Ketua jurulatih belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Holger
Obermann berkata Terengganu telah melahirkan ramai pemain
muda berbakat dan antaranya mewakili pasukan remaja
kebangsaan.
"Sekarang terdapat nama-nama seperti Mohd Syamsi Mustapha,
Tengku Alias Ibrahim dan Zairol Anuar Zailani dalam pasukan
remaja kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas majlis
penyampaian hadiah akademi bola sepak 1999 di sini hari ini.
Beliau berkata, selain itu terdapat juga beberapa orang pemain
bola sepak Terengganu terpilih memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Obermann yang mewakili Fam menyampaikan piala sumbangan
bekas pemain bola sepak terkemuka Jerman Frank Bekembeur
kepada Pengarah Akademi Bola Sepak Negeri Terengganu Cheku
Marzuki Mohd Nor.
Ini kali kedua Akademik Bola Sepak Negeri Terengganu dipilih
sebagai pemenang anugerah itu. Kali pertama tahun 1997.
Obermann yang menamatkan kontraknya dengan FAM dan akan
meninggalkan negara ini bulan ini berkata Terengganu mampu
menguasai bola sepak negara sekiranya pemain-pemain yang ada
diberikan latihan dan bimbingan berterusan.
Beliau berkata pemilih Terengganu sebagai pemenang anugerah itu
tahun ini dinilai dari segi perlawanan, prestasi pemain, kualiti
kejurulatihan, pentadbiran dan juga keselamatan akademi itu
sendiri.
Sementara itu, Cheku Marzuki berkata Akademi Bola Sepak
FAM/Adidas Negeri Terengganu ditubuhkan pada Mei 1995 dan kini
mempunyai 30 peserta daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.
Beliau berkata para peserta akademi banyak didedahkan untuk
kejohanan-kejohanan Piala Nike, Coca Cola, Milo dan Piala
Presiden.