakhlak tinggi,
     warganegara bertanggunjgawab, ahli profesyenal dan peniaga yang setia kepada negara dan membantu memajukan
     ekonomi. 

     Jumlah RM1 juta setahun adalah munasabah kalau dibandingkan dengan Belanjawan Negeri 2000 sebanyak RM214 juta.
     RM1 juta hanya merupakan 0.5% Belanjawan Negeri. Adakah perbelanjaan RM 1juta daripada RM214 juta ataupun
     hanya 0.5% Belanjawan Negeri pun tidak boleh diberikan untuk tujuan pendidikan yang membina warganegara yang
     produktif, bermoral tinggi dan bertanggungjawab kepada negara? 

     Cadangan RM1 juta juga lebih kurang daripada perbelanjaan hospitaliti untuk Ketua Menteri Melaka sebanyak RM1.5
     juta dalam 8 bulan pertama tahun ini. Bukankah pendidikan lebih penting daripada hospitaliti? 

     RM1 juta juga jauh lebih kurang daripada RM105 juta yang kehilangan dalam akaun kerajaan pada tahun 1998 ekoran
     penyelewengan pegawai kerajaan negeri Kalau kehilangan kewangan sebanyak RM105 juta ini boleh dihentikan, ia boleh
     menampung perbelanjaan Pay Fong selama 105 tahun! 

     Saya ingin mencabar keempat-empat ADUN-ADUN MCA menyatakan samada berani menyokong pemberian
     peruntukan tahunan RM1 juta, untuk menunjukkan komitmen mereka ke atas Pay Fong dan pendidikan Cina. Kalau
     mereka gagal buat demikian, ini menunjukkan bahawa MCA tidak ikhlas dan hanya main silap mata politik berpura-pura
     memperjuangkan pembangunan pendidikan Cina dan Pay Fong. 

     Sudah sampai masanya kerajaan negeri BN dan MCA mengakui sumbangan penting pendidikan Cina kepada
     pembangunan dan kemajuan ekonomi negara dengan memberikan peruntukan tahunan RM1 juta kepada Pay Fong
     sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan PAS Terengganu. Tidak ada sebab kerajaan BN Melaka tidak boleh
     sama-sama liberal dengan kerajaan PAS Terengganu. 

       

     - BETTY CHEW -