MEMBANGUN MENURUT ISLAM "BERSAMA MENGISI KEMENANGAN" tinta_hijau@hotmail.com |
Eksklusif : 'Mahathir menghukum dirinya melawan Dunia Antarabangsa
- Dr Rahim Ghouse'
Wawancara Khas Melalui Corong Siber
Muqaddimah : Dr Abdul Rahim Md Ghouse merupakan salah-seorang
dari 3 perwira Reformasi yang membawa arus
Reformasi ke luar negara dan satu-satunya perwira yang masih belum
menjejakkan kakinya ke tanahair selain daripada saudara
Mohamad Ezam Mohd Noor dan saudara Saifuddin Nasution Ismail.
Senario ketidakadilan yang berlaku di Malaysia digegarkan oleh beliau
melalui serangan bertalu-talu terhadap Mahathir dan
kuncu-kuncunya yang dilancarkan oleh Malaysian Solidarity for Democracy
and Reform (MSDR) yang sebelum ini berpusat di
Jakarta. Setiap tindakan durjana Mahathir pasti akan disapa dengan
serangan dan disebarkan ke dalam dunia siber. Sejak
beberapa bulan kebelakangan ini, tiada lagi tembakan dan serangan daripada
beliau kedengaran namun kini, serangan beliau sudah
bermula kembali melalui 'The International Free Anwar Campaign (FAC)'
dan membuatkan saya turut menjadi salah-seorang
'Special Branch' yang tidak berputus asa untuk menjejaki dan menemubual
beliau.
Alhamdulillah, dengan 'voice chat', akhirnya saya berjaya menemuramah
beliau selepas penjatuhan hukuman 9 tahun penjara
kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Mahazalimtwo (M2): Assalammualaikum W.W. Dr Rahim...
Dr Abdul Rahim Md Ghouse (DRG) : Waalaikum-as-salam W.W. Ini bukan special branch? (dengan nada ketawa..)
M2: Hm..nampaknya begitulah. Terima kasih kerana akhirnya sudi ditemuramah setelah beberapa kali temujanji kita gagal.
DRG : Terima kasih kerana sudi memberi kesempatan pada saya untuk
di temu ramah dalam mahazalim. Saya yakin saudara
mahazalim, tak perlu beritahu nama saudara. Berapa hit mahazalim sekarang?
M2 : Betul tu...manalah tahu ada 'siput babi' yang pandai kacau
voice chat ni...Hit pula...adalah sedikit. Semalam sahaja lebih
300,000. Oh ya, Apakah Reaksi saudara terhadap hukuman mahkamah yang
menghukum DSAI?
DRG : Saya amat simpati dengan Kak Zah serta anak anak beliau.
Semoga Allah akan memberikan ketabahan dan kesabaran
kepada Anwar sekeluarga. Saya yakin keputusan ini membuat kita semua
lebih bertekad untuk berjuang sehingga kebenaran dan
keadilan ditegakkan dan penjenayah-penjenayah ini semua akan
diadili. Keputusan ini menunjukkan keanehan sistem kehakiman
negara sekarang. Yang dianiayai dan difitnah di hukum dengan hukuman
yang berat. Penjenayah dan pemfitnah bebas berleluasa.
Lebih-lebih lagi penjenayah yang bebas ini juga mereka yang memegang
jawatan-jawatan tertinggi dalam negara. Sekarang ini,
bukan hanya rakyat sudah tahu siapa penjenayah yang sebenarnya. Dunia
pun telah jelas siapa penjenayahnya. Keputusan
mahkamah yang menghukum Anwar telah mengubah percaturan politik dari
Mahathir lawan Anwar, kepada Mahathir lawan
Rakyat dan sekarang Mahathir lawan Dunia Antarabangsa.
M2 : Mengapakah secara tiba-tiba saudara muncul kembali dipersada perjuangan dengan FAC setelah menyepi beberapa ketika?
DRG : Selama beberapa bulan saya serta beberapa teman teman
lain lebih membuat tumpuan kepada usaha usaha konsolidasi
dan bertemu ramai orang untuk meminta nasihat dan tunjuk ajar cara
cara yang berkesan kita boleh bertindak selepas piliharaya
dan juga selepas mahkamah mejatuhkan hukuman pada Anwar. Kita
harus ingat bahawa kita mesti merancang sesuatu yang
bersifat jangka panjang. Kita berharap Mahathir jatuh besok , tetapi
kita mesti bersedia menghadapi Mahathir yang menguasai
seluruh institusi negara dengan lebih rapi dan tersusun yang mungkin
akan terus berkuasa untuk beberapa tahun lagi. Salah satu
daripada perancangan yang penting ialah keujudan FAC untuk terus menggembelingkan
pandangan serta usaha mereka yang
menyokong Anwar Ibrahim untuk terus menekan Mahathir membebaskan Anwar.Tekanan
ini mesti datang dari dalam dan luar
negara.
M2: Maksudnya ada lagi susulan lepas FAC?
DRG: Adala tetapi tak boleh cerita semua (tertawa).
M2: Tak mengapalah. Nanti kita tahulah. Oh ya, nampaknya sokongan
antarabangsa begitu kuat terhadap Anwar. International
Free Anwar Campaign baru berumur dua minggu sudah pun heboh di peringkat
antarabangsa. Kawan saya memberitahu
sehinggakan masjid-masjid di Amerika dan England telahpun menerima
bahan-bahan dari FAC. Di Pakistan, India dan Jepun
mereka turut menerima bahan-bahan FAC. Link FAC pun sudah ada
dalam CNN dan BBC. Bagaimana rakyat boleh
membantu?
DRG : Sahutan masyarakat antarabangsa menunjukkan simpati dan
sayangnya masyarakat dunia pada Anwar. FAC adalah
penerusan perjuangan rakyat menuntut pembebasan Anwar Ibrahim semenjak
Anwar di tahan pada 20hb September 1998.
Demonstrasi-demonstrasi oleh pejuang-pejuang gerakan reformasi termasuk
tahanan ISA dan OKT, sehingga pengiktirafan
Anwar sebagai calon PM BA sebenarnya adalah usaha untuk membebaskan
Anwar. FAC melanjutkan usaha ini dengan lebih
agresif di peringkat antarabangsa. Alhamdulilah, ramai yang membantu
FAC.
Kita perlu ramai lagi yang mempunyai 'contact' di peringkat antarabangsa
untuk kehadapan membantu FAC. Ibubapa yang
mempunyai anak-anak mereka di overseas boleh menggalakkan anak anak
mereka ke http://www.freeanwar.com dan sebarkan
bahan-bahan ini pada pemimpin-pemimpin tempatan mereka. Bahan-bahan
yang dikeluarkan FAC ( media releases) telah kita
sesuaikan untuk tatapan masyarakat antarabangsa. Minta pemimpin-pemimpin
ini melobi kerajaan masing masing untuk terus
menuntut Anwar Ibrahim dibebaskan. Dengan ini kita membawa perjuangan
rakyat pada peringkat antarabangsa.
M2 : Seterusnya, apakah pendapat saudara mengenai UMNO, Nampaknya budaya bisu wujud di kalangan pemimpin UMNO?
DRG : Prinsip hidup pemimpin-pemimpin UMNO ialah politik, bukannya
perjuangan. Ada dikalangan pemimpin UMNO yang
menghantar email, menelefon dan ada yang bertemu dengan saya.
Hampir semuanya simpati dengan Anwar. Di lubuk hati
mereka ini masih merasakan bahawa Anwar satu hari akan kembali ke pentas
politik. Jadi mereka tidak mahu 'miss the boat' jika
Anwar kembali berkuasa. Maksudnya 'rakyat berjuang la..'…., tetapi
bila menang besok mereka pemimpin-pemimpin UMNO ini
juga berharap bahawa mereka tidak dilupakan kerana mereka sebenarnya
sayang pada Anwar tetapi cuma tak berani bersuara
dengan kezaliman Mahathir.
Di depan saya mereka kutuk Mahathir, ada yang kata Mahathir binatang,
tiada moral, nyanyok, tua dan sebagainya. Tetapi bila
kita minta mereka menyuarakan kebenaran dan berjuang bersama rakyat,
pelbagai helah dikeluarkan seperti “Periok nasi boss”,
“projek tak dapat”, “Dalam UMNO ni susah”. “kami tak boleh buat apa
apa”. Mereka cuma mahu mencuci tangan dan tiada
langsung rasa tanggungjawab terhadap pemimpin mereka sebelum ini yakni
Sdr Anwar Ibrahim. Mereka cuma fikir kepentingan
kuasa dan peribadi semata-mata dan bukan lagi penderitaan yang harus
diharungi oleh rakyat. Inilah kualiti para pemimpin
Melayu dalam UMNO yang ada sekarang ini. Amat memalukan. Lebih-lebih
lagi bagaimana nak berdepan dengan Allah swt.
Bagi mereka hidup ini seolah-olah satu sandiwara politik semata-mata,
bukannya untuk perjuangan yang bedasarkan prinsip
membantu rakyat, mereka yang teraniaya, mereka yang tertindas dan mereka
yang dizalimi.
M2: Bagaimana pula pendapat saudara mengenai Pak Lah. Adakah
Pak Lah berkemampuan untuk menggantikan Mahathir.
Adakah Pak Lah begitu bekarisma untuk menerajui negara ini?
DRG : Bagi saya jelas. Selepas Mahathir ialah Anwar Ibrahim. Saya tak
nampak Mahathir akan melepaskan kuasa kepada
sesiapa. Kita juga mendengar berita bahawa Pak Lah sudah begitu
bersungguh-sungguh menggunakan seluruh jentera
kementerian dan parti hendak mengukuhkan kedudukannya dalam
UMNO supaya dialah yang akan menggantikan Mahathir.
Saya yakin dan setelah mengenali Mahathir dari jauh, akhirnya Pak Lah
pun mungkin akan dianggap liabiliti pada Mahathir. Saya
berpendapat Mahathir sudah tidak percaya pada siapa pun lagi. Dia juga
bimbang kalau Pak Lah naik, Pak Lah mungkin akan
menunding jari kepadanya terhadap apa yang dia lakukan. Maklumlah orang
dah tua lagi nyanyok; cuma memikirkan mungkinkah
nasibnya sama dengan Suharto dan Pinochet. Mahathir akan terus memegang
kuasa sehingga mati dikerusinya atau rakyat
menumbangkan Mahathir dan Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM.
M2 : Apakah yang pertama-tamanya terdetik di hati saudara mengenai faktor-faktor pembebasan saudara Anwar?
DRG : Bagi saya beberapa faktor utama yang perlu ditekankan. Pembebasan
Anwar bergantung kepada beberapa faktor dalaman
yang penting
Pertama : Keutuhan BA. Kita akan dapat meyakinkan dunia bahawa BA mampu
memerintah. Kesefahaman PAS dan DAP
mesti diteruskan. Dunia antarabangsa telah mengiktiraf Barisan Alternatif
ini menjangkaui politik sempit yakni politik perkauman
yang selama ini dibawa oleh UMNO dan Barisan Nasional. Oleh itu, kesefahaman
antara PAS, DAP, keADILan dan PRM perlu
senantiasa dieratkan. Penggembelingan tenaga dan idea antara parti-parti
komponen akan meyakinkan bukan sahaja rakyat
Malaysia malahan masyarakat antarabangsa bahawa wujudnya 'alternatif
baru' untuk menerajui negara ini. Program-program
Pemuda BA mesti diteruskan. Saya kagum dengan keberanian Sdr Ezam dan
'askar-askarnya' kerana senantiasa tampil ke
hadapan untuk mendedahkan kepincangan yang berlaku di bawah sistem
pemerintahan kukubesi Mahathir Mohamad. Begitu juga
dengan YB Mahfuz, YB Teng , Sdr Faizal dan exco-exco pemuda BA lainnya
yang sudah berjaya mengambil-alih kepimpinan
seluruh generasi muda di Malaysia dari tangan Pergerakan Pemuda UMNO
dan BN yang jelas sudah sunyi sepi.
Yang kedua, perhimpunan secara aman mesti teruskan. Mahathir takut bila
rakyat berani. Diktator terus gelisah. Mereka hanya
takutkan 'kuasa rakyat'. Bayangkan bila cuma 200 orang berkumpul,
Mahathir telah geram dan marah. Dia sanggup
mengarahkan polis untuk membelasah dan tangkap mereka yang berhimpun
secara aman. Ini menunjukkan dia sudah hilang
pertimbangan. Selagi dia marah selagi itu dia akan hilang pertimbangan
dan sudah pasti menunjukkan tanda-tanda kejatuhan
diktator ini.
Seterusnya, warga birokrat, tentera serta polis harus sedar tanggungjawab
mereka pada rakyat. Tak perlulah berkhidmat pada si
zalim itu lagi. Saya yakin jika warga birokrat tidak terikat dengan
politik kepartian serta polis dan tentera membela rakyat, Mahathir
akan tumbang. Ahli-ahli akademik serta guru-guru juga mesti terus menyemarakkan
semangat cintakan keadilan dan menuntut
Reformasi di kalangan pelajar kerana merekalah bakal pemimpin masa
hadapan.
Yang terakhir, laman-laman reformasi mesti terus bertindak sebagai alternatif
media dan saluran berita berita dan maklumat.
Peperangan cyber ini juga dapat menggugat Mahathir melalui pendedahan-pendedahan
yang boleh menakutkan dan memalukan
mereka. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudara dan teman-teman
laman yang lain yang memainkan peranan begitu
penting dalam penyebaran maklumat serta program perhimpunan aman serta
program ceramah yang dilaksanakan. Selain dari
struktur formal yang ada laman-laman ini juga menjadi nadi pada pergerakan
dan mobilisasi rakyat.
Akhir kata, Lawan tetap lawan. Rungkaikan rasa takut kita pada Mahathir.
Rakyat mesti terus menuntut Mahathir undur dan
Anwar dibebaskan. Saya setuju dengan ucapan Ezam di Taman Melewar
semalam, 'Kita bagi tempoh 15 bulan untuk Mahathir
undur'
M2: Bagi saya 15 bulan itu lama, kalau ikut hati saya 15 saat
pun masih cukup baik bagi orang macam Mahathir...(tertawa).
Terima kasih kerana sudi diwawancara. Jagalah diri baik-baik. 'Gangster'
Mahathir kat luar tu banyak.
DRG : Hang pun sama la kat sana..Depa tangkap IP address hang, silap-silap, esok dah ada kat Bukit Aman ..(ketawa)...
M2: Okay Dr Rahim, Ahad ni ada konvoi ke Sungai Buloh, mai lah tumpang kereta saya....hehehe...
DRG: Hang mai lah ambil aku kat airport....
M2: Ishhhhh,.....masih pekat loghat utara saudara....Terima kasih. Assalammualaikum.
DRG : Sama-sama, semoga Allah swt membantu kita semua. Sampaikan
salam saya kepada teman-teman di Malaysia.
Depetik Dari :Mahazalimtwo